Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

12 Ogos 2008

Wakaf cara adil ganti kapitalis


Oleh Mohd Zin Ali

JOHOR BAHRU: Wakaf bukan saja berperanan dalam kemajuan ekonomi sesebuah negara, malah menjadi mekanisme terbaik untuk memastikan pengagihan kekayaan secara sekata di kalangan orang ramai.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, berkata wakaf yang menjadi sistem ekonomi alternatif juga mampu meningkatkan tahap kesediaan ummah untuk bersatu serta bekerjasama bagi mencapai kekuatan dan kestabilan ekonomi di kalangan masyarakat.

“Pada era globalisasi, kepentingan wakaf melangkaui perlambangan (simbolisme) sistem ekonomi kapitalis konvensional berikutan potensi hebatnya dalam memastikan pembangunan ekonomi ummah.


“Wakaf boleh memainkan peranan penting dalam memastikan pengagihan kekayaan secara saksama di kalangan penduduk dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara,” katanya ketika merasmikan Seminar Antarabangsa Awqaf 2008, ‘Awqaf: Memperkasakan Ekonomi dan Sosial Ummah’ di sini, semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Johor Corporation (JCorp), Tan Sri Muhammad Ali Hashim.

Wakaf adalah mekanisme Islam berasaskan kesaksamaan dan keadilan untuk membangunkan ekonomi ummah yang berperanan mengagihkan kekayaan dan sekali gus mengurangkan beban yang terpaksa ditanggung kerajaan.

Perdana Menteri berkata, wakaf umum seperti hospital mampu membantu mengurangkan beban kerajaan dari segi mengurangkan keperluan untuk meminjam dan membayar dengan kadar faedah yang tinggi sekali gus membantu kerajaan membangunkan negara mengurangkan masalah kemiskinan di kalangan rakyat.

Beliau berkata, di kebanyakan masyarakat, harta wakaf dibangunkan untuk kepentingan orang ramai seperti pertanian, perladangan, hartanah dan pembinaan selain projek seperti rumah perlindungan dan anak yatim.

“Tanggungjawab kita untuk memainkan peranan mempromosi konsep wakaf dan membuktikan kepada dunia sistem kapitalis bukan satu-satunya cara untuk mencapai pembangunan ekonomi dan kemakmuran,” katanya.