Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

04 Oktober 2008

Mas kahwin cermin kasih sayang


Soalan
Saya akan melangsungkan perkahwinan tidak lama lagi. Tetapi saya dan pasangan masih tidak dapat membuat kata putus tentang mas kahwin dan wang hantaran. Bakal suami saya mahu memberi sekali gus, kerana katanya tidak ada beza dan memudahkan dia untuk membayar.

Dia juga mahu menetapkan harga yang mahu dibayar. Ibu bapa saya agak tidak bersetuju kerana kata mereka kita harus menurut penetapan, adat dan silah agama.

Saya agak keliru kini. Sebenarnya, apakah perbezaan antara mas kahwin dan wang hantaran? Adakah wajib bagi bakal suami untuk menyediakan kedua-duanya? Bolehkah jika saya ingin menetapkan mas kahwin lebih daripada apa yang ditetapkan oleh kerajaan kerana bakal suami saya mampu untuk membayar lebih.

Rose Anieda

Alor Star, Kedah

Jawapan

Tahniah diucapkan kepada saudari kerana bakal melangsungkan perkahwinan kelak.

Setiap perkahwinan yang sah adalah berdasarkan rukun-rukun nikah yang terkandung di dalam Hukum Syarak iaitu pengantin perempuan, pengantin lelaki, wali, saksi, ijab dan qabul. Manakala mas kahwin atau pemberian adalah salah satu syarat yang dikenakan sebagai mahar pembayaran yang diberi atau dijanjikan dibayar kepada pengantin perempuan itu.

Mas kahwin pada asalnya merupakan wang yang dibayar oleh pihak pengantin lelaki kepada ibu bapa pengantin perempuan untuk membantu kos perbelanjaan kenduri perkahwinan.

Tetapi pada zaman kini dan setelah kompromi antara undang-undang Islam dan adat Melayu, mas kahwin adalah mahar pembayaran yang diberi kepada pengantin perempuan itu sendiri.

Manakala wang hantaran atau pemberian lebih merupakan adat Melayu yang telah diamalkan sejak dahulu lagi. Wang hantaran ini adalah hadiah yang diberikan oleh pihak lelaki kepada pihak perempuan. Ini tidaklah diwajibkan seperti mas kahwin.

Memberi mas kahwin kepada isteri hukumnya wajib. Menurut Abu Hanifah dan mazhab Syafie, isteri berhak mendapat mahar apabila akad nikahnya sah.

Pemberian mas kahwin suami dianggap sebagai lambang kesungguhan suami terhadap isteri. Selain itu, ia mencerminkan kasih sayang dan kesediaan suami hidup bersama isteri serta sanggup berkorban demi kesejahteraan rumah tangga dan keluarga. Ia juga merupakan penghormatan seorang suami terhadap isteri.

Walau bagaimanapun mas kahwin tidak termasuk di antara rukun-rukun nikah atau syarat sahnya sesuatu pernikahan.

Sekiranya pasangan bersetuju bernikah tanpa menentukan jumlah mahar, pernikahan tersebut tetap sah tetapi suami diwajibkan membayar mahar misil (yang sepadan).

Manakala wang hantaran seperti yang dinyatakan di atas, iaitu lebih merupakan adat Melayu. Wang hantaran yang lazim diberi di kalangan masyarakat kita adalah berupa wang atau hadiah daripada suami kepada isteri dan juga hadiah daripada isteri kepada suami, iaitu saling bertukar hadiah sebagai tanda setuju dengan perkahwinan itu.

Hantaran tidak wajib tetapi merupakan adat dan hukumnya harus. Wang hantaran ini lebih merupakan keikhlasan pihak lelaki kepada pihak perempuan sebagai membantu menampung perbelanjaan kenduri kendara.

Sekiranya bakal suami saudari mahu memberikan mas kahwin dan hantaran sekali gus, tidak ada salahnya. Malah, seperti yang banyak dilakukan oleh pasangan pada zaman ini, mereka hanya memberikan mas kahwin dalam jumlah yang agak besar dan menganggapnya sebagai hantaran juga.

Ini bertepatan dengan hukum syarak kerana mas kahwinlah yang wajib kepada bakal suami. Malah mas kahwin merupakan hak mutlak isteri dan boleh dianggap sebagai hutang jika suami gagal memberikan mas kahwin tersebut. Mas kahwin juga boleh diberi dalam bentuk wang atau barangan.

Bagi kadar mas kahwin dan hantaran, hukum syarak tidak menetapkan kadar serta hadnya. Kadar dan had ini bergantung kepada uruf iaitu keadaan semasa dan suasana sesuatu tempat dan masyarakat.

Manakala merujuk kepada perundangan Islam di Malaysia, setiap negeri telah memberi garis panduan terhadap kadar minimum mas kahwin. Kadar ini berbeza-beza mengikut negeri. Majlis Agama Kedah tidak menetapkan sebarang jumlah minimum dalam kadar mas kahwin. Oleh itu, terpulanglah kepada pasangan untuk menetapkannya.