Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

04 Oktober 2008

Melaram baju tradisional



Ciri tradisional dan kontemporari dapat dilihat pada rekaan yang digayakan.


HARI Raya Aidilfitri masuk hari keempat hari ini, namun kehangatannya tetap dirasai dengan ‘acara rasmi’ iaitu kunjung- mengunjung masih rancak diteruskan.

Sebagaimana biasa, untuk acara ini sudah tentu baju kurung atau kebaya menjadi pilihan si gadis, manakala si jejaka lazimnya memilih gaya lebih kasual seperti berkemeja-T dan seluar denim.

Begitupun, ada sesetengahnya yang memilih untuk terus mengenakan baju Melayu kerana waktu inilah juga masanya untuk melaram dengan baju tradisional tersebut.

Bahkan, sebelum Syawal lagi sudah beberapa pasang baju ditempah di butik-butik terkenal.

Bagi pasangan kekasih atau suami isteri, mudah juga mencari pakaian yang sesuai kerana terdapat butik yang menyediakan pakaian lelaki dan wanita dalam satu butik.

Butik Sultanah dan Arca yang dibuka di Singapura sejak tiga tahun lalu menyediakan banyak pilihan baju lelaki dan wanita khusus untuk Hari Raya ini.

Walaupun butik ini lebih memfokuskan pada baju wanita seperti kurung Johor, kurung Pahang, kebaya dan pakaian pengantin, namun bagi memudahkan pelanggan yang datang mencari pakaian baru, baju Melayu turut disediakan.

Keistimewaan baju Melayu Butik Sultanah dan Arca yang dijual pada harga sekitar RM250 hingga RM400 ini ialah setiap satu warna terdapat tiga rekaan seperti baju Melayu Teluk Belanga, baju Melayu cekak musang dan baju Melayu berkolar Mandarin.

Bagi memeriahkan Hari Raya ini, Butik Sultanah dan Arca telah menyediakan sebanyak 500 pasang baju Melayu yang boleh diperoleh bukan sahaja di Singapura malah di Kuala Lumpur.

Fabrik yang digunakan juga bukan setakat polos malah terdapat fabrik jalur, sari, linen, sutera kapas dan sutera Thai bagi menyuntik kelainan pada rekaan butik ini.

Sementara bagi rekaan baju wanita, Butik Sultanah dan Arca mementingkan nilai eksklusif, elegan dan kualiti dari segi rekaan dan pemilihan fabrik.

Di antara jenis fabrik yang menjadi pilihan ialah sutera Thai, organza, sutera dan sifon yang diperindah dengan sulaman dan jahitan manik.