Maju Melayu Perkasa!

25 Oktober 2008

Aerobik elak nyanyuk


PERGERAKAN aerobik, iaitu senaman yang memerlukan tahap kecergasan tinggi, lazimnya menjadi pilihan golongan muda dalam usaha mereka untuk kekal sihat dan cergas.

Begitu pun, berita baik bagi golongan warga emas terutama yang berdepan dengan gejala-gejala penuaan seperti nyanyuk, apabila kajian terbaru yang disiarkan dalam edisi terbaru British Journal of Sports Medicine, mendapati latihan aerobik yang kerap bukan saja menghindari penurunan fungsi otak disebabkan peningkatan usia, bahkan juga membantu mengembalikan kecergasan otak.

Melalui laporan kajian oleh Drs. Arthur F. Kramer dan Kirk I. Erickson, dari University of Illinois Beckman Institute, Urbana, penurunan fungsi otak disebabkan peningkatan usia membuatkan tugas-tugas eksekutif seperti merancang, kerja-kerja yang memerlukan seseorang berfikir dan mengingati sesuatu dan melakukan pelbagai kerja dalam satu masa, menjadi lebih sukar.

Bagaimanapun, satu kajian penting ke atas tubuh menunjukkan tugas-tugas ini adalah proses yang sangat berkait rapat dengan latihan fizikal.

Bagi individu yang sama ada mempunyai atau tidak ada tanda-tanda nyanyuk atau alzheimer, aktiviti fizikal yang sederhana tetapi kerap dan cukup untuk meningkatkan degupan jantung, terbukti bukan saja mampu membuatkan fikiran lebih tangkas dan tajam, bahkan menambah jumlah tisu otak sekali gus meningkatkan fungsi otak.

Sebagai contoh, dalam kajian selama enam bulan yang dijalankan oleh Kramer dan rakan-rakannya, menunjukkan bahawa warga emas berusia antara 60 hingga 75 tahun yang bersenam dengan berjalan selama 45 minit sehari tiga kali seminggu bukan saja meningkatkan tahap kecergasan fizikal bahkan mental terutama keupayaan untuk melakukan tugas-tugas eksekutif, berbanding dengan kumpulan yang hanya melakukan senaman bukan aerobik seperti regangan dan sebagainya.

Keputusan kajian ini menunjukkan bahawa latihan aerobik yang sederhana dan kerap boleh mengurangkan penurunan keupayaan kognitif akibat peningkatan usia dan otak terus mengekalkan kapasitinya untuk berkembang biarpun pada usia tua.

Penyelidikan lain juga mendapati bahawa, warga emas yang lebih cergas dari segi fizikalnya terbukti kurang mengalami tanda-tanda penurunan keupayaan otak berbanding rakan mereka yang kurang cergas dari segi fizikal.

"Banyak persoalan yang masih belum terjawab berhubung kesan senaman terhadap otak. Bagaimanapun, kami percaya bahawa gaya hidup yang aktif dengan aktiviti aerobik yang sederhanan akan meningkatkan kognitif dan fungsi otak. Ia juga mengurangkan penurunan keupayaan saraf yang biasa dilihat pada orang tua," kata Kramer dan Erikson. - Reuters