Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

28 Ogos 2008

Maruah Jalur Gemilang


Oleh Bennie Zie Fauzi




Bendera sebagai lambang sebuah negara, simbol aspirasi rakyat, warisan dan kewarganegaraan semua kaum di Malaysia

MALAM 31 Ogos 1957, Padang Kelab Selangor bermandi cahaya dan lautan manusia. Rakyat pelbagai kaum, jauh dan dekat hadir dengan satu matlamat; ingin meraikan detik pembebasan negara dari belenggu penjajahan Inggeris.

Perbezaan agama dan budaya ditolak tepi, jurang sosial dan komunikasi dilupakan, fahaman politik dipinggirkan malah beza warna kulit tidak langsung diambil peduli.


Tepat jam 12.01 malam, padang di kelab berprestij itu bergema dengan laungan ‘Merdeka!’ seiring upacara menaikkan Bendera Persekutuan Tanah Melayu. Detik itu juga, lagu Negaraku diperdengarkan kepada umum. Selama berkurun di bawah perintah asing, malam itu, bendera Union Jack ‘turun takhta’.

Bendera meskipun ditakrifkan Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu, sebidang kain yang diperagakan bagi menunjukkan tanda dan lambang kewujudan, juga dikenali panji dan obor namun malam itu darjatnya besar. Ia dilihat simbol aspirasi rakyat yang menginginkan kehidupan aman, makmur, maju dan bersatu padu.

Meskipun, sejak merdeka, ada kesungguhan menyatupadukan rakyat melalui bendera, kini, kredibilitinya bagai dicabar apabila berlaku satu demi satu insiden memalukan membabitkannya.



Peristiwa membakar Jalur Gemilang dalam satu rusuhan di Jalan Sultan Mahmud, Terengganu pada 8 September 2007 masih basah dalam ingatan. Belum pun mencecah setahun, kini ada ura-ura menyambut kemerdekaan dengan mengibarkan bendera secara terbalik oleh penulis blog.

Perlakuan ini disifatkan Pensyarah Kanan, Jabatan Sejarah merangkap Penyelaras Rancangan Pengajian Gender, Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya, Dr Arba’iyah Mohd Nor sebagai perpaduan membawa rebah.

Menyebut berpunca perasaan hormat yang kian pudar, Arba’iyah menasihatkan masyarakat lebih rasional dalam membezakan pemimpin yang menerajui kerajaan dengan bendera lambang negara.

“Pemimpin adalah mereka yang mentadbir negara melalui undian suara majoriti. Mereka datang dan pergi bila tiba masanya. Sementara, bendera mewakili negara bukan individu atau parti kerajaan. Ia simbol martabat, warisan dan kewarganegaraan semua kaum di Malaysia. Kedudukannya setaraf dengan Perlembagaan,” katanya.

Justeru, perbuatan membakar bendera bukan saja diibaratkan membakar hangus negara tetapi memijak lumat martabat dan maruah diri.

“Bayangkan pula panji kebesaran kita ini dimusnahkan negara luar? Sudah tentu kita rasa tercabar. Jadi, jangan kerana marahkan pihak tertentu, bendera menjadi korban. Seharusnya, kita tanpa mengira kaum mempertahankan kedaulatan bendera dari dicalar dan dicemari, sebagaimana kita berjuang menentang musuh di medan pertempuran,” ujarnya.

Jalur Gemilang yang suatu ketika dulu dipanggil bendera saja diilhamkan penciptanya dengan jiwa. Maka, setiap lambang dan warnanya menonjolkan maksud tertentu. Yang pasti, bahagian berwarna biru tua yang bermaksud perpaduan membawa pengertian paling mendalam kerana mewakili seluruh warga negara.

Apabila masyarakat saling bersatu, kejayaan pasti menyusul seperti dibuktikan melalui pembinaan Kuala Lumpur City Centre (KLCC), pencakar langit diiktiraf antara tertinggi di dunia, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA); lapangan terbang menawarkan perkhidmatan bertaraf antarabangsa, Litar Sepang yang dikunjungi ribuan orang saban kali Formula 1 berlangsung, Putrajaya; kompleks pentadbiran kerajaan dan destinasi pelancongan selanjutnya penubuhan Petronas, Proton, Khazanah Nasional Berhad dan sebagainya.

Arba’iyah berkata, semangat ‘biru tua’ harus dibawa ke mana saja kaki melangkah serta meliputi pelbagai aspek. Sukan antara kegiatan paling mengalu-alukan pembabitan bendera. Di sini bendera berperanan sebagai medium perpaduan dan penghormatan sekali gus.

“Sokongan terhadap atlit negara di temasya sukan antarabangsa diterjemahkan menerusi bendera yang dijulang dan dikibarkan. Ia menjadi senjata utama membangkitkan semangat juang. Penghormatan terhadap negara yang memenangi sesuatu kejohanan ditunjukkan dengan menaikkan bendera negara berkenaan bersama lagu kebangsaannya,”katanya.

Sementara, dalam peperangan, bendera dijadikan sumber kekuatan dan perpaduan tentera. Panji yang dibawa sewaktu bertempur selain menyemarakkan semangat patriotisme juga berfungsi membezakan pasukan sendiri dan musuh ditentang.

“Bercakap mengenai patriotisme langsung saya teringat isu pembakaran bendera. Bagi saya, bukan semua bersetuju dengan perbuatan itu tetapi bagi yang sayang dan hormatkan benderanya tentu marah serta kecewa. Dinilai dalam implikasi lebih besar, perlakuan ini mengundang rasa tidak hormat pihak luar terhadap negara kita yang akhirnya membuka peluang penjajahan semula. Sikap tidak baik ini perlu dikikis segera bagi mengelakkan campur tangan asing,” katanya.

Arba’iyah berkata, perlu ada langkah memupuk perasaan sayang dan hormat terhadap simbol kebanggaan negara ini. Langkah awal seharusnya bermula dari rumah membabitkan ibu bapa.

“Ibu bapa memikul tanggungjawab menyemai rasa kasih terhadap bendera, memperkenalkan selanjutnya menerangkan fungsinya kepada anak-anak. Keprihatinan ditunjukkan dengan cara mengibarkan bendera di rumah terutama menjelang Bulan Kemerdekaan.

“Sekurang-kurangnya anak-anak sedia mengenali fungsi dan kepentingan bendera sebelum memasuki alam persekolahan. Rasa hormat menerbitkan sayang dan cinta kepada negara,” katanya yang turut mencadangkan sukatan pelajaran pendidikan moral dan kewarganegaraan diselitkan pengetahuan mengenai Jalur Gemilang.

Ilmu diterapkan perlu mengambil kira etika dan tatacara memelihara bendera negara meliputi cara mengibar, melipat dan menyimpannya. Dalam pada itu, pengibaran bendera dibudayakan kerana dari sini jati diri, hormat dan kasih dapat diwujudkan.

“Budaya ini saya lihat belum menular dalam jiwa masyarakat. Saya pernah ke Turki ketika musim Piala Dunia lalu dan kagum dengan kecintaan mereka terhadap bendera.

“Penghormatan ditunjukkan dengan cara menggantung dan mengibar negara di segenap ceruk dan tempat, bukan saja di premis perniagaan bahkan di pintu masuk negara, berderetan di tiang lampu, papan iklan dan sebagainya. Tidak payah tunggu Hari Kemerdekaan, bila-bila masa pun semangat ingin menonjolkan bendera perlu ada,” katanya.

Beliau berkata, pengisian kemerdekaan bukan sekadar menggantung bendera dan mengibarkannya sewaktu perbarisan tetapi dizahirkan melalui penganjuran program berbentuk pertandingan melukis bertemakan Jalur Gemilang, kuiz, syarahan, pidato, perbahasan dan sebagainya.