Oleh Fairuz Zaidan
Melaka warisan dunia, tumpuan pelancong
RAMAI kenalan yang berkunjung ke Melaka sering mendesak penulis menjadikan bandaraya bersejarah itu sebagai destinasi percutian hujung minggu.
Tidak disangkal, keistimewaan Melaka seiring kota pelancongan termasyhur dunia yang lain. Malah negeri Hang Tuah ini diangkat sebagai ikon pelancongan moden dengan pelbagai tarikan termasuk variasi juadah tempatan seperti asam pedas dan ikan bakar yang menggetar selera.
Kepelbagaian tarikan yang digambarkan teman melonjak perasaan penulis menyelami keunikan Melaka. Persepsi awal yang diperoleh melalui promosi media cetak dan internet cukup membungakan harapan memijak bumi bertuah ini.
Gandingan monumen bersejarah yang terus dipelihara selain tarikan pelancongan baru seperti Menara Tamingsari, bot persiaran yang menyusuri Sungai Melaka dan buaian berpusing terbesar ala Eye on Malaysia yang bakal beroperasi tidak lama lagi, menjadi tarikan kuat pelancongan di Melaka.
Ternyata, bandar raya warisan dunia ini harus ada dalam senarai destinasi pelancongan anda... tunggu apa lagi!
Sabtu
9 pagi: Puas merancang, akhirnya cuti hujung minggu dipilih untuk melawat Melaka. Memandu dari Kuala Lumpur melalui Lebuh Raya Utara Selatan menuju ke Melaka, cukup lancar dan selesa. Semangat bercuti berkobar melihat langit cerah menandakan banyak aktiviti boleh dilakukan setibanya di bandaraya bersejarah ini.
11 pagi: Perjalanan kira-kira dua jam dari Kuala Lumpur berlalu pantas. Penulis memilih susur keluar di Plaza Tol Ayer Keroh, Melaka sebagai laluan alternatif ke pusat bandar. Walaupun laluan mula sibuk dengan kenderaan, hati bagai dipujuk demi mencari pesona bandaraya ini.
12 tengah hari: Kesesakan lalu lintas luar biasa tidak mematah semangat menyusuri nadi bandar raya bersejarah Melaka. Selepas menjamu selera di Dataran Pahlawan, penulis berjalan-jalan di lokasi berhampiran. Tidak jauh dari pusat beli belah, pintu gerbang kota A Famosa atau 'Yang Hebat' gah berdiri. Teringat kali pertama berkunjung ke sini kira-kira 15 tahun lalu, Melaka sekarang jauh berubah.
2.30 petang: Puas berjalan kaki di Bandar Hilir sambil merakam foto kenangan, destinasi seterusnya, Jonker Walk yang terkenal sebagai pusat jualan barangan antik, kraftangan dan dekorasi rumah. Pelancong pasti tertawan dengan deretan bangunan kedai berusia lebih 100 tahun yang kekal terpelihara. Selain itu, kemudahan penginapan juga boleh ditemui di sini, bergantung kepada bajet.
Penulis memilih salah sebuah kemudahan penginapan popular di Jonker Walk iaitu hotel bajet, The Baba House yang dipengaruhi warisan Baba dan Nyonya pada seni ukiran hiasan dalamannya. Pengaruh Baba dan Nyonya yang berhijrah ke Melaka kira-kira 600 tahun lalu membentuk imej tersendiri bagi hotel ini.
Kadar harga sewaan berpatutan iaitu dari RM110 semalam termasuk sarapan pagi untuk dua orang amat berbaloi.
4.30 petang: Selesai membersihkan diri dan bersolat, penulis tidak menunggu lama untuk meneroka segenap inci Jonker Walk. Kawasan ini atau dikenali juga sebagai Jalan Jang Jebat direntasi beberapa lorong seperti Jalan Kubu dan Jalan Tun Tan Cheng Lock yang menjadi nadi Jonker Walk. Selain menjual pelbagai barangan kraf, antik dan produk pelancongan, variasa juadah tempatan serta deretan restoran menambah tarikan kawasan ini. Hidangan Laksa Nyonya, gula ketuk, cendol dan sotong bakar mendekatkan lagi penulis dengan cita rasa tempatan.
6.30 petang: Walaupun masih letih kerana memandu jauh dari Kuala Lumpur ditambah pula berjalan-jalan di Jonker Walk, penulis terus bersemangat berkunjung ke Kampung Portugis. Tujuan utama ke sini ialah untuk menikmati minuman mangga segar yang dijual penduduk tempatan. Apa lagi, tidak sedar segelas jus mangga habis diminum dengan penuh kepuasan.
8 malam: Bergegas bersiap dari The Baba House kerana hati ingin pula menikmati ikan bakar di Serkam. Perjalanan hanya mengambil masa 30 minit untuk menikmati ikan bakar segar yang disaji bersama nasi lemak panas. Berbaloi datang dari jauh kerana keenakan sajian serta pilihan makanan laut yang segar pada harga berpatutan. Medan Ikan Bakar Serkam yang mula dibuka sejak 1950-an menjadi antara destinasi wajib dikunjungi di Melaka, selain Umbai.
10.30 malam: Bagai tidak cukup waktu bercuti di Melaka kerana setiap saat direncanakan dengan pelbagai aktiviti. Malam bukan penghalang untuk meneroka Melaka.
Bandaraya bersejarah ini menawarkan pelbagai lokasi hiburan dan lepak. Pelancong boleh bersiar-siar di Jonker Walk atau Bandar Hilir. Penulis memilih menikmati minuman panas sambil alunan muzik band.
Ahad
8 pagi: Walaupun mahu terus menarik selimut kerana keletihan, penulis bangkit juga kerana mahu terus meredah bandaraya ini. Selepas bersarapan, penulis berjalan kaki ke Menara Jam yang letaknya bertentangan Jonker Walk. Tidak perlu memandu, cara terbaik meneroka bandaraya ini ialah dengan berjalan kaki atau menaiki beca sambil melintasi Sungai Melaka.
Puas menikmati keindahan di kawasan sekitar, penulis menaiki beca ke Menara Tamingsari. Teruja sebaik menaiki menara itu hingga ke puncaknya yang mencapai ketinggian 80 meter. Pada harga RM10 untuk dewasa (rakyat tempatan) dan RM5 bagi kanak-kanak, pengunjung boleh mengintai segenap bandaraya ini hingga jarak lima kilometer.
11 pagi: Puas menikmati panorama indah kota Melaka dan berjalan-jalan di sekitar Bandar Hilir, penulis memilih pula menaiki bot di Sungai Melaka. Asyik menyusuri Sungai Melaka sambil melihat deretan bangunan lama serta perkampungan Melayu tradisional yang terus terpelihara. Sambil pemandu bot memberi informasi, angin lembut mendamaikan perasaan. Hati berbisik mahu terus bermalam di Melaka.
2 petang: Asyik berjalan perut mula berkeroncong. Penulis memilih menikmati laksa nyonya Melaka di Jonker Walk. Kebetulan, sebuah premis yang dipenuhi pelanggan mendorong penulis mencuba. Walaupun terpaksa beratur panjang, digagahkan juga semata-mata untuk menikmati laksa nyonya Melaka dan cendol pulut durian. kedua-dua ini hanya berharga RM7 - cukup murah!
3.30 petang: Segalanya sudah dilalui, dirasai dan dihayati. Dua hari di Melaka amat bermakna. Dalam perjalanan pulang menuju Plaza Tol Ayer Keroh, penulis ternampak papan tanda Zoo Melaka, Taman Buaya, Taman Rama-Rama dan Taman Mini Malaysia. Masa semakin suntuk membuatkan penulis tidak berkesempatan melawat destinasi terbabit. Namun hati berjanji, Melaka akan dikunjungi lagi!
FAKTA
Melaka
INFO
Tarikan Melaka