Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

28 Disember 2008

Hadapi cabaran seperti pandu F1


Berdasarkan unjuran terkini, dari sudut ekonomi, tahun 2009 merupakan tahun yang mencabar. Di tahun 2007 ekonomi dunia tumbuh dengan kadar lima peratus, kadar pertumbuhan tahun 2008 dijangka menurun kepada 3.7 peratus.

Yang lebih membimbangkan ialah pertumbuhan ekonomi dunia dijangka hanya sekitar 1.1 peratus bagi tahun 2009. Kadar terendah sejak tahun 1970.

Sebagai sebuah negara kecil dan terbuka, Malaysia tidak terkecuali. Lebih daripada separuh permintaan ke atas hasil keluaran negara datang dari pasaran antarabangsa.

Sekitar 80 peratus dari eksport Malaysia tertumpu hanya kepada 10 buah negara yang kini kesemuanya mengalami kelembapan. Untuk tahun 2009 ekonomi negara dijangka tumbuh dengan kadar lebih perlahan, iaitu 3.5 peratus, jelas menunjukkan kita terdedah pada krisis ekonomi global ini.

Pembentuk polisi ekonomi seluruh dunia kini bergelut menangani kemelesetan ini agar ia tidak berlarutan menjadi kemelesetan besar (great depression) yang pernah menggugat pertumbuhan ekonomi sejagat di awal tahun 1930-an.

Episod hitam 1930-an ini lah yang menjadi cetusan awal kepada penubuhan ‘institusi- institusi Washington’ hari ini yang ditubuhkan selepas Perang Dunia Kedua iaitu Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) yang asalnya ialah Persetujuan Am mengenai Tarif dan Perdagangan (GATT), dan Bank Dunia.

Untuk bersedia menghadapi tahun 2009 dan tahun-tahun yang seterusnya, imbasan perjalanan ekonomi 2008 adalah wajar.

Separuh pertama 2008 – tekanan harga global

Tahun 2008 telah mengukir satu catatan sejarah ekonomi yang begitu menarik. Di separuh awal tahun 2008, dunia dikejutkan dengan peningkatan harga yang begitu mendadak hampir keseluruhan komoditi utama.

Sumber bahan api, sumber asli bukan makanan dan makanan, semuanya meningkat dengan begitu ketara. Sebagai contoh, dari Januari 2008 sehingga Jun 2008, harga minyak mentah meningkat sebanyak 44 peratus, besi 116 peratus, dan beras 68 peratus.

Kejutan kenaikan paras harga dalam negara menghakis kuasa beli semua. Pastinya ini adalah fenomena global bukan salah tadbir kerajaan. Kerancakan pertumbuhan ekonomi dunia yang menyaksikan peningkatan pendapatan di kalangan negara-negara ekonomi baru seperti China dan India telah mempertingkatkan permintaan terhadap kesemua keperluan utama kehidupan.

Di China sahaja, jumlah kenderaan bermotor kini mencecah 160 juta hampir menyamai bilangan kenderaan di Amerika Syarikat (AS), ekonomi terbesar dunia. Pada tahap ini, hanya sepertiga dari penduduk China yang memiliki kenderaan. Bayangkan kalau dua pertiga lagi mampu memiliki kenderaan.

Harga minyak dan kesemua komoditi yang terlibat dengan pembuatan dan penggunaan kenderaan secara langsung dan tidak langsung mungkin melambung jauh lebih tinggi.

Penjelasan yang sama boleh dipakai untuk bahan makanan. Peningkatan pendapatan penduduk dunia juga memberi tekanan ke atas harga keluaran pertanian. Faktor-faktor lain seperti krisis geo-politik Timur Tengah dan beberapa negara Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Minyak (OPEC), keadaan cuaca buruk dan perubahan alam sekitar yang berubah yang mengesani sektor pertanian, dan polisi-polisi pembangunan yang menyekat aliran dagangan global turut menyumbang kepada tekanan harga ini.

Kadar inflasi

Pada bulan Jun 2008, kadar inflasi global meningkat dari 3.3 (2007) ke 5.2 (2008). Kesemua negara, yang maju, membangun dan miskin kesemuanya dilanda masalah inflasi. AS mencatat kadar inflasi tertingginya dalam tempoh 18 tahun iaitu 5.6 peratus pada bulan Julai 2008. Sama juga zon Kesatuan Eropah (EU) mencatat kadar inflasi 3.6 peratus. Kadar tertinggi sejak tahun 1994.

Sebahagian besar negara-negara maju (kecuali AS) bertindak menaikkan kadar faedah dalam usaha mengekang lonjakkan permintaan yang mewujudkan tekanan ke atas harga. Ini tindakan lazim bank pusat, ‘menentang arus angin’ (leaning against the wind), polisi menentang arus bagi mewujudkan kestabilan harga. Namun secara purata kadar inflasi negara-negara membangun dan miskin lebih membimbangkan mencecah lebih dari 13.7 peratus.

Bank Dunia memberi isyarat bahawa tekanan harga ini, khususnya ke atas bahan makanan, perlu ditangani segera agar krisis kebuluran tidak tercetus di negara-negara miskin.

Separuh kedua 2008 – kelembapan ekonomi global

Dalam keriuhan pembentuk polisi ekonomi dunia menangani masalah inflasi, dunia dikejutkan dengan krisis kewangan yang meletus di AS. Semuanya rentetan dari kemelut gadai janji sub-prima di AS yang meletus dan merebak sekitar Ogos 2008 yang lalu.

Hakikatnya krisis kewangan ini bermula setahun lebih awal iaitu pada bulan Jun 2006. Namun, krisis yang pada mulanya dijangka terkawal dan bersifat tempatan kemudiannya merebak dengan begitu pantas mengesani keseluruhan sektor kewangan yang menggugat pertumbuhan ekonomi AS.

Ekonomi AS dijangka menguncup pada kadar negatif 0.9 peratus untuk tahun 2009. Kadar terendah dalam tempoh 27 tahun.

Ungkapan, “apabila AS bersin, kita kena selsema” masih menghantui ekonomi dunia. Teori Pemisahan (decoupling) yang membayangkan pengurangan kebergantungan ekonomi rantau Asia Timur keatas ekonomi AS kini diragui. Berdasarkan laporan Regional Economic Outlook April 2008, kebergantungan eksport Malaysia (peratus kepada KDNK) ke atas AS adalah antara yang tertinggi di Asia. Secara langsung Malaysia bergantungan sekitar 23 peratus. Diambil kira kebergantungan secara tidak langsung (contoh: eksport Malaysia ke China yang kemudiannya menjadi input kepada eksport China ke Amerika Syarikat) tahap pendedahan ini adalah lebih besar iaitu 32 peratus.

Bank Negara melaporkan bahawa sistem kewangan negara tidak terdedah kepada gejala krisis sub-prima. Dengan tahap permodalan yang tinggi (13.2 peratus) dan portfolio pinjaman yang kukuh (2.5 peratus – NPL) sistem perbankan dijangka dapat bertahan dan mampu menyediakan penawaran kredit yang mencukupi bagi terus menyokong aktiviti ekonomi benar.

Respons Malaysia terhadap krisis – kesan pertumbuhan

Krisis yang kita hadapi hari ini berbeza. Ditahun 1997-98, kemelut berpunca di sektor kewangan, kejatuhan penawaran kredit merencat aktiviti ekonomi benar. Kini, ekonomi benar negara yang dilanda krisis. Dua aspek perancangan ekonomi negara memerlukan respons yang jelas dan berkesan; pertumbuhan (jangka pendek) dan pembangunan (jangka panjang). Kesan krisis ekonomi global keatas pertumbuhan ekonomi dalam tempoh terdekat, iaitu 2009-2010 lebih jelas dan mudah difahami.

Kelembapan ekonomi dunia mengurangkan permintaan ke atas eksport Malaysia. Ini memperlahankan aktiviti firma dan akhirnya mengesani kemampuan sektor isi rumah untuk berbelanja.

Pakej stimulus RM7 bilion yang diumumkan dan juga beberapa yang lain yang menyusul kemudiannya diharap dapat merangsang pertumbuhan ekonomi terdekat dan mengekang kesan sampingan kelembapan ekonomi. Kelembapan permintaan global perlu di tampung oleh peningkatan permintaan domestik. Ini respons lazim.

Namun, kesan pakej stimulus ini tidak mutlak. Pelaksanaan harus cekap dan pantas. Kelewatan pelaksanaan (implementation lag) sering menjadi penghalang kepada keberkesanan polisi rangsangan fiskal. Disamping aspek pelaksanaan, kesan pengganda stimulus fiskal ini turut bergantung kepada beberapa faktor utama yang lain, iaitu, kecenderungan berbelanja oleh sektor isi rumah, pengurangan ketirisan import yang ketara dan kesediaan sistem perbankan terus menawarkan pembiayaan. Elemen-elemen ini perlu dipantau dengan rapi.

Respons Malaysia terhadap krisis – kesan pembangunan

Perhatian terhadap kesan krisis ekonomi global ke atas proses pembangunan jangka panjang masih belum jelas. Dalam konteks perancangan pembangunan ekonomi negara, bagaimanakah krisis ini mengesani usaha merealisasikan Wawasan 2020?

Lebih khusus, adakah Misi Nasional yang menggariskan teras utama pembangunan ekonomi bagi merealisasikan Wawasan 2020 turut terjejas?

Krisis ekonomi memberi kesan jangka panjang. Umpama pemandu yang terselamat dalam kemalangan yang dahsyat. Dari sudut fizikal jangka pendek ianya selamat dan tidak tercedera. Namun dari sudut emosi jangka panjang kesediaan dan kemampuannya untuk memandu dengan baik mungkin terjejas.

Perbezaan kesan jangka pendek dan jangka panjang ini agak ketara dalam konteks krisis ekonomi 1997-98. Pemulihan V-shape kadar pertumbuhan ekonomi dari negatif 7.4 peratus (1998) ke 6.1 peratus (1999) adalah sesuatu yang membanggakan. Namun, kadar pertumbuhan ekonomi jangka panjang agak terjejas.

Krisis

Secara purata, kadar pertumbuhan ekonomi untuk tempoh pasca krisis (1999-2007) adalah 5.6 peratus, lebih rendah dari purata kadar pertumbuhan pra-krisis (1988-1997) iaitu 9.1 peratus. Negara-negara Asia Tenggara yang dilanda krisis 1997-98 semuanya berhadapan dengan sistuasi yang sama.

Destinasi Wawasan 2020 mesti sentiasa bersama kita. Kita terima hakikat bahawa perjalanan ini adalah satu perjalanan jauh berhadapan dengan liku-liku ekonomi yang mencabar.

Namun destinasinya kekal sama. Kesan krisis ekonomi global yang kita hadapi hari ini ke atas teras-teras utama Misi Nasional perlu dinilai dengan lebih terperinci. Industri yang tinggi aplikasi teknologi dan penyelidikan lazimnya lebih berisiko.

Bagaimanakah peningkatan kebencian risiko (risk adversity) dan kerencatan sumber pelaburan akibat dari krisis kewangan global mengesani usaha untuk menggerakkan firma beralih ke industri yang lebih tinggi nilai tambahnya (Teras 1)?

Bagaimana pula pembangunan modal insan (Teras 2)? Peningkatan kadar pengangguran berkemungkinan memberi signal yang mengelirukan. Pulangan pelaburan keatas modal insan bersifat jangka panjang. Kita harus berwaspada agar fokus kepada pertumbuhan jangka pendek yang mengutamakan kesan pengganda tidak menjejaskan usaha pembangunan modal insan.

Dari sudut ketidakseimbangan sosial (Teras 3), pastinya krisis ini memberi kesan yang tidak setara ke atas kelompok masyarakat dan kegiatan ekonomi yang berbeza (contoh: bandar-luar bandar, pendapatan tinggi-pendapatan rendah, sektor pembuatan-sektor pertanian, dan sebagainya). Adakah status penggagihan kekayaan ekonomi dan ekuiti juga dikesani?

Kelembapan ekonomi bakal menyaksikan kemungkinan peningkatan pemberhentian pekerja dan penurunan kadar upah. Secara umumnya, kualiti hidup masyarakat (Teras 4) akan turut dikesani, khususnya bagi yang berpendapatan sederhana rendah ke bawah.

Kejadian kes curi dan jenayah juga sering dikaitkan dengan kelemahan ekonomi. Kita perlu jawapan dan respons bagi teras-teras utama pembangunan ini.

Menangani krisis ekonomi global - perlu dua pakej respons

Dalam perlumbaan kereta lumba lasak lazimnya dua orang ‘pemandu’ akan terlibat didalam mengendali kenderaan. Pemandu yang pertama memegang stering kereta mengawal arah pergerakan dan pecutan kereta dalam liku terdekat.

Sama pentingnya ialah pemandu yang kedua yang meneliti peta perlumbaan, memantau jarak perlumbaan dan prestasi kelajuan secara keseluruhan. Pemandu yang pertama melihat yang di depan mata. Pemandu kedua memandang lebih jauh ke hadapan. Kedua-duanya sama penting dan menyumbang pada kejayaan dalam perlumbaaan yang disertai.

Begitu juga respons Malaysia terhadap krisis ekonomi global hari ini. Dua pasukan harus bertindak. Pengumuman respons rangsangan fiskal adalah pemandu yang memegang stering dan mengawal kelajuan. Pemandu yang kedua mesti fokus melihat jauh kehadapan berdasarkan peta jangka panjang yang telah kita bentuk. Teras utama pembangunan jangka panjang, Misi Nasional perlu dipegang kukuh.

Bagaimanakah krisis ini akan mengesani perancangan pembangunan jangka panjang negara, khususnya dalam menuju destinasi keramat Wawasan 2020? Pertumbuhan dan pembangunan serupa tapi tak sama. Kedua-duanya perlu ditangani dengan pakej respons yang berkesan.

Prof. Datuk Dr. Noor Azlan Ghazali ialah Pengarah

Institut pembangunan

Malaysia (MDI), Unit Perancang Ekonomi (EPU).