Oleh Shamshul Azree Samshir
GAMBAR eksklusif Tunku ketika zaman kanak-kanak, bersama keluarga dan kenalan turut dipamerkan untuk tatapan generasi sekarang. |
222 salinan gambar jejak legasi Bapa Kemerdekaan
BERCERITA kisah perjuangan kemerdekaan negara, tidak siapapun akan dapat melupakan jasa bekas Perdana Menteri pertama Malaysia, Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj.
Sesuai dengan gelaran Bapa Kemerdekaan dan Bapa Malaysia, nama Tunku Abdul Rahman terus meniti di bibir rakyat Malaysia. Setiap kali kita menyambut kemerdekaan, visual tokoh ini dengan laungan keramat ‘Merdeka’ disiarkan berulang kali di kaca televisyen - cukup membuatkan si kecil mengenali pemimpin negara ini biarpun melangkaui generasi.
Melangkah usia kemerdekaan negara ke-51 tahun ini, ada baiknya rentetan hidup Tunku Abdul Rahman dihayati semua rakyat Malaysia. Biarpun sudah hampir 18 tahun kembali ke rahmatullah, Tunku Abdul Rahman terus diingati sebagai pembina bangsa. Siapa tidak menghargai keringatnya menyatupadukan rakyat berbilang kaum menentang kerajaan British serta menuntut kemerdekaan negara.
Atas inisiatif inilah, Jabatan Muzium Malaysia menganjurkan Pameran Bergambar Tunku Abdul Rahman - Terima Kasih Tunku!. Pameran ini memaparkan 222 salinan gambar Tunku Abdul Rahman yang dirakamkan dalam pelbagai era daripada zaman kanak-kanak, remaja, persekolahan di Bangkok, England dan seterusnya era Perdana Menteri Malaysia yang pertama.
Melangkah ke Galeri 2, Muzium Negara, himpunan salinan gambar warna hitam putih membangkit nostalgia jejak hidup Tunku Abdul Rahman. Paparan ratusan gambar membawa kita mendekati tokoh politik ini yang juga dikenali sebagai pencinta keamanan. Pelbagai aksi yang dipaparkan seperti ketika menuntut di Bangkok mahupun mengetuai laungan ‘Merdeka’ pada hari kemerdekaan negara, cukup membuktikan semangat, daya tahan dan betapa kentalnya insan istimewa ini.
| ANTARA koleksi gambar Tunku Abdul Rahman yang dipamerkan di Muzium Negara sehingga esok. |
Tidak terkecuali, himpunan salinan gambar yang menunjukkan betapa dedikasinya Tunku Abdul Rahman dalam melaksanakan tugas sebagai pemimpin negara. Selain mempengerusikan pelbagai mesyuarat penting kerajaan mahu pun parti politik, Umno, Tunku Abdul Rahman mengisi masa dengan pelbagai program kemasyarakatan, meraikan tetamu negara dan melawat pelbagai tempat.
Nyata, rakaman lensa jurukamera era itu menjadi bukti kepada kesungguhan Tunku Abdul Rahman memimpin negara yang ketika itu baru mengecap erti kemerdekaan dan masih muda.
Pameran Bergambar Tunku Abdul Rahman - Terima Kasih Tunku yang dianjurkan bersama Canvas Art Sdn Bhd, menghimpunkan lebih 200 gambar bekas Perdana Menteri pertama Malaysia ini termasuk koleksi persendirian yang dimiliki keluarga. Apa yang menarik, sesetengah gambar tidak pernah diperlihatkan kepada orang ramai atau jarang ditemui di mana-mana.
Pengarah Urusan Canvas Art, Robert Lim, berkata pameran bergambar ini memaparkan pandangan seimbas lalu terhadap perjalanan kemerdekaan negara dan zaman kepemimpinan Tunku Abdul Rahman.
| Tunku Abdul Rahman |
“Bagi merealisasikan pameran ini, pasukan pakar dari Canvas Art memulihkan gambar lama Tunku Abdul Rahman yang sebahagiannya tidak dapat dilihat dengan jelas. “Kumpulan ini mengenalpasti dan mengumpul gambar lama dari pelbagai sumber awam dan persendirian. Sebaik dipulihkan, imej terbabit disalinkan dalam bentuk kanvas atau kertas berkualiti tinggi,” katanya.
Lim berkata, setiap salinan gambar kemudian direkodkan keterangan gambarnya dalam bahasa Malaysia dan Inggeris untuk tatapan rakyat.
Menurutnya, pameran bergambar ini memaparkan pandangan seimbas lalu terhadap perjalanan kemerdekaan negara dan zaman kepemimpinan Tunku Abdul Rahman.
“Tunku Abdul Rahman dianggap bapa kepada rakyat Malaysia. Beliau mengetahui isi hati dan pemikiran rakyat negara ini.
“Kami berharap rakyat Malaysia akan menggunakan peluang menyaksikan koleksi eksklusif gambar Tunku Abdul Rahman dan warisan yang ditinggalkannya yang tidak ternilai,” katanya sambil menambah pameran eksklusif itu diadakan sejak Selasa lalu dan berakhir esok.
Berkongsi kisah Tunku Abdul Rahman, puteri kesayangannya, Tunku Datin Paduka Khadijah, 76, ketika ditemui di pameran itu berkata, ingatan terhadap arwah ayahnya masih kuat.
“Saya masih ingat ayah selalu nasihatkan kami sewaktu bersarapan atau makan tengah hari di kediaman rasmi dulu supaya jangan jadi insan sombong.
“Ayah selalu berpesan supaya kami berkawan dan berbuat baik dengan orang susah kerana orang susah jika dibantu akan selalu berdoa untuk kita,” katanya bercerita kisah zaman kanak-kanak di samping ayah tercinta.
Tunku Khadijah berkata, Allahyarham ayahnya memelihara enam anak angkat dan tidak pernah membezakan kasih sayang.
“Ayah adalah seorang yang amat baik pernah saya kenali,” katanya.
Tunku Khadijah berkata, Pameran Bergambar Tunku Abdul Rahman - Terima Kasih Tunku membawa kembali kenangan bersama ayah tercinta.
“Saya hargai usaha ini kerana banyak kenangan bersama ayah dapat dirungkai kembali apabila melihat satu persatu salinan gambar yang dipamerkan,” katanya.
Beliau berkata, keluarganya masih menyimpan banyak gambar kenangan Tunku Abdul Rahman dan gembira dapat berkongsi dengan rakyat Malaysia setiap memori dalam gambar yang dirakamkan.
Seorang lagi rakan Tunku Abdul Rahman, Datuk Lew Sip Hon, 82, yang ditemui berkata, Tunku Abdul Rahman adalah seorang Perdana Menteri yang amat baik.
“Ia suatu pengalaman yang cukup baik... Tunku seorang yang mudah didekati,” katanya yang bertugas sebagai Duta Malaysia di Washington D C selama empat tahun mulai 1982.
Lew yang dilihat mengamati satu persatu gambar Tunku Abdul Rahman yang dipamerkan nyata terus mengagumi insan ini.
Info:
- Acara : Pameran Bergambar Tunku Abdul Rahman - Terima Kasih Tunku
- Anjuran : Jabatan Muzium Malaysia dan Canvas Art Sdn Bdh
- Tempat : Galeri Dua, Muzium Negara
- Waktu Operasi : 9 pagi hingga 6 petang (setiap hari)
- Bayaran : Percuma
Tunku Abdul Rahman sepintas lalu...
DILAHIRKAN pada 8 Februari 1903 di Istana Tiga Tingkat, Alor Star, Kedah, Tunku Abdul Rahman Putra dikenali sebagai Bapa Kemerdekaan atau Bapa Malaysia.
Dikatakan seorang seorang kanak-kanak lincah dan ceria dengan minat mendalam terhadap sukan, Tunku Abdul Rahman menerima pendidikan awal di Sekolah Debsurin, Bangkok dan Penang Free School, Pulau Pinang dan seterusnya melanjutkan pelajaran di St Catherine’s College, Cambridge University di mana beliau menerima Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dan Sejarah pada 1925.
Keupayaan Tunku Abdul Rahman memimpin terserlah ketika berada di England. Menyedari pelajar Melayu di negara itu tidak diwakili mana-mana pertubuhan atau organisasi, beliau menubuhkan Kesatuan Melayu Great Britain (Malay Association of Great Britain) dan menjadi setiausaha kesatuan yang pertama.
Tunku Abdul Rahman dilantik Ketua Menteri Persekutuan Malaya dari 1955 dan menjadi Perdana Menteri selepas merdeka pada 1957.
Pembentukan Malaysia pada 1961 adalah pencapaian terbesar Tunku Abdul Rahman. Selepas itu beliau mengumumkan pembentukan Parlimen Malaysia pada 7 Ogos 1965.
Antara jasanya ialah menjadikan Islam sebagai agama rasmi negara dan penubuhan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) bagi membantu mualaf memulakan kehidupan sebagai saudara baru Islam.
Pada 22 September 1970 beliau didesak meletakkan jawatannya berikutan prestasi yang kurang membanggakan pada pilihan raya umum 1969.
Tunku Abdul Rahman yang berkahwin dengan Toh Puan Sharifah Rodziah meletak jawatan sebagai Presiden Umno pada 1971 dan tempatnya digantikan oleh Tun Abdul Razak Dato' Hussein.
Tunku Abdul Rahman kembali ke rahmatullah pada 6 Disember 1990 ketika berusia 87 tahun.