Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

04 Oktober 2008

Aidilfitri bukan hanya untuk bersuka ria


SYAWAL yang mulia ini membawa bersama perayaan umat Islam iaitu Hari Raya Aidilfitri. Pada hari ini kita disunat memperbanyakkan bertakbir, bertahmid dan bertasbih sempena meraikan kejayaan kita melawan hawa nafsu di sepanjang bulan Ramadan.

Sayangnya, akui bekas pensyarah Jabatan Fiqh dan Usul, Bahagian Pengajian Syariah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM), Datin Dr. Paizah Ismail, ada segelintir kita melihat Aidilfitri sebagai satu perayaan bersuka ria semata-mata. Sementelahan pula suasana ini disambut setahun sekali.

Kata beliau, sebenarnya, ia bukan sekadar upacara tradisi yang bersifat ritual tanpa makna atau tujuan. Aidilfitri juga tidak seharusnya bersifat pesta rutin tahunan riuh-rendah tanpa haluan.

“Sebaliknya, Aidilfitri harus membuka lembaran baru ke arah memperkasakan keperibadian umat yang lebih cemerlang terutamanya setelah menjalani proses tarbiah Ramadan,” katanya mengulas ringkas sambutan kehadiran Syawal.

Pun begitu, ujar beliau lagi, ini tidak bermakna Islam melarang atau menghalang umat Islam meraikannya. Sebabnya Baginda SAW sendiri menyambut hari kemenangan ini dengan bertukar pakaian baru sebagai satu cara melahirkan perasaan gembira.

Apabila kita sebut raya, lumrah orang kita meraikannya dengan berpakaian cantik, menyediakan juadah. Malah sebaik selesai menunaikan solat sunat hari raya, kita akan bermaaf-maafan dan menziarahi sanak saudara serta jiran tetangga.

Malah menjadi trend masa kini, segelintir golongan remaja yang menyambut cuti raya dengan mengunjungi pusat hiburan, kompleks beli belah dan kafe siber atau menonton wayang. Ada pula yang lebih selesa memerap di rumah menonton pelbagai rancangan televisyen ataupun lebih suka tidur.

Bagaimanapun jelas Paizah, cara seseorang itu meraikannya berbeza-beza daripada segi fizikal mahupun spiritual. Ia bergantung kepada tahap keimanan seseorang.

“Kalau orang itu menghayati falsafah Aidilfitri yang sebenar, iaitu kembali kepada fitrah, maka sambutannya tidak ditumpukan kepada fizikal sahaja tetapi lebih banyak berzikir, bertasbih dan bertahmid dan mengharap agar ganjaran itu berulang-ulang,” jelasnya.

Menurut Faizah lagi, umat Islam sepatutnya meningkatkan kesedaran untuk kembali mengeratkan tali silaturahim antara sesama Muslim khususnya keluarga terdekat. Sungguhpun, dalam soal persaudaraan atau ukhuwah, ia tidak khusus pada hari raya kerana Islam menuntut setiap umatnya untuk saling berbaik.

“Walau bagaimanapun, platform raya mungkin perlu kerana kalau hendak nantikan hari biasa mungkin ramai yang tidak berkesempatan disebabkan kesibukan dengan rutin kerja dan sebagainya.

“Maka, peluang berkumpul di hari raya inilah dipergunakan sebaik mungkin untuk merapatkan hubungan yang jauh dan dekat, yang bertahun terpisah dan menjernihkan yang keruh kerana berselisih faham,” katanya dalam pertemuan dengan Mega, baru-baru ini.

Hakikatnya, tidak ada apa yang menjadi penghalang untuk merungkai kembali tali silaturahim yang mungkin tersimpul dalam realiti kehidupan duniawi. Waima perbezaan fahaman politik sekalipun tidak akan mampu memecahkan kasih sayang sesama insan sekiranya iman dijadikan sandaran utama.

Sementara itu, tegasnya lagi, perlu diperbetulkan amalan yang mengatakan yang muda menziarahi yang tua kerana hakikatnya, untung nasib seseorang itu berbeza-beza. Yang terbaiknya, ia memerlukan persefahaman kedua-dua belah pihak. Begitu juga dalam hal buah tangan untuk orang yang kita kunjungi.

“Ada ketikanya, orang yang berpangkat lebih tua itu lebih mempunyai kemudahan berbanding yang muda. Jadi tidak salah, jika dia berkunjung ke rumah mereka yang jauh lebih muda. Sekurang-kurangnya, pertalian persaudaraan itu tidak terputus disebabkan terlalu rigid dengan kebiasaan ini.

“Hal yang sama turut diterapkan dalam soal buah tangan, cenderamata atau hadiah. Jangan disebabkan tidak berkemampuan menyediakan buah tangan, ia menyebabkan seseorang itu sanggup menarik diri daripada menyertai rombongan keluarga. Inilah yang kita tidak mahu,” pesan Paizah.

Ini kerana menjaga hubungan silaturahim itu besar ganjaran manakala mereka yang memutuskan tali persaudaraan, berat pula balasan dosa yang akan diterima di akhirat kelak.

Menyentuh senario semangat ukhuwah di Malaysia, kata Paizah menerusi pengamatan dan pemerhatian beliau, roh sebegini alhamdulillah masih menebal malahan ada di sesetengah negeri, semangat kunjung mengunjung dan bermaaf-maafan di sambut selama sebulan mengambil sempena bulan Syawal.

Justeru nilai-nilai persaudaraan dan ikatan ukhuwah bersandarkan ajaran Islam itu harus dihayati di tengah- tengah keriuhan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Sebenarnya, kata Faizah, kebiasaan masyarakat Islam meraikan raya sehingga sebulan itu tidak boleh dipandang daripada sudut negatif. Islam membenarkan sesuatu selagi mana ia tidak melanggar batas syarak, berlaku unsur pembaziran dan riak.

“Malah dalam menangani soal anak-anak yang tidak suka menziarah sanak saudara kerana lebih memilih tarikan televisyen serta ibu bapa terpaksa menggula-gulakan anak-anak dengan ganjaran duit raya, itu terletak kepada kebijaksanaan ibu bapa itu sendiri.

“Ia sebenarnya bergantung kepada situasi kita mendepani kes ini. Kita perlu mencari waktu yang disepakati seluruh ahli keluarga agar matlamat asasnya iaitu menghubungkan tali silaturahim tercapai. Lantaran itu, anak-anak perlu dijelaskan mengapa Islam menggalakkan begitu dan begini, barulah mereka melakukannya tanpa perlu dipaksa dan melihat keseronokan daripada pengamalannya,” katanya.

Di samping itu ujar Paizah lagi, ibu bapa harus memain peranan membawa anak-anak berkunjung ke rumah saudara mara. Ini kerana, dengan membiasakan anak-anak sejak kecil melalui amalan sedemikian maka dewasa kelak mereka akan lebih mudah mengamalkannya.

Selain menerima tetamu di kalangan saudara mara, jangan dilupa menjamu fakir miskin dan jiran terdekat. Amal jariah sedemikian yang dilaksanakan ketika Ramadan patut diteruskan ketika menyambut Aidilfitri. Dengan ini ukhuwah dalam masyarakat dapat terus dieratkan, sekali gus beristiqamah dalam bersedekah.

Maka pertemuan kita dengan Syawal ini seharusnya mencetuskan perubahan dalam diri kita ke arah kebaikan. Kita perlu menginsafi bahawa bulan Ramadan yang baru meninggalkan kita merupakan medan latihan terbaik untuk membuat peningkatan diri.