Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

18 Oktober 2008

Mencari pengganti sistem kapitalis



Reaksi dua pedagang saham ketika meneliti perkembangan pasaran di New York Stock Exchange, Khamis lalu.
- AP


KRISIS kewangan yang melanda Amerika Syarikat (AS) dan Eropah kini menunjukkan seperti ada yang tidak kena dengan sistem pasaran bebas.

Selama ini sistem kapitalis itu berjaya mengharungi setiap ujian getir krisis ekonomi yang berlaku pada setiap kitaran sepuluh tahun sejak tahun 1970-an.

Lebih menarik lagi krisis itu berlaku ketika AS dipimpin oleh Presiden George W. Bush yang terkenal dengan banyak tindakan kontroversi seperti menyerang Iraq dan isu keganasan.

Ada pihak yang menganggap krisis itu berlaku sebagai balasan terhadap kekejaman yang dilakukan oleh Bush terhadap penduduk di Iraq dan kempen memerangi pengganas.

Sejak sekian lama AS kerap sibuk mendesak negara-negara membangun supaya mengamalkan kebebasan perdagangan sepenuhnya tetapi negara itu kini terpaksa 'memerah keringat' untuk mencari penyelesaian berhubung krisis kewangan.

Bush turut sibuk mencari penawar terbaik bagi mengatasi krisis itu ketika Perdana Menteri Britain, Gordon Brown digelar 'hero' oleh media kerana melaksanakan satu pakej menyelamat berjumlah AS$62 bilion (RM217.22 bilion).

Pakej anjuran Brown itu menggunakan wang pembayar cukai bagi membeli saham dalam Royal Bank of Scotland, Bank Lloyds TSB dan Halifax/Bank of Scotland dan dianggap sebagai bail out sekali gus merupakan campur tangan kerajaan dalam sistem pasaran bebas.

Krisis kewangan semakin parah selepas bank pelaburan keempat terbesar di AS, Lehman Brothers memfailkan permohonan muflis pada 15 September lalu sekali gus mengheret Eropah ke dalam kancah krisis kewangan.

Bursa-bursa saham terbesar dunia turut merudum antaranya Dow Jones, New York yang pernah mencatatkan indeks di bawah 10,000 mata manakala berita baik untuk pengguna adalah harga minyak menurun dengan mendadak selepas mencatatkan rekod kenaikan AS$149 (RM520 setong) pada Julai lalu.

Ketika ini begitulah senario yang dihadapi di AS dan Eropah yang masih belum pulih daripada krisis kewangan yang dipercayai berpunca daripada subprima iaitu kaedah memberi pinjaman kepada golongan yang mungkin tidak mampu membayar balik di AS.

Adakah sistem kapitalis yang diguna pakai kini sudah tiba ke penghujung dan perlu digantikan dengan kaedah baru?

Pandangan sedemikian berlegar di kalangan pakar-pakar ekonomi malah Bush pada Rabu lalu menjelaskan tindakan drastik kerajaan AS membeli saham-saham dalam sembilan bank utama adalah untuk memelihara sistem perdagangan bebas.

Bush masih mempertahankan sistem perdagangan bebas yang diamalkan oleh hampir kesemua negara dunia dan menjelaskan tidak akan menggantikannya dengan kaedah lain walaupun penggal perkhidmatannya bakal berkahir Januari depan.

Dalam sejarah AS, setiap Presiden negara itu mempunyai pendekatan tersendiri untuk menguruskan ekonomi selepas mendengar 'sekumpulan penasihat kewangan.'

Presiden AS yang ke-40, Ronald Reagan menamatkan penggal perkhidmatan pada tahun 1989 dengan mewariskan penggantinya dengan hutang AS$2.6 trilion (RM9.2 trilion) berbanding ketika memegang jawatan tersebut tanah airnya hanya berhutang sebanyak AS$0.9 trilion (RM3.18 trilion).

Ketika Bush masih bergelut memulihkan krisis kewangan itu, adakah beliau juga bakal mengalami nasib sama dengan Reagan dengan mewariskan hutang besar kepada bakal penggantinya sama ada John McCain atau Barack Obama?

Memang benar, pada masa ini penduduk dunia masih belum menemui pengganti terbaik untuk sistem kapitalis yang dicipta berdasarkan idea-idea pemikir ekonomi negara-negara elit.

Semua penduduk di dunia kini mahu tidak mahu terpaksa bergantung kepada sistem kapitalis dalam meneruskan ke hidupan seharian kerana barangan komoditi ditentukan oleh pasaran bebas menyebabkan apabila harga minyak naik, harga barangan keperluan turut melonjak.

Krisis kewangan yang tidak diundang itu juga menjadi topik hangat yang mewarnai dunia selepas isu keganasan dan Iraq yang semakin 'sejuk' daripada menjadi perhatian masyarakat antarabangsa.

Ironinya, krisis itu berlaku dengan serius di AS dan Britain iaitu dua buah negara yang terkenal kerana mempunyai banyak institusi kewangan terhebat dunia selain pakar-pakar ekonomi terbaik.

Terdapat hikmah daripada krisis kewangan yang berlaku itu apabila Kumpulan Negara Maju (G8) mengumumkan pada Rabu lalu bahawa satu persidangan bakal diadakan mungkin November ini untuk mencari pelan yang mampu mengelak ekonomi dunia runtuh - sudah semestinya buat masa ini rujukannya terarah kepada sistem kapitalis.

Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy menuntut supaya persidangan itu nanti bakal menjadikan dunia menuju ke arah 'satu bentuk prinsip kapitalis baru.'

Apakah bentuk prinsip kapitalis baru itu?

Setakat ini prinsip yang dicanangkan oleh Sarkozy itu masih belum jelas tetapi apa yang pasti, Britain yang dipimpin oleh Brown mendahului negara-negara lain bagi mendesak perubahan dilakukan dalam sistem kewangan global.

Brown menyatakan persidangan itu memerlukan misi sama seperti yang berjaya mewujudkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan dalam Persidangan Bretton Woods sehingga sistem mata wang serta sebuah institusi kewangan antarabangsa diwujudkan pada 1940-an.

Kenapakah Britain aktif mengemukakan idea seperti itu sehingga pakej menyelamat bank-banknya ditiru oleh Bush?

Mungkin sebab sikap 'tanggungjawab sosial' itu terletak pada bahu Britain kerana amalan ekonomi kapitalis diinstitusikan di negara itu antara abad ke-16 dan 19 sebelum tersebar sehingga ke seluruh dunia.

Sikap Brown dan G8 untuk mencari pendekatan baru bagi menyelamatkan ekonomi dunia itu adalah baik tetapi ia juga perlu melibatkan tidak hanya kumpulan negara elit tetapi juga masyarakat antarabangsa termasuk negara-negara membangun.

Jika cara itu tidak dilakukan, tanggapan bahawa dunia hanya mengutamakan pandangan daripada negara-negara elit seperti pada 1940-an dan awal abad ke-20 akan terus berlaku, sekali gus persidangan tersebut dianggap hanya mengutamakan 'periuk nasi' negara-negara maju.