Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

18 Oktober 2008

Keselamatan sosial pekerja kita di Singapura


KEMELESETAN ekonomi dunia yang kini melanda negara maju sudah mula memberi kesan kepada ekonomi negara kita. Kenyataan Menteri Sumber Manusia semalam bahawa lebih 300,000 pekerja Malaysia di Singapura kini perlu bersedia dengan kemungkinan diberhentikan kerja oleh majikan mereka perlu diberi perhatian oleh kerajaan.

Dianggarkan lebih 30 peratus daripada sumber tenaga di Singapura adalah rakyat Malaysia dan kebanyakan mereka terdiri daripada pekerja sektor perkilangan, buruh binaan, perkapalan, pengangkutan dan buruh bukan mahir dalam sektor lain.

Mereka inilah yang akan menjadi mangsa pertama kemelesetan ekonomi di Singapura. Golongan inilah selalu membanjiri Tambak Johor setiap pagi dan malam untuk berulang-alik ke republik itu untuk bekerja.

Yang mendukacita mengenai golongan ini ialah mereka tidak ada sebarang skim keselamatan sosial seperti KWSP dan PERKESO. Memandangkan mereka ini adalah pekerja bukan mahir yang bekerja dengan permit kerja, mereka tidak dimasukkan dalam skim Central Provident Fund (CPF) di Singapura. Lebih menyedihkan, mereka juga tidak termasuk dalam skim KWSP atau PERKESO.

Bagi pekerja di Malaysia, mereka dilindungi di bawah skim PERKESO dan mencarum dengan KWSP dan ini sekurang-kurangnya memberikan keselamatan sosial kepada mereka jika berlaku sebarang malapetaka ataupun dapat mengunakan wang simpanan KWSP pada usia tua nanti.

Sudah tiba masa untuk kerajaan Malaysia dan agensi keselamatan sosial di Malaysia seperti KWSP dan PERKESO memikirkan kaedah bagi mewujudkan skim keselamatan sosial untuk golongan pekerja kita di Singapura. Terdapat beberapa langkah yang boleh diambil oleh kerajaan dalam pekara ini, antaranya;

l Mengarahkan KWSP dan PERKESO menyediakan skim khas secara wajib kepada golongan ini.

l Membuat perjanjian dengan kerajaan Singapura supaya golongan ini diwajibkan mencarum di bawah skim CPF di Singapura.

Di bawah langkah pertama, sebagai permulaan KWSP dan PERKESO boleh menggalakkan golongan ini mencarum dalam skim mereka secara sukarela. Galakan dan promosi perlu dihebatkan kerana ramai pekerja ini tidak tahu mengenai kemudahan yang disediakan oleh agensi ini.

Sebagai usaha tambahan agensi ini boleh mengadakan perbincangan dengan rakan mereka di Singapura mengenai kemungkinan CPF menjadi ejen kutipan caruman mereka di Singapura.

Sebagai langkah jangka panjang KWSP dan PERKESO mungkin boleh mengkaji kemungkinan membuka cawangan mereka di Singapura bagi memberi perkhidmatan kepada mereka ini.

Kerajaan Malaysia juga boleh memulakan perbincangan dengan kerajaan Singapura dengan kemungkinan mewajibkan semua pekerja Malaysia di Singapura mencarum di CPF sama seperti rakyat mereka.

Sebagai balasan rakyat Singapura yang bekerja di Malaysia akan diwajibkan mencarum dalam KWSP sama seperti rakyat Malaysia. Perjanjian ini juga boleh diluaskan lagi dengan membenarkan wang simpanan pekerja Malaysia di Singapura dipindahkan kepada KWSP jika mereka berhenti kerja di Singapura dan sebaliknya.

Pada zaman globalisasi ini ramai rakyat Malaysia mula keluar negara untuk bekerja dan Singapura adalah salah satu negara dalam senarai ini. Konsep keselamatan sosial kepada rakyat Malaysia tidak boleh dilihat dalam pendekatan yang konservatif dengan mengambil kira rakyat yang bekerja di dalam negara sahaja.

Kerajaan dan agensi keselamatan sosial di Malaysia perlu mempunyai hala tuju dan wawasan dalam memikirkan keselamatan sosial kepada semua golongan termasuk rakyat Malaysia yang bekerja diluar negara kerana mereka tetap akan kembali ke tanah air semasa usia tua nanti.

GUNASEKARAN THOLASY
Bangi