Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

28 November 2008

Sejauh mana gagasan pelestarian menjadi iltizam


Prof Datuk Zaini Ujang

SEJAK harga minyak di pasaran dunia meningkat mendadak melepasi AS$100 awal tahun ini, pelbagai inisiatif dilakukan untuk mengurangkan pergantungan kepada minyak sebagai sumber tenaga utama. Selain mengenal pasti alternatif kepada bahan api fosil seperti minyak, gas dan arang batu yang dijangka kehabisan dalam tempoh tidak melebihi 50 tahun lagi, banyak teknologi baru dibangunkan untuk menggunakan tenaga secara lebih efisien dan murah.

Sehingga kini, walaupun harga minyak sudah kembali ke paras jauh lebih rendah, inisiatif itu nampaknya masih mengekalkan momentumnya. Hal ini dapat kita lihat menerusi pelbagai laporan dan kajian disiarkan pelbagai agensi berita dan penerbitan.

Sebagai contoh, dalam edisi terkini bertarikh 17 November lalu, majalah Fortune memberi fokus kepada 'tenaga hijau' mengenai pelbagai alternatif tenaga yang bukan saja terbukti berpotensi menggantikan minyak, malah lebih bersih dan mudah diperoleh dengan lebih murah.


Majalah Newsweek bertarikh 3 November pula mengetengahkan iltizam hijau baru di kalangan pemimpin dunia untuk membangunkan sistem 'ekonomi hijau' untuk memastikan program pembangunan lebih lestari. Dengan penyertaan pemimpin kuasa besar termasuk Barrack Obama, Perdana Menteri Britain, Gordon Brown dan Presiden Perancis Nicolas Sarkozy, iltizam hijau baru yang dipelopori Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-Moon itu mempunyai dokongan politik yang mantap dan meluas.

Semua perkembangan ini menunjukkan bahawa krisis tenaga yang dialami lebih setahun lalu membuka mata dunia bahawa faktor pelestarian (sustainability) menjadi semakin penting dalam proses dan program pembangunan global.

Pelestarian memang bukan suatu istilah dan gagasan baru dalam pembangunan. Sejak diperkenalkan sebagai satu gagasan ideal oleh Suruhanjaya Dunia Mengenai Alam Sekitar dan Pembangunan menerusi laporan berjudul Our Common Future pada 1987, konsep pelestarian sudah diguna pakai dengan meluas di seluruh dunia dalam hampir semua dokumen perancangan ekonomi dan program pembangunan infrastruktur.

Di Malaysia misalnya, gagasan pelestarian dalam konteks pembangunan negara mula diperkenalkan menerusi Rancangan Malaysia Keenam (1990-1995) lagi. Menerusi gagasan pelestarian, maka usaha perlu diseimbangkan agar program dan projek pembangunan mengambil kira kepentingan alam sekitar, kemasalahatan masyarakat dalam konteks lebih holistik dan keperluan sumber untuk kegunaan generasi akan datang.

Itulah sebabnya banyak instrumen baru diperkenalkan untuk menyokong pelaksanaan gagasan pelestarian itu, selain menerusi penguatkuasaan keperluan menjalankan Kajian Impak Alam Sekitar (EIA). Memang dimaklumi, EIA bukan penyelesai segala masalah dan jauh sekali memastikan pelestarian sudah dilaksanakan terhadap alam sekitar, penggunaan tenaga, pengoptimuman sumber apatah lagi gaya hidup.

EIA hanya instrumen berbentuk kajian untuk mengenal pasti impak atau kesan sesuatu pembangunan terhadap alam sekitar, sosioekonomi, budaya dan sumber asli. Selepas menjalankan kajian impak, cadangan terkandung dalam EIA perlu pemantauan berterusan terhadap aktiviti pembangunan yang dijalankan.

Sekadar catatan, saya mengikuti perkembangan dan komitmen terhadap gagasan pelestarian ini sejak lebih 20 tahun lalu. Pada akhir 1980-an, tidak banyak laporan mengenai konsep pelestarian, isu alam sekitar dan pembangunan holistik dibincangkan dalam media massa.

Setiap kali isu sedemikian disiarkan, saya menyimpan keratan akhbar atau majalah, sama ada dalam bahasa Melayu atau Inggeris. Hal seperti itu berkembang pesat sehingga pada akhir 1990-an, saya tidak mampu lagi berbuat demikian kerana hampir setiap hari ada saja isu dan artikel mengenainya tersiar. Malah dalam konteks media antarabangsa menjadi fokus utama dan paparan muka hadapan.

Selepas 20 tahun, persoalannya kini ialah sejauh mana tahap iltizam dan penghayatan untuk melaksanakan gagasan terbabit dalam kehidupan harian, sistem perundangan, kaedah pengeluaran dan penghasilan produk? Dari satu segi, pelestarian memang sudah menjadi suatu mantera yang digunakan seluruh kalangan. Pengeluar kereta, syarikat petrokimia, pembekal kertas dan penggubal dasar sering kali menggunakan 'hijau' dan 'lestari' sebagai satu ramuan wajib.

Malah ahli politik � malangnya hal ini masih belum ketara di Malaysia � menjadikan iltizam hijau sebagai isu besar untuk memikat pengundi.

Pada hemat saya, iltizam lestari terserlah menerusi empat tindakan pada peringkat individu, organisasi atau negara, iaitu:

  • Pertama; menghayati cara hidup lestari seperti menggunakan sumber dengan optimum, kitar semula, elakkan pembaziran, konsumerisme berdasarkan 'keperluan' dan bukan 'kehendak'.
  • Kedua; mengurangkan tapak ekologi (ecological footprint) dengan melakukan pelbagai perkara mengambil kira faktor penggunaan sumber, penghasilan sisa dan penjanaan semula sumber asli.
  • Ketiga; menerusi peningkatan keefisienan dalam penggunaan sumber tenaga, air dan bahan mentah lain, dan
  • Keempat; tidak melakukan pencemaran alam sekitar.
Komitmen ini boleh diukur menerusi pelbagai cara, termasuk penggunaan Indeks Pencapaian Alam Sekitar (EPI) sebagaimana yang diperkenalkan oleh Universiti Yale dan Universiti Chicago sejak empat tahun lalu. Selain itu, tapak ekologi dan indeks pelestarian juga boleh digunakan.

Namun, asasnya ialah gagasan pembangunan lestari. Dalam konteks ketika gagasan ini sering kali juga diungkapkan sebagai 'pembangunan karbon neutral' yang bersifat holisitik yang tidak lagi terbatas kepada agensi khusus atau bidang yang secara langsung berkait dengan alam sekitar seperti perkhidmatan pembetungan, pengairan dan saliran, pembangunan industri dan pengurusan hutan.

Malah perlu diserlahkan dalam seluruh skop serta dimensi kehidupan dan pembangunan, termasuklah bidang pertanian, pentadbiran, keselamatan, perdagangan, pendidikan, pengangkutan dan sukan.

Prof Datuk Zaini Ujang ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia dan Timbalan Presiden Persatuan Air Malaysia