Maju Melayu Perkasa!

28 Disember 2008

Yang ternama dan sumbangannya


Setiap hujung tahun majalah Time akan memilih seorang tokoh terkemuka sebagai Person of the Year. Selain daripada Person of the Years, Time juga memilih lima tokoh lagi yang dianggap memberikan kesan yang besar daripada sudut sosial dan politik khususnya kepada dunia. Tahun ini Time memilih bakal Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama sebagai Person of the Year untuk tahun 2008.

Tahun ini selain Obama, lima tokoh yang turut disenaraikan sebagai yang memberikan kesan besar kepada politik daripada kacamata Time ialah Setiausaha Perbendaharaan AS, Presiden Perancis, Nicholas Sarkozy, calon naib Presiden AS yang mewakili Republikan dalam pilihan raya yang lalu, Sarah Palin dan pengarah filem terkemuka China, Zhang Yimou.

Tetapi pemilihan yang dibuat oleh Time misalnya hanya mengambil kira tokoh yang memberikan sumbangan kepada dunia politik, sosial atau budaya daripada persepsi Barat.

Misalnya tokoh dari dunia Islam tidak ada dalam senarai lima tokoh selain Person of the Year untuk tahun 2008. Tetapi hakikatnya ada beberapa pemimpin dunia Islam atau bukan Barat yang memberikan kesan atau individu yang mencipta sejarah tersendiri dari dunia Islam. Tokoh-tokoh dari negara-negara Islam atau di luar kelompok Barat juga penting untuk dilihat sumbangan mereka ke atas manusia seluruh dunia.

Tetapi ada beberapa tokoh yang tercicir atau sengaja dicicirkan daripada lingkungan pengaruh Time. Tokoh-tokoh yang tidak disenaraikan dan juga diperkatakan sumbangan kepada politik dan sosial sebenarnya mempunyai pengaruh yang besar sekaligus menjadi bahan berita di seluruh dunia. Walaupun ada nama individu yang tidak bertaraf tokoh tetapi mereka menjadi bahan berita sekaligus mencipta nama khususnya di dunia Islam.

Tanpa menafikan pilihan yang dibuat oleh Time, tahun ini ada beberapa tokoh dan individu yang membentuk satu kesan pemikiran khususnya di luar lingkungan Barat atau AS. Kita juga sangat perlu untuk melihat keterampilan tokoh-tokoh yang dimusuhi AS kerana mereka ini memberikan kesan politik yang besar di dunia Islam.

Obama:

Pemilihan Obama sebagai Person of the Year 2008 dianggap tepat kerana di seluruh dunia tidak ada tokoh lain yang paling banyak diperkatakan selain bakal presiden AS pertama daripada kulit hitam ini. Tahun 2008 adalah tahun bersejarah bagi AS kerana buat pertama kali kuasa rakyat memilih seorang bukan kulit putih sebagai presiden. Ketokohan Obama menewaskan saingan dalam Demokrat, Hillary Clinton memperlihatkan kekuatan pengaruhnya yang merentasi diskriminasi warna kulit. Selepas menewaskan Hillary yang kini dilantik sebagai Setiausaha Negara menggantikan Condoleezza Rice, Obama sekali lagi membuktikan kekuatan apabila bertemu di gelanggang akhir menentang calon daripada Republikan, McCain.

Obama memperlihatkan dasar luar yang berbeza daripada Presiden George W. Bush terutama dalam menangani krisis di Asia Barat. Bush mempunyai perancangan mahu menyusun semula politik di Asia Barat menerusi penguasaan ke atas Kuwait kemudian diikuti dengan serangan ke atas Iraq. Tidak habis di situ saja, Bush dengan sokongan Rice mengugut menyerang Iran, sebuah lagi negara di dunia Islam yang berani bertegas menentang dasar Bush. Bagaimana pun Obama memperlihatkan sikap yang lebih terbuka apabila berjanji akan mengeluarkan tentera AS dari Iraq serta mahu menyelesaikan krisis di meja rundingan bukan menggunakan kuasa ketenteraan. Maka tahun 2008 akan diingati dengan kehadiran Obama sebagai pemimpin sebuah negara kulit putih yang kini diterajui oleh seorang kulit hitam.

Obama memperlihatkan sikap awalnya yang tidak memusuhi Islam dan ini memberikan harapan baru selepas rejim Bush melabelkan beberapa negara Islam sebagai paksi kejahatan pasca 11 September 2001. Pada pertengahan Januari depan Obama akan mengangkat sumpah sebagai Presiden AS, sekaligus mengubah senario hubungan AS dengan dunia luar. Ketika Obama menjejakkan kaki ke Rumah Putih, AS sedang dilanda krisis ekonomi paling teruk sejak 1930-an dan ini sudah pasti menjadi cabaran paling getir antara memulihkan hubungan AS dengan negara luar khususnya Asia Barat dan menangani krisis ekonomi yang dijangka menjulangkan angka pengangguran ke paras yang tertinggi dalam sejarah AS.

Mahmoud Ahmadinejad:

Selain Obama, tahun 2008 juga memperlihatkan pendirian presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad yang sangat konsisten mengenai pertahankan isu nuklear yang dibangkitkan oleh AS. Ahmadinejad dianggap pemimpin muda Iran yang kelihatan agak liberal berbanding pemimpin sebelum ini tetapi tetap mempertahankan program nuklear Iran untuk tujuan tenaga dan bukan senjata. Pendirian Ahmadinejad membuatkan AS mengugut mahu melancar serangan ketenteraan seperti yang dilakukan ke atas Iraq.

Tetapi ugutan AS yakni Bush yang sengaja mencari alasan untuk menyerang satu-satunya negara di Asia Barat yang berani menentang dasar-dasar melampau anjuran Bush. Ahmadinejad memberi kerjasama yang cukup baik kepada Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) yang membuat pemeriksaan di tapak pembangunan tenaga nuklear di Iran. Sepanjang tahun 2008, Ahmadinejad diingati oleh dunia kerana tegas mempertahankan negaranya daripada diceroboh oleh kuasa besar seperti AS menerusi tuduhan membangunkan senjata nuklear.

Ahmadinejad menjalinkan hubungan baik dengan Rusia, sebuah lagi kuasa besar yang menjadi musuh tradisi AS. Iran mendapat bekalan uranium dari Rusia dan Rusia dengan terbuka menghantar beberapa kapal penuh dengan uranium yang didakwa tidak melanggar ketetapan yang dibuat oleh Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Nampaknya Iran terlepas daripada ugutan serangan oleh AS selepas Obama menduduki kerusi presiden AS tidak lama lagi.

Ahmadinejad menjadi pemimpin dunia Islam yang bukan saja paling lantang mengkritik AS malah mempunyai strategi untuk membangunkan Iran di luar bayang-bayang Barat. Kini Iran menjadi negara tunggal di Asia Barat yang tidak jatuh ke tangan AS, sekaligus menjadi contoh kepada banyak pemimpin negara Islam lain yang diancam oleh kuasa besar supaya bangun mengatakan pendirian. Ahmadinejad bijak menghalang kemaraan AS apabila menjalinkan hubungan baik dengan Rusia dan kalai kita masih ingat Putin pernah mengkritik Bush sebagai pencetus ketidakstabilan politik dunia. Ahmadinejad menggunakan peluang kecaman Putin untuk mengukuhkan kedudukan sebagai penentang AS.

Asif Ali Zardari:

Presiden Pakistan ke-14, Asif Ali Zardari sebenarnya tidak terbayang akan menjadi teraju utama Pakistan yang tidak pernah sunyi daripada konflik politik sejak sekian lama dulu. Asif Ali Zardari adalah suami kepada bekas Perdana Menteri Pakistan, Benazir Bhutto yang terkorban dalam serangan berani mati semasa kempen pilihan raya presiden. Pembunuhan Benazir, anak kepada Julfikar Ali Bhutto memberi laluan kepada Asif Ali Zardari yang memimpin Parti Rakyat Pakistan (PPP).

Laluan ke persana kuasa bukanlah mudah. Peralihan kuasa daripada pemimpin kuku besi Prevez Musharraf mempertembungkan pula dengan pergolakan dengan beberapa parti politik lain untuk memimpin Pakistan. Walaupun banyak penganalisis politik menganggap Asif Ali Zardari bukanlah tokoh terbaik untuk menjadi Presiden Pakistan selepas terkorbannya Benazir, tetapi pemilihannya juga disebabkan legasi Bhutto. Sebagai sebuah negara Islam, kedudukan Pakistan sebenarnya sangat bahaya apa lagi dengan campur tangan AS.

Bagaimanapun Asif Ali Zardari menumpang pengaruh Benazir yang sangat kuat di Pakistan malah menggugat Preves Musharraf semasa bekas jeneral tentera itu masih memimpin Pakistan. Asif Ali Zardari pernah digelar "lelaki sepuluh persen" selepas didakwa menerima rasuah daripada banyak projek kerajaan semasa Benazir menjadi Perdana Menteri.

Bagaimana pun tuduhan itu tidak dipedulikan oleh rakyat khususnya anggota PPP yang mahu melihat legasi Bhutto terus menerajui Pakistan selepas Ali Bhutto dihukum gantung sampai mati oleh Preasiden Zia. Kini Asif Ali Zardari menjadi antara pemimpin negara Islam yang lantang khususnya mengenai krisis dengan India terutama selepas serangan militan di Mumbai baru-baru ini.

India menuduh Pakistan terlibat dalam serangan militan itu dan Asif Ali Zardari bangun mempertahankan bahawa Pakistan tidak pernah terlibat dan mengarahkan menarik balik penghantaran pasukan penyelamat ke Mumbai. Dalam keadaan politik Pakistan yang tidak pernah stabil, terlalu sukar untuk diramalkan berapa lamakah Asif Ali Zardari boleh bertahan sebagai Presiden Pakistan. Walau apa sekali pun beliau membuktikan berjaya meneruskan impian isterinya untuk menduduki persada tertinggi di negara itu.

Hugo Chavez:

Presiden Venezuela, Hugo Chavez seorang lagi pemimpin dari Amerika Latin yang begitu lantang menentang AS. Beliau mengambil tindakan berani mengusir duta AS ke Venezuela. Sebagai membalas tindakan Chavez, AS baru-baru ini mengenakan sekatan ke atas tiga pembantu kanan Chavez iaitu dua ketua perisik Venezuela, Hugo Carvajal Barrios dan Henry Rangel Silva serta seorang bekas menteri, Ramon Rodriguez Chacin.

Sekatan itu sekaligus mencatat hubungan diplomatik antara Venezuala dengan AS berada di paras yang paling buruk. Sikap tidak gentar dengan gertakan AS menjadikan Chavez seperti bekas pemimpin Cuba, Fidel Castro malah Chavez secara terbuka mengakui bekas pemimpin Cuba itu sebagai mentornya dan menganggap Rusia sebagai pengimbang kuasa AS.

Akibat ketegangan hubungan antara Venezuala dengan AS, Chavez mengancam mahu menghentikan eksport minyak ke AS dan harga minyak ketika itu diramal akan meningkat hingga lebih AS$ 200 setong jika Venezuela memberhentikan bekalan minyak kepada AS. Chavez juga secara terbuka memihak kepada Rusia dengan membenarkan pesawat pengebom jarak jauh Rusia mendarat di Venezuela. Malah Chavez memihak kepada Rusia dalam isu Georgia.

Muntadar Al Zaidi:

Muntadar Al Zaidi bukanlah pemimpin politik. Beliau seorang wartawan Iraq yang ditugaskan membuat liputan sidang media Bush di Baghdad baru-baru ini. Muntadar ditugaskan mencari berita tetapi yang berlaku adalah sebaliknya apabila beliau pula menjadi bahan berita dan disebarkan ke seluruh dunia.

Muntadar mencatatkan sejarah yang tidak mungkin berulang untuk kali kedua iaitu melemparkan Bush dengan sepasang kasut yang dipakainya ke acara sidang media itu. Dalam adat budaya Iraq, melempar kasut adalah satu penghinaan yang amat teruk. Maka Bush telah dihina dengan sangat jijik oleh seorang warga Iraq selepas mengirimkan sekian banyak derita dalam perang Iraq.

Wartawan yang berjiwa nasionalis ini akan didakwa kerana cuba mencederakan seorang ketua negara asing. Sebenarnya Muntadar kini sudah melampaui tugasnya sebagai seorang wartawan yang menulis berita tentang Bush. Beliau dalam sekelip mata menjadi wira Iraq kerana keberanian melemparkan kasut yang sasarannya ke muka Bush. Kalau dilihat rating populariti Muntadar ketika ini, sudah tentulah beliau mengatasi Bush yang semakin dilupakan. Malah Muntadar mendapat sokongan seluruh dunia terutama daripada umat Islam yang menentang pencerobohan Bush ke atas Iraq.

Ironiknya semasa patung Saddam Hussein ditumbangkan oleh tentera AS dulu, ada rakyat Iraq sendiri yang memukul kepala patung Saddam dengan kasut. Mereka mengalu-alukan kedatangan tentera AS dengan jambangan bunga. Selepas ini mereka tentu akan mengingati pengorbanan besar yang dilakukan oleh Muntadar, ikon wira Iraq yang menghantar Bush pulang dengan sepasang kasut.