Maju Melayu Perkasa!

29 November 2008

Proses pindah ilmubantutkan kefahaman murid


PENGAJARAN dan pembelajaran subjek Matematik dan Sains (PPSMI) dalam bahasa Inggeris di sekolah-sekolah tidak putus-putus menerima teguran, rungutan dan pandangan.

Teguran yang disampaikan banyak yang membantah penggunaan pendekatan tersebut.

Yang terbaru pandangan bernas oleh Prof. Dr. Awang Sariyan. Alasan yang diberikan untuk menolak penggunaan PPSMI kerana mengetepikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, bahasa kebangsaan dan bahasa perpaduan. Saya amat bersetuju kerana pada hemat saya proses pemindahan ilmu membantutkan kefahaman murid.

Pandangan lain pula mengatakan kebimbangan ibu bapa dan ahli forum yang mengirim pendapat ke akhbar Utusan Malaysia kerana peratus pelajar luar bandar lebih ramai gagal berbanding dengan pelajar kawasan bandar.

Untuk renungan pembaca, berikut saya menulis semula situasi pertama temu ramah dengan ibu bapa yang mempunyai anak di luar bandar, terutama di Kelantan. Ibu bapa pelajar tersebut mempunyai pendidikan dalam bahasa kebangsaan.

''Ambo (saya) tidak boleh tolong ajar anak. Tak faham gapo satu (apa-apa) - merujuk pada istilah matematik dan sains dalam buku teks dan buku kerja. Saya bukan bodoh sangat matematik, kalau setakat darab, bagi, tolak, campur mudah sangat. Ilmu itu ada tetapi (main) maksudnya menggunakan bahasa orang putih kita tidak faham langsung. Bulih kelih (tengok) sahaja. Tengok anak saya dapat 2B merujuk pada mata pelajaran Matematik dan Sains''.

Situasi yang kedua juga di Kelantan. Kali ini ibu bapa pelajar berkenaan tidak mempunyai pendidikan langsung. "Anak abe (Abang) dapat 2B - merujuk pada subjek Matematik dan Sains.'' "Dulu kakak dan abang dia pandai belaka. Dapat A. Main (belajar dalam bahasa Inggeris) dengan belajar dalam bahasa orang putih anak kita tidak boleh gi (tidak faham).''

"Abang hendak bantu anak-anak tidak faham juga. Harap cikgu ajar di sekolah dengan kelas tambahan. Orang kampung macam abang, hendak beli buku latihan tidak mampu, padan (cukup) beli beras dengan gas, bayar api, beli ikan habis pitis (wang). Abang kerja kampung. Lainlah dengan anak pegawai''.

Memandangkan kesedihan yang menyelinap di wajah mereka yang pada hemat saya mewakili puluhan ribu ibu bapa yang lain, pihak berkenaan yang berhasrat untuk terus melaksanakan PPSMI patut turun ke bawah membuat penyelidikan.

Jika benar ingin diteruskan kerana bimbang rakyat Malaysia yang bakal menjadi negara maju akan ketinggalan, sediakan satu alat pengajaran dan pembelajaran yang situasinya memihak secara adil terutama kepada penduduk di luar bandar.

Jangan harap sangat dengan akuan guru subjek berkenaan dalam borang soal selidik, tetapi lihatlah sama pencapaian murid dalam peperiksaan pertengahan tahun dan akhir tahun yang dikendalikan oleh pihak sekolah. Merah atau biru warnanya? Ukurlah baju di badan sendiri, kalau murid-murid belum mampu jangan salahkan badan tetapi salahkan akal yang membuat keputusan.

Selain itu, pada hemat saya Jabatan Pelajaran negeri mempunyai data, sekolah mana yang mempunyai murid yang lemah pencapaian dalam mata pelajaran berkenaan.

Bawalah guru yang terbaik yang pernah mengajar dan berjaya menghasilkan berpuluh-puluh murid cemerlang ke sekolah berkenaan nanti.

Pindahkan guru tersebut ke sekolah yang lemah pencapaian murid-murid dalam mata pelajaran Matematik dan Sains. Terkial-kial juga guru berkenaan.

Kata seorang kawan, bawalah profesor yang pandai sekalipun, kalau sistem penyampaian tidak difaham oleh murid apalah gunanya.

Macam tikus tengok besi, boleh mengajar tetapi apa yang diajar sepatah haram pun murid tidak faham.

Umpama kita mendengar khutbah dalam bahasa asing, cukup rukun tetapi apa yang dikhutbahkan kita tidak dapat jadikan pengajaran kerana tidak memahami bahasa yang digunakan. Lepas itu kita buat soalan dan meminta jawapan. Fikirlah.

WAKIL BAPA MERANA