Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

25 Oktober 2008

Sikap tidak menghormati Yang Dipertua


KALAU ahli Parlimen veteran sendiri tidak dapat menghormati Yang Dipertua Dewan Rakyat dengan menuduh beliau 'main-main' serta tidak serius bagaimana hendak mendidik ahli-ahli Parlimen muda ataupun yang pertama kali bergelar Yang Berhormat menghormati Yang Dipertua.

Berdasarkan kepada persidangan Penggal Pertama Parlimen Ke-12 ini, nampaknya rasa hormat terhadap Yang Dipertua berada pada paras yang rendah.

Bayangkan setiap kali bersidang, pelbagai usaha dilakukan oleh Yang Dipertua Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan dua timbalannya, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Datuk Ronald Kiandee, memastikan persidangan berjalan dan mengikut peraturan.

Pelbagai peraturan mesyuarat digunakan untuk memastikan ahli-ahli Parlimen bersidang sebagai Yang Berhormat, malangnya perkataan-perkataan yang tidak harus disebut seperti samseng, Orang Utan, babi hutan, kurang ajar dan pelbagai bahasa kasar terpacul keluar.

Apabila Pandikar Amin dan dua timbalannya bertegas, mereka pula digelar dengan pelbagai perkataan seperti Guru Besar yang sepatutnya tidak harus diungkapkan.

Paling memualkan ialah semasa celahan-celahan tidak bertauliah iaitu ketika seorang ahli Parlimen sedang berbahas, mereka yang tidak mendapat kebenaran Yang Dipertua terus bangun dan mencelah, Perbuatan yang paling tidak menyenangkan apabila mereka yang tidak dibenarkan mencelah mengeluarkan katakata ugutan seperti penakut.

Cuma janganlah sampai ada ahli Parlimen yang dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen yang membolehkan individu berkenaan digantung untuk tempoh yang lama seperti mana yang dialami oleh Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) dahulu.

Namun persoalannya sampai bilakah persidangan Dewan Rakyat akan berterusan begini dan bilakah persidangan akan mengikut peraturan serta ahli Parlimen menjalankan tugas seperti yang diharapkan. Tugas ahli Parlimen ialah mengutarakan masalah rakyat dan melobi bagi meluluskan dasar-dasar untuk membangunkan negara dan rakyat.

Mungkin mustahil untuk mendapatkan persidangan yang berjalan sempurna di mana semua ahli Parlimen mengikut peraturan tetapi sekurang-kurangnya hormatilah Yang Dipertua serta Timbalan Yang Dipertua apabila diarahkan mematuhinya.

Seperkara lagi adakah wajar ahli-ahli Parlimen mempersoalkan kuasa Pandikar Amin yang menolak usul-usul daripada dibahaskan di Dewan Rakyat berdasarkan kepada peraturan mesyuarat serta usul tersebut didapati melanggar undang-undang.

Inilah yang berlaku apabila Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian) yang mahu mempersoalkan pelantikan Ketua Hakim Negara sedangkan ia dilarang keras dibangkitkan berdasarkan Perkara 27 Perlembagaan Persekutuan.

Soal Salahuddin, sampai bila peruntukkan undang-undang ini harus digunakan untuk menghalang ahli-ahli Parlimen daripada membahaskan soal kelakuan dan sikap hakim-hakim.

Namun ahli Parlimen Kubang Kerian itu perlu menyedari bahawa membahaskan secara terbuka kelakuan dan sikap hakim-hakim boleh menjatuhkan imej badan kehakiman negara. Jika ahli Parlimen ingin menegur, seboleh-bolehnya buatlah secara tertutup. Mungkin ahli Parlimen boleh mengadakan dialog dengan Ketua Hakim Negara yang baru, Tan Sri Zaki Tun Azmi.

Menolak

M.Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) pula mempersoalkan mengapa usul beliau mengenai Hindraf ditolak di bawah Perkara 18(7) dan dibacakan sekali dengan Perkara 18(8) yang memberi kuasa kepada Yang Dipertua untuk menolak usul yang tidak perlu disegerakan.

Namun penghormatan perlu diberikan kepada ahli-ahli Parlimen dari Sarawak dan Sabah yang jelas memahami tugas sebenar sebagai wakil rakyat iaitu mengutarakan masalah rakyat.

Ahli-ahli Parlimen ini membangkitkan pelbagai isu dari sebesar-besar sehingga sekecil-kecil masalah seperti kenaikan harga barang, tidak ada jalan raya, tidak ada klinik kesihatan, tidak mendapat biasiswa, peruntukan tidak mencukupi dan undang-undang yang tidak dikuatkuasakan dengan sempurna hinggalah masalah kad pengenalan.

Apa yang membanggakan, ahli Parlimen yang terlibat dalam perbahasan terus mengutarakan permintaan rakyat walaupun ia telah disuarakan hampir 10 tahun lalu dan diulang setiap kali semasa perbahasan bajet.

Sikap inilah yang perlu ditunjukkan oleh semua ahli Parlimen iaitu memperjuangkan hak rakyat yang diwakili dan bukannya membawa perjuangan sempit seperti apa yang dibawa oleh Kulasegaran. Beliau hanya ingin membahaskan isu Hindraf yang telah diharamkan dan kononnya pasport antarabangsa salah seorang pemimpin pertubuhan haram itu telah dibatalkan.

Sedangkan Hindraf tidak pernah didaftarkan dan sememangnya sebuah pertubuhan haram serta isu pasport pemimpin pertubuhan itu pula tidak pernah dibatalkan malahan boleh digunakan sepenuhnya seperti pasport-pasport antarabangsa milik rakyat Malaysia lain.

Penolakan usul-usul ini oleh Yang Dipertua mungkin ada kewajaran tetapi pasti ada jalan keluar dalam menyelesaikan masalah ini.

Minggu depan, menteri-menteri akan menggulung perbahasan dan sudah tentu ramai akan ternanti-nanti jawapan yang diberikan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam beberapa isu seperti tender Eurocopter, pembelian Bank Internasional Indonesia (BII) dan Projek Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB)