Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

28 Ogos 2008

Bahasa Melayu Di Persada Dunia: Siaran Radio Bahasa Melayu di Beijing

[Oleh Aliah Abdul Rahim]

Pada 1 Mac tahun ini, Siaran Bahasa Melayu (SBM), Radio Antarabangsa China (CRI), Beijing menyambut ulang tahunnya yang ke-49. Siaran ini dahulunya dikenali sebagai Radio Beijing dan pertama kali dipancarkan dalam tahun 1959 selama setengah jam sahaja dengan tiga orang kakitangan yang mengendalikannya.

Sejak itu sehinggalah sekarang, SBM dapat didengar di Malaysia, Singapura, Brunei Darussalam, sebahagian Indonesia dan selatan Thailand.

Menjelang sambutan jubli emas SBM pada tahun depan, siaran ini telah mengalami banyak perubahan sama ada dari segi masa siaran, mutu rancangan mahupun taraf profesionalnya. Kini, siaran tersebut ke udara selama dua jam sehari dan dikendalikan oleh kira-kira 20 orang kakita ngan di Bahagian Bahasa Melayu, termasuk seorang penasihat bahasa daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Siaran pertama pada pukul 5.30 hingga 6.30 petang, manakala siaran kedua, iaitu siaran ulangan pada pukul 8.30 hingga 9.30 malam.

Siaran Bahasa Melayu merupakan salah satu daripada 38 jenis siaran bahasa di CRI, termasuk bahasa Mandarin dan empat jenis dialek Cina yang ke udara setiap hari. Radio Antarabangsa China yang ditubuhkan pada 3 Disember 1941 merupakan satu-satunya stesen radio China yang menyiarkan rancangan ke luar negara.

Matlamat CRI adalah untuk meningkatkan persefahaman dan persahabatan antara rakyat China dengan rakyat pelbagai negara di dunia. Justeru, terdapat kira-kira 200 jam siaran dalam pelbagai bahasa daripada bahasa-bahasa utama dunia seperti bahasa Inggeris, bahasa Arab sehinggalah kepada bahasa yang tidak ramai penuturnya, iaitu bahasa Urdu dan bahasa Pushto. Kandungan siaran termasuk berita, rencana semasa, rancangan khas tentang ekonomi, kebudayaan, sains dan teknologi, dan sebagainya. Disebabkan jaring an maklumat CRI yang luas, CRI digelar sebagai "Jambatan yang Menghubungkan China dengan Dunia" dan merupakan "cara yang mudah dan berkesan bagi memahami China".

Siaran Bahasa Melayu CRI telah menjalin hubungan dengan DBP sebelum penghantaran penasihat bahasa yang pertama pada tahun 1993. Penasihat bahasa DBP berkhidmat sebagai editor yang menyemak artikel dan berita yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu untuk siaran. Penghantaran penasihat bahasa setiap tahun dapat mengeratkan lagi hubungan CRI dengan DBP seiring dengan matlamat DBP untuk memartabatkan bahasa Melayu di persada dunia.

Seperti siaran radio yang lain, SBM juga mempunyai laman web yang dibuka secara rasmi pada 1 Oktober 2003. Pelbagai topik yang memberikan banyak maklumat tentang China khususnya turut termuat dalam laman tersebut selain berita semasa dari Malaysia. Antara maklumat yang menarik ialah waktu solat di China dan ruangan kuiz yang menyediakan hadiah berupa lawatan ke China. Menjelang Sukan Olimpik Beijing Ogos nanti, terdapat soalan kuiz tentang sukan dunia tersebut.

Seiring dengan teknologi komunikasi yang maju, kepetahan penyampai SBM yang terdiri daripada orang tempatan boleh didengar melalui siaran dalam talian. Disebabkan istimewa dan menariknya laman web SBM ini, maka ia pernah diiktiraf beberapa kali sebagai laman web siaran radio yang terbaik di CRI. Jendela benua China akan terbuka dengan melayari www.cri.com.cn atau http://my.chinabroadcast.cn