Maju Melayu Perkasa!

27 November 2008

Cara terbaik mengenang jasa Tun Abdul Razak


SAYA tertarik untuk mengulas laporan yang disiarkan oleh akhbar ini pada 25 November 2008 mengenai cadangan warga Jengka supaya nama Felda Jengka di Pahang diubah kepada Felda Tun Abdul Razak. Cadangan tersebut telah diusulkan sebagai satu usaha untuk mengenang jasa dan pengorbanan Allahyarham Tun Abdul Razak dalam membuka dan membangunkan Jengka. Cadangan ini timbul setelah beberapa tahun nama Bandar Jengka diubah kepada Bandar Tun Abdul Razak Jengka oleh kerajaan negeri yang bertujuan untuk mengenang jasa negarawan ulung itu.

Cadangan untuk menukarkan nama Felda Jengka kepada Felda Tun Abdul Razak perlu diteliti semula supaya ia tidak menimbulkan kesan pada masa depan. Penukaran nama Jengka kepada satu nama lain atas apa tujuan sekalipun dikhuatiri akan menghakis nama Jengka yang telah diguna sejak lebih 40 tahun lalu. Nama Jengka sudah dikenali oleh segenap lapisan rakyat negara ini sebagai kawasan pembangunan Felda yang terbesar di negara kita.

Menukar nama Jengka kepada satu nama lain juga akan menyebabkan nilai Jengka dari sudut sejarah akan terjejas. Kita dapat lihat bahawa penukaran nama sesuatu bandar kepada nama lain akan menyebab sejarah sesuatu bandar itu akan dilupakan. Penukaran nama Sungai Ujong kepada Seremban misalnya menjadi punca generasi pada hari ini lupa bahawa Seremban adalah lombong bijih utama negara pada suatu ketika dahulu. Semua orang tahu bahawa Sungai Ujong adalah lombong bijih utama di Negeri Sembilan tetapi tidak ramai yang tahu bahawa Sungai Ujong itu adalah Seremban yang kita lihat pada hari ini. Penukaran nama Jengka kepada satu nama lain akan menyebabkan nama Jengka itu akan dilupakan orang dan sejarahnya juga sudah pasti hanya akan tinggal dalam lipatan sejarah serta tidak dikenang lagi.

Penukaran nama Felda Jengka kepada Felda Tun Razak juga akan berlakunya kekeliruan terutama kepada orang luar. Jika dirujuk kembali penukaran nama Bandar Jengka kepada Bandar Tun Abdul Razak pada suatu masa dulu, ia menimbulkan kekeliruan kerana namanya hampir sama dengan Bandar Tun Razak di Kuala Lumpur. Selain itu, Pahang juga memiliki satu lagi Bandar Tun Razak iaitu kawasan Felda dalam daerah Rompin. Kewujudan terlalu banyak bandar yang menggunakan nama Tun Abdul Razak sudah tentu akan menimbulkan kekeliruan di kalangan pengunjung.

Masih terdapat banyak cara untuk kita mengenang jasa Tun Abdul Razak atas usahanya membuka penempatan Felda termasuk Jengka. Kita sepatutnya memikirkan cara terbaik untuk membangun Jengka sebagai bandar ulung untuk bumiputera di negara ini. Bandar Jengka masih ketinggalan dari segenap sudut terutama dari segi pembangunan ekonomi.

Peluang-peluang ekonomi dan perniagaan perlu diwujudkan dengan lebih banyak di Jengka supaya pembangunan kawasan Felda ini akan menjadi lebih pesat. Ini akan menyediakan pelbagai peluang pekerjaan baru dan akan mengurangkan penghijrahan generasi muda Jengka ke ibu kota. Penghijrahan besar-besaran generasi muda Felda ke bandar-bandar lain akan menyebabkan ekonomi Jengka berada di takuk lama dan akhirnya menjadi bandar mati. Tiada gunanya kita menukar nama sesuatu kawasan atau bandar jika akhirnya penduduknya sendiri berhijrah ke tempat lain untuk meneruskan kehidupan.

Kerajaan negeri, Felda dan warga Jengka perlu berusaha gigih untuk memajukan Jengka supaya hasrat Tun Abdul Razak yang mahu melihat orang Melayu maju akan terlaksana. Menjadikan hasrat Tun Abdul Razak sebagi satu kenyataan sebenarnya adalah cara yang terbaik untuk mengenang jasa beliau yang begitu gigih membangunkan Felda.

MOHAMAD JAFRI AHMAD