Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

25 Oktober 2008

Hala tuju program angkasa


INDIA sememangnya sebuah negara yang begitu menakjubkan kerana berlatar belakangkan kemiskinan melampau rakyatnya, tetapi masih mampu mencapai kemajuan yang hebat dalam bidang teknologi tinggi.

Tidak perlu diperkatakan mengenai kehebatan India dalam bidang perisian dan teknologi maklumat, kerana India sememangnya dalam kelas yang tersendiri.

Beberapa hari lepas, India sekali lagi mencatat sejarah dalam bidang angkasa lepas dengan pelancaran misi pertamanya ke bulan melalui pesawat tanpa angkasawan yang dinamakan Chandrayaan-1 yang membawa maksud 'Kenderaan Bulan'.

Kejayaan India menghantar pesawat ke bulan adalah yang ketiga bagi rantau Asia iaitu selepas China dan Jepun melaksanakan misi yang serupa pada tahun lepas melalui pesawat yang dinamakan Chang'e dan Selene.

Tetapi apa yang menarik perhatian mengenai misi Chandrayaan-1 ialah perbelanjaan keseluruhannya adalah jauh lebih rendah dengan apa yang telah dibelanjakan untuk melancarkan pesawat China Chang'e atau Selene milik Jepun.

Kos keseluruhan misi Chandrayaan-1 hanya AS$80 juta berbanding dengan China dan Jepun masing-masing telah membelanjakan AS$187 juta dan AS$480 juta untuk misi yang serupa.

Bukan hanya kos misi India yang jauh lebih murah menarik perhatian dunia, tetapi kemampuan Pertubuhan Penyelidikan Angkasa Lepas India (ISRO) melaksanakan misi tersebut dengan kekangan yang pelbagai adalah begitu mengagumkan.

Berhadapan dengan kekangan sekatan pemindahan teknologi tinggi Amerika Syarikat (AS) yang dikenakan ke atas India setelah New Delhi mengadakan ujian ledakan nuklear pada tahun 1974, ISRO membangunkan teknologi angkasa lepas mengunakan hampir seratus peratus kemampuan saintis dan jurutera tempatan.

Kekangan kewangan yang diperuntukan bagi memajukan bidang angkasa tidak pernah membantutkan usaha ISRO, malah dijadikan pemangkin untuk menjadi lebih maju. Secara keseluruhannya India hanya memperuntukan perbelanjaan sebanyak AS$1 bilion untuk kegunaan bidang angkasa lepas.

Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) AS umpamanya mempunyai peruntukan AS$10 bilion sementara Pentadbiran Nasional Angkasa Lepas China (CNSA) mempunyai peruntukan dua kali ganda berbanding ISRO.

Malaysia mempunyai dua agensi yang dikatakan berkait rapat dengan bidang angkasa lepas iaitu Agensi Angkasa Negara (Angkasa) dan Remote Sensing Malaysia di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi. Malaysia juga mempunyai cita-cita yang tinggi dalam bidang angkasa lepas.

Wujudnya Majlis Angkasa Malaysia (MAC) yang dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri menunjukkan kesungguhan negara menerokai bidang yang penuh mencabar ini.

Mungkin tidak adil untuk membandingkan kejayaan ISRO dengan apa yang telah dicapai oleh Angkasa atau Remote Sensing Malaysia kerana ISRO telah lama berkecimpung dalam bidang tersebut.

Semenjak ditubuhkan 35 tahun yang lepas, ISRO telah berjaya melakukan pelancaran satelit sebanyak 26 kali di pusat pelancaran Sriharikota dan sehingga hari ini India mempunyai 11 satelit kegunaan Remote Sensing.

Dalam kategori yang sama Malaysia hanya mempunyai satelit TiungSat1 dan kemungkinan besar akan melancarkan satelit RazakSat pada penghujung tahun ini.

Apa yang menarik mengenai program angkasa lepas India ialah mereka tidak pernah menggunakan alasan kekurangan peruntukan sebagai kekangan untuk memajukan bidang tersebut. Hala tuju ISRO adalah jelas dan hari ini dunia telah memperakukan kehebatan India dalam bidang pelancaran satelit dan Remote Sensing.

Malaysia dikatakan masih terkial-kial untuk mencari hala tuju sebenar dalam bidang angkasa lepas kerana setakat hari ini masih tidak mempunyai dasar mengenai angkasa lepas yang jelas.

Kedua-dua agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi iaitu Angkasa dan Remote Sensing Malaysia dari segi strukturnya adalah organisasi besar yang mampu memainkan peranan memajukan bidang tersebut. Tanpa dasar angkasa yang jelas, kadangkala kelihatan terdapat pertindihan dan percanggahan bidang tugas kedua-dua agensi kementerian tersebut yang sudah tentu akan merugikan negara.

Setahun selepas angkasawan pertama Malaysia berjaya melawat Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS), masih tidak diketahui apakah nasib program tersebut. Apakah program tersebut akan diteruskan atau akan digantikan dengan program baru masih belum diputuskan oleh mereka yang bertanggungjawab.

Memang benar kos untuk meneruskan Program Angkasawan adalah terlalu tinggi kerana besar kemungkinan akan menelan belanja sehingga RM100 juta. Bagi sebuah negara seperti Malaysia ia sudah tentu merupakan satu perbelanjaan yang besar.

Tetapi rakyat Malaysia perlu akur bahawa penceburan dalam bidang angkasa lepas memerlukan perbelanjaan yang besar dan kemahuan politik yang lebih besar. India umpamanya dikatakan berjaya mengikis tentangan program angkasa kerana kemahuan politiknya mengatasi segala-galanya.

Bayangkan hampir satu pertiga rakyat India yang kehidupan mereka umpama kais pagi makan pagi tetapi masih mempunyai kekuatan untuk membelanjakan lebih dari AS$1 bilion setiap tahun untuk program angkasa lepas mereka.

Bukan hanya kerana India mempunyai dasar angkasa lepas yang jelas tetapi apa yang lebih penting adalah mereka yang bertanggungjawab melaksanakan program tersebut mempunyai kekuatan politik untuk menjalankan tugas mereka.

Memang benar Malaysia perlu menilai kembali program angkasa lepas negara dan ini termasuklah Program Angkasawan Negara itu sendiri. Tetapi satu perkara perlu difahami dan tidak dapat dielakkan, peruntukan yang besar adalah diperlukan jika Malaysia serius menceburi bidang tersebut. Di sinilah kemahuan politik yang kuat memainkan peranan yang penting untuk menjayakan misi tersebut.