Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

04 Oktober 2008

Kerinduan tidak terhingga


SETELAH setahun meninggalkan kita, esok sekali lagi takbir raya akan bergema tanda menjelangnya Syawal dengan penuh rasa keinsafan buat muslimin dan muslimat yang benar-benar menghayati kebesaran hari mulia itu.

Ia juga bermaksud bulan Ramadan sudah sampai ke penghujung dan sedang perlahan-lahan berlalu meninggalkan kita.

Entah cukup atau tidak, kepasrahan menunaikan ibadat kepada Yang Maha Esa bagi membersihkan jiwa daripada segala kesilapan yang dilakukan selama ini.

Bagaimanapun segala-galanya terpulang kepada yang empunya diri untuk menjadikan kesalahan lampau itu sebagai contoh teladan demi memperbaiki diri dan kembali ke pangkal jalan.

Yang lalu biarkanlah berlalu, namun hari-hari yang bakal mendatang perlu dihadapi dengan rasa tabah walaupun terpaksa berpisah dengan keluarga demi menebus kembali dosa-dosa yang telah dilakukan itu.

Wartawan DIYANA ROSE KAMALLUDEEN dan jurugambar Azli Ahad mengunjungi kaum ibu bergelar banduan di Penjara Wanita Kajang untuk menyelami perasaan mereka menyambut Aidilfitri di sebalik tembok besi tanpa keluarga tercinta.

(Nama-nama yang disiarkan bukan nama sebenar)

SHAFAWATI SALLEH, 23

Dimasukkan ke penjara sewaktu berusia 19 tahun kerana kesalahan mengedar dadah jenis ganja di Seremban lebih empat tahun lalu, Shafawati merupakan antara banduan termuda di penjara berkenaan.

Namun begitu tahun ini merupakan kali kelima dia menyambut Lebaran di sebalik tembok penjara tetapi ia sedikit pun tidak melunturkan perasaan rindu terhadap ibu bapa dan enam adik-beradiknya terutama pada pagi Aidilfitri nanti.

Apatah lagi mereka tidak jemu mengunjunginya setiap bulan di samping memberi perangsang dan nasihat agar dia tidak kecewa dengan apa yang berlaku sebaliknya menjadikannya sebagai kekuatan untuk memperbaiki diri di masa depan.

“Sepatutnya saya dipenjarakan selama lapan tahun tetapi syukurlah kerana rekod berkelakuan baik, hukuman saya disingkatkan.

“Alhamdulillah, tahun depan saya akan dibebaskan. Entah bagaimana masyarakat nak terima, tapi saya rindu sekali untuk kembali ke pangkuan keluarga,’’ katanya sebak.

Kata Shafawati, setelah merengkok dalam penjara barulah dia belajar mengenal Penciptanya. Kalau dulu sembahyang fardu pun liat hendak didirikan, kini dia terasa rugi jika ketinggalan menunaikannya lengkap dengan solat sunat sekali.

Di sebalik tembok besi itu jugalah wanita muda ini belajar sembahyang terawih dan bertadarus al-Quran bersama rakan-rakan banduan lain yang beragama Islam.

Jika diikutkan hati mahu sahaja dia lontarkan jauh-jauh ingatan terhadap peristiwa lima tahun lalu di mana dia dan dua kawan lelakinya ditangkap polis ketika dalam perjalanan dari Perak untuk menghantar ganja kepada si pembeli durjana itu.

Salah seorang lelaki berkenaan kini sedang menjalani hukuman penjara 11 tahun di penjara bersebelahan, manakala seorang lagi hanya direman.

Namun dia tetap bersyukur kepada Allah kerana tidak pernah cuba menghisap dadah itu sebaliknya terjerumus kerana sekadar seronok-seronok mengikut kawan-kawan dan mahukan kemewahan hidup.

“Saya suka mencuba perkara berbahaya tetapi langsung tidak pernah fikir akibatnya pada diri dan keluarga.

“Untuk remaja yang baru berjinak-jinak dengan dunia gelap ini, tolonglah tinggalkan secepat mungkin, dekatkan diri dengan keluarga.

Dengarlah cakap ibu bapa kerana nasihat mereka tahu apa yang baik untuk kita,’’ katanya mengakhiri perbualan.

FAUZIAH DIN, 51

Naluri keibuan seorang wanita tidak pernah sesekali luput walau seberat mana kesalahan yang dilakukan meski terjerumus dengan najis dadah sekalipun.

Sepanjang ditemu bual, Fauziah kelihatan tenang dan bersahaja tetapi apabila disebut sahaja tentang pagi raya, ibu kepada lima orang anak ini tiba-tiba mendiamkan diri. Kelihatan bergenang air matanya walaupun tidak tumpah berlinangan ke pipi.

Sepatutnya beberapa hari menjelang Aidilfitri ini dia ada bersama-sama keluarga untuk menyediakan persiapan raya dan memasak untuk mereka, sebaliknya kini dia hanya mampu menghadap tembok penjara dengan sepasang seragam hijau sebagai pakaian raya.

Malah kesedihannya jelas berbekas apabila tahun lalu anak-anaknya tidak datang menjenguk ibu mereka kerana menyambut hari raya bersama keluarga mertua. Namun Fauziah cukup gembira apabila mereka datang melawatnya pada Ramadan lepas.

“Jika tiada yang datang melawat, kami akan diberi makan nasi impit dalam bilik (tahanan) masing-masing bersama rakan-rakan sebilik lain.

“Hari raya pertama memang cukup sedih kerana semua orang duduk di bilik sahaja tanpa sebarang aktiviti,’’ ujarnya sayu.

Mengimbas kisah perit hidupnya, seperti kebanyakan penagih dadah Fauziah mula berjinak-jinak dengan perbuatan terkutuk itu sejak berusia lewat 40-an dan kemudiannya menjadi ketagih sehinggalah akhirnya dia dicekup polis.

Bagaimanapun hukuman yang dikenakan ke atasnya tidak lama iaitu tiga tahun atas kesalahan gagal melaporkan diri di balai polis setelah dibuang daerah bersabit kes dadah beberapa tahun lalu.

Pada mulanya Fauziah langsung tidak dapat menerima hakikat bahawa dia terpaksa merengkok dalam penjara gara-gara terlibat dengan dadah sedangkan ramai lagi sepertinya masih bebas di luar sana.

Pun begitu, Tuhan itu maha adil kerana lama-kelamaan tembok besi itu mengajar erti keinsafan buat dirinya. Kini dia benar-benar ingin pulang ke pangkuan keluarga dan menjadi ibu serta mertua yang baik untuk anak-anak dan menantunya.

MEGAWATI, 26

Seperti sebahagian besar ‘penghuni’ sepertinya di Penjara Wanita Kajang, Megawati adalah antara ribuan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang sanggup meredah risiko disumbat ke penjara gara-gara tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

Masakan tidak, hidupnya serba miskin di Sumatera Utara dan terpaksa pula menanggung keluarga termasuk anak perempuannya yang baru berusia lima tahun memaksa dia meninggalkan kampung halaman di Sumatera Utara, Indonesia walaupun hancur luluh perasaannya ketika itu.

Lebih parah lagi, ibu muda ini meletakkan nasibnya di tangan si tekong darat rakus yang sanggup menyeludup dan membahayakan nyawa manusia lain semata-mata mengejar kemewahan hidup.

“Hanya Allah yang tahu perasaan saya ketika itu apabila memikirkan segala bahaya menyeludup ke negara ini. Tapi apakan daya, pasport bukan percuma, tambang bukannya murah, saya ini orang miskin melarat.

“Jadi saya tetapkan fikiran ketika itu, apa nak jadi, jadilah yang penting dapat kumpul sedikit duit untuk anak di kampung,’’ ujar Megawati sambil air mata tumpah ke pipinya.

Menurutnya, sepanjang 14 bulan di negara ini, dia hanya sempat melihat dunia luar beberapa bulan sahaja sebelum dikesan Jabatan Imigresen dalam operasi membanteras PATI dari rumah ke rumah di Pandamaran, Klang tahun lalu.

Walaupun begitu Megawati berjaya mengumpul 10 juta rupiah (RM3,700) hasil titik peluhnya sebagai pembantu kantin. Wang itu telah dihantar pulang kepada keluarga untuk meringankan bebanan suaminya yang mengambil upah bekerja di ladang kelapa sawit di Indonesia.

“Sekarang saya reda dengan apa yang telah berlaku dan rela menanggung hukuman ini walaupun terpaksa berpuasa dan menyambut lebaran jauh daripada keluarga.

“Ya, kami memang salah kerana menceroboh ke mari tapi apa lagi jalan yang ada, kami orang miskin, jika saya tidak bantu keluarga, siapa lagi mahu bantu?’’ ujarnya.

Megawati akan dihantar pulang ke negara asal pada 25 Oktober ini setelah menjalani hukuman penjara selama setahun di Penjara Wanita Kajang.