Maju Melayu Perkasa!

29 Disember 2008

Martabatkan semula bahasa Melayu


Abdul Aziz Abdul Rahman

LUAHAN, cerita dan hujah ‘Dr Kampung’ yang disiarkan dalam ruangan surat pembaca akhbar ini 25 Disember lalu adalah benar. Begitu juga luahan dan hujahan kebanyakan penulis lain sebelumnya, termasuk cadangan tindakan undang-undang yang akan diambil oleh Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena).

Hujah saya bahawa melaksanakan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) seperti sekarang ini adalah tidak sah dari segi undang-undang. Fakta dan kebenaran tidak boleh ditukar ganti dengan tindakan dan perlakuan yang salah dari segi undang-undang; dari segi menidakkan peranan yang sah salah satu tiang seri kedaulatan Melayu dalam proses pembinaan negara bangsa Malaysia dan dari segi ilmiah pendekatan pengajaran bahasa Inggeris, sungguhpun niat yang ingin dicapai adalah amat baik.

Menyelesaikan masalah dengan menggunakan cara dan pendekatan yang salah akan menyelesaikan masalah bukan dengan cara keseluruhan dan berkekalan; akan menimbulkan masalah baru yang lain seperti dalam setiap cerita kejayaan banyak lagi cerita ketidakadilan, kekecewaan, peminggiran dan akan memberi kesan jangka panjang kepada evolusi pembinaan negara bangsa Malaysia yang semestinya bertunjangkan kepada kedaulatan Melayu.


Menyelesaikan permasalahan PPSMI perlu berdasarkan dan bertitik-tolak daripada kebenaran berikut:

l Bahasa Melayu mesti menjadi bahasa pengajaran mata pelajaran teras termasuklah Sains dan Matematik seperti diperuntukkan dalam Seksyen 1 dan 6, Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 17(1) Akta Pendidikan 1996, di sekolah rendah dan menengah kebangsaan;

l Pendekatan PPSMI sebagai cara atau kaedah pembelajaran bahasa Inggeris adalah salah kerana mempelajari sesuatu bahasa itu memerlukan pendekatan kejiwaan bahasa yang berkenaan, yang sama sekali berbeza daripada apa yang dilakukan melalui PPSMI.

Dalam konteks ini, PPSMI mungkin berjaya sedikit sebanyak dari segi memberi penguasaan gunaan kepada pelajar tetapi kesan negatif jangka panjang kepada penuntut daripada aspek penggunaan bahasa Inggeris yang betul, terutama dari segi nahu dan penjiwaan bahasa itu adalah besar dan berkekalan;

l Pembelajaran bahasa Inggeris di sekolah rendah dan menengah kebangsaan kebelakangan dan masa kini, bermasalah iaitu gagal mencapai objektif terminalnya untuk membolehkan pelajar selepas mengikuti sistem pembelajarannya mampu membaca, menulis dan bertutur dalam bahasa Inggeris yang betul dan fasih.

Perkara-perkara asas seperti guru bahasa Inggeris yang layak, mencukupi dan menggunakan kaedah pengajaran yang berkesan dan dapat diukur daripada pencapaian objektif terminal masih lagi sehingga kini tidak selesai dan tidak pun nampak penyelesaian (menghantar beberapa kumpulan guru bahasa Inggeris berkursus bahasa Inggeris di England bukanlah penyelesaian sebenar kepada masalah sebesar ini).

Masalah kelemahan pembelajaran bahasa Inggeris ini adalah besar dan ketara di kawasan luar bandar dan di negeri-negeri majoriti penduduknya Melayu;

l Institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negara ini gagal untuk menyelesaikan masalah kelemahan yang amat ketara berkaitan penggunaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar (kebanyakannya Bumiputera) sungguhpun setiap IPTA mempunyai unit atau Jabatan Bahasa Inggeris masing-masing, mempunyai pensyarah berkelulusan tinggi dan mempunyai kelengkapan canggih seperti makmal bahasa, dan

l Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Institut Terjemahan Negara gagal dalam memenuhi tanggungjawab untuk menyediakan dengan secukupnya buku-buku rujukan di peringkat tinggi dalam bahasa Melayu di semua bidang ilmu. Dalam konteks ini, IPTA yang juga mempunyai tanggungjawab sama, turut gagal memainkan peranan ini.

Inilah kebenaran yang harus mendasari pemikiran kita dalam menyelesaikan pemasalahan PPSMI. Sudah tentu penyelesaiannya amat mudah - gunakan bahasa Melayu semula dalam pengajaran bagi mata pelajaran teras Sains dan Matematik pada peringkat sekolah rendah dan menengah dan pada masa sama, lakukan usaha radikal dan bersifat transformasi.

Ini bagi memastikan pembelajaran bahasa Inggeris di sekolah rendah dan menengah berkesan iaitu pelajar berupaya menguasai pertuturan, pembacaan dan penulisan bahasa Inggeris dengan fasih. Pembelajaran bahasa Inggeris di IPTA yang diwajibkan kepada pelajar selama empat tahun perlu dipastikan dapat menggilap dan meningkatkan lagi penguasaan bahasa Inggeris pelajar ke tahap objektif terminal yang lebih tinggi.

Keadaan di mana guru bahasa Inggeris tidak ada, tidak mencukupi dan tidak terlatih, sudah tidak boleh diterima lagi. Sesiapa yang bertanggungjawab pada peringkat perancangan dan pelaksanaan harus dipertanggungjawabkan sepenuhnya terhadap kelemahan dan kegagalan ini. Mesti ada sesuatu yang tidak kena jika mata pelajaran lain tidak mempunyai masalah seperti mata pelajaran bahasa Inggeris.

Pihak yang bertanggungjawab sepenuhnya untuk menghasilkan buku-buku rujukan ilmiah dalam bahasa Melayu mestilah, tanpa lengah lagi melakukan perubahan radikal dan bersifat transformasi dalam cara bekerja serta mencapai hasil.

Pencapaian objektif terminal perlu diukur setiap bulan untuk memastikan buku yang dihasilkan mencukupi dan memenuhi keperluan di samping dikekalkan mutu setiap penghasilan. Banyak model yang dapat dipelajari seperti digunakan di Jepun, China, Perancis, Jerman dan Russia.

Kalau diteliti sejarah, sebenarnya pada awal 1970-an hinggalah ke awal 1980-an, kita sudah berjaya melakukan yang betul dalam isu penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu pada semua peringkat - rendah, menengah dan universiti.

Penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan pengisian penubuhan ini dengan jayanya merakamkan kejayaan kita melakukan perkara yang betul dalam membangun dan membina negara bangsa mengikut acuan yang benar.

Pada ketika itu, buku rujukan ilmu dalam bahasa Melayu dihasilkan pada kadar yang mencukupi sementara penuntut pada semua peringkat pembelajaran tidak menghadapi masalah menguasai dengan fasih bahasa Inggeris serta membuat rujukan ilmiah di dalam bahasa Inggeris.

Mengapakah selepas itu dan pada masa kini memuncak dengan masalah? Dan mengapakah penyelesaian yang begitu mudah menjadi terlalu sukar untuk dicapai? Tentu ada sesuatu yang tidak kena.



Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman ialah peguam dan bekas Pengarah Urusan MAS