Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

25 Oktober 2008

Keterbukaan ciri penting pemimpin pelbagai kaum



MALAYSIA yang sudah terbentuk dan merdeka sejak setengah abad lalu adalah antara negara paling unik di dunia kerana rakyatnya pelbagai kaum merangkumi puluhan etnik meskipun Melayu, Cina dan India adalah kaum utama. Sesiapa saja yang menjadi pemimpin sama ada dalam arena politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau organisasi sosial lain, perlu memahami hakikat ini. Oleh itu, majoriti rakyat negara ini tidak suka kepada sebarang bentuk sikap perkauman yang melampau dan sebagainya kerana mereka lebih suka kepada kehidupan harmoni dan kesejahteraan. Berdasarkan hakikat ini juga, setiap parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) perlu lebih peka apa yang berlaku di sekeliling mereka. MIC sebagai parti kaum India misalnya, juga perlu mengambil tahu apa yang berlaku dalam masyarakat Melayu dan Cina. Begitu juga bagi Umno dan MCA serta parti lain di Sarawak dan Sabah. Oleh itu, kita amat mengalukan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kelmarin bahawa Umno perlu melangkaui amalan politik berasaskan perkauman untuk membolehkannya mewujudkan kepemimpinan yang dapat diterima semua kaum jika mahu terus menerajui negara dan kekal memegang kuasa. Timbalan Presiden Umno itu berpendapat sudah sampai masanya parti itu menyedari hakikat bahawa ia harus boleh diterima segenap lapisan masyarakat pelbagai kaum membabitkan mereka yang bukan ahli Umno dan bukan Melayu.

Jika diperhatikan selama ini, sebahagian ahli politik bukan saja dalam Umno, malah MIC dan MCA terutama pada peringkat bawahan lebih cenderung untuk menjaga kepentingan ahli parti masing-masing. Benar, parti itu menjaga hal ehwal kaum masing-masing tetapi keadaan semasa memperlihatkan seseorang, terutama yang memegang jawatan pada peringkat bahagian hendaklah lebih terbuka, melangkaui fahaman politik kepartian. Dalam pemilihan Umno peringkat bahagian sekarang ini misalnya, mereka yang berkempen dan berhasrat menyandang pelbagai jawatan dalam sesuatu bahagian hendaklah dipilih di kalangan mereka yang bersikap terbuka. Inilah sebenarnya landasan untuk melatih mereka menjadi pemimpin masa depan negara dan daripada awal lagi perlu disuntik unsur sentimen pelbagai kaum, bukan seseorang yang berfikiran sempit dan tertutup kepada kaumnya saja. Bagi ahli Umno, masanya sudah tiba untuk mereka berfikiran jauh dan menyedari bahawa jika mahu kekal berkuasa, mereka mesti dapat memenuhi kehendak khalayak lebih besar meliputi setiap lapisan masyarakat, termasuk mereka yang bukan ahli Umno serta orang bukan Melayu. Seperti kata Najib, jika sudah dipilih sebagai Ketua Umno bahagian, bukan itu saja kesudahannya. Sebaliknya, ia adalah permulaan tanggungjawab bukan hanya terhadap ahli Umno, malah turut membabitkan orang ramai secara umum. Umno perlu berubah mulai sekarang dan bukan terus berada dalam kongkongan kaum sendiri.