Maju Melayu Perkasa!

07 Januari 2009

Cinta Asyura dan Karbala


PADA 1 Muharam setiap tahun, umat Islam merayakan sambutan Maal Hijrah, bergembira atas kehadiran tahun baru dalam kalendar Islam.

Sambutan itu tidak disebut dalam al-Quran atau nas Sunah Nabi secara terus terang tetapi ia tetap dianggap perayaan umat Islam.

Ironinya umat Islam masih lebih cenderung meraikan secara berlebihan-lebihan tahun baru Masihi baru-baru ini termasuk dicemari perbuatan songsang lantas mencemarkan kemuliaan Muharam.

Kemuliaan Muharam yang pada hari itu kita berselawat memuji-muji Rasulullah - satu amalan yang diperintah Allah.

Kita alunkan nasyid-nasyid seperti Talaal Badru Alaina bagi mengingati kembali betapa gembira kaum Ansar menyambut kehadiran Rasulullah bersama Muhajirin di Madinah.

Hijrahnya Rasulullah, menandakan tamatnya segala penindasan ke atas golongan mustadafin (tertindas dan lemah) lantas membuka era baru perkembangan Islam - darinya juga bermula sebuah negara yang berlandas pimpinan Ilahiah.

Namun bulan Muharam juga mengingatkan kita peristiwa besar yang terjadi dalam sejarah tamadun manusia selepas Rasulullah iaitu 10 Muharram 61 Hijrah yang menyaksikan cucu kesayangan baginda, Hussin bin Ali bersama rombongannya terbunuh di Karbala.

Jika Maal Hijrah, umat Islam bergembira, peristiwa 10 Muharam pula disaduri dengan kesedihan. Tetapi apabila disebut kita sambut 10 Muharam dengan ingatan pada peristiwa Karbala, ia sering kali dianggap suatu yang asing, sesat lagi menyesatkan. Benarkah begitu?

Kerana ia selama ini disambut dengan penuh emosi oleh pengikut Syiah dan Ahlul Bait tetapi tidak di sisi pengikut sunni amnya. Bagaimanapun tradisi di rantau ini yang Sunni begitu rapat dengan Asyura sebagaimana rapatnya masyarakat sebelah sini dengan ritual seperti tahlil dan marhaban yang didatangkan dari Hadratulmaut.

Semuanya dikaitkan dengan ingatan terhadap Ahlul Bait.

Bergantung kepada budaya setempat, Asyura (versi Syiah?) disambut seperti di ibu kota Teheran, Iran; Karbala di Iraq; Lucknow, India dan Nabatiye, selatan Lebanon, malah tidak ketinggalan di serata tempat termasuk Malaysia.

Hari mereka berdukacita dari 1 Muharam sampailah kepada 10 Muharam dan ia berlanjutan selama 40 hari perkabungan (Arbaen).

Ya, semua itu tiada dalam al-Quran dan Hadis nabi secara berterus terang sebagaimana sambutan Maal Hijrah. Tetapi peristiwa penjarahan kejam terhadap Hussin, ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya oleh tentera Umar bin Saad di Karbala membuka lembaran sejarah kepada umat.

Ia tidak seharusnya menjadi milik Syiah semata-mata tetapi ia milik seluruh umat yang cintakan perdamaian dan kebencian pada kezaliman. Kerana Ahlul Bait adalah warisan tinggalan Rasulullah buat pegangan seluruh umat selepas al-Quran.

Menyambut 10 Muharam dengan mengingati Hussin bukan bererti kita semua menjadi Syiah atau Rafidhah (sesat). Tetapi mengingati kesyahidannya di Karbala adalah sebahagian rasa cinta dan sayang pada belahan jiwa Rasulullah itu.

Sedih

Sebagaimana yang diulang sebut dalam tahlil kita, ''Sesungguhnya Allah bermaksud hendak menghilangkan dosa dari kamu, hai Ahlul Bait dan membersihkan kamu sebersih-bersihnya" (al-Ahzab:33).

Justeru wajarkah manusia-manusia yang dibersihkan oleh Allah itu dibunuh kejam. Layakkah insan yang dikasihi Nabi diperlakukan sebegitu rupa. Umat apakah kami ini, ya Allah?

Jadi wajarkah kita tidak mempunyai secebis rasa sedih meskipun tidak beremosi bila mengenangkan sejarah hitam itu.

Ketika Hussin menyaksikan dengan matanya, Ali Akbar dipanah dalam keadaan tekaknya kering kehausan. Tidak cukup itu, bayi kecil, Ali Asghar yang merengek-rengek perlukan air tetapi panah pula yang dilayang ke tubuhnya.

Bagi mereka yang begitu rapat dengan sejarah itu, emosinya membuak-buak, linangan air mata tidak dapat dibendung. Kadang kala kerana faktor budaya setempat, ada yang terdorong melukakan badan mereka, mungkin ingin merasai penderitaan Hussin dan keluarganya.

Apa peliknya jika Presiden, Gamal Abdul Naser mati dibunuh Khalid Islamboli, ada juga orang Mesir meratap hingga membunuh diri, inikan cucu Nabi yang dibunuh. Jadi tidak mustahil ada yang bertindak terlalu emosi dan meluahkan segala-galanya.

Namun wajarkah mereka yang dikatakan sebagai pengamal bidaah itu dihapuskan dan dihalalkan darah mereka dengan aksi letupan bom sebagaimana sering terjadi di Pakistan dan juga Iraq apabila golongan Syiah beramai-ramai keluar menyambut Asyura secara terbuka selepas puluhan tahun dihalang rejim Saddam Hussein.

Seharusnya umat Islam kini tidak lagi dibebankan dengan pertelingkahan sejarah lama. Ketika ada yang marah kerana sambutan Asyura, sebenarnya Karbala moden sedang berlaku dan Asyura terus menangis.

Bumi Gaza dibedil, dijarah sejak 27 Disember lalu. Serangan darat yang telah dimulakan oleh tentera Zionis tidak mengenal kanak-kanak, bayi dan wanita. Sasarannya membabi buta - masjid, hospital dan pasar.

Tentera rejim itu tiada bezanya dengan kejamnya Umar bin Saad atau Syamir bin Dzi Al-Jausyan ketika di Karbala.

Keadaannya juga sama, jika tiada seorang pun penduduk Kufah yang berani melawan kezaliman tentera Umayyah untuk menyelamatkan Hussin yang sepatutnya mereka baiah sebagai pemimpin dan ikutan.

Begitu juga Gaza, tiada penguasa atau negara yang mampu melawan Israel. Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) tidak mampu berbuat apa-apa meskipun Palestin adalah isu yang melibatkan sama ada Sunni atau Syiah.

Kita hanya mampu berdemonstrasi, melaung-laungkan ''Jahanam-jahanam Israel, Hidup-Hidup Islam' atau Hancur Amerika! dan setidak-tidaknya hulurkan bantuan kemanusiaan. Itu semua sekadar tindakan ad-hoc untuk Palestin.

Selepas itu, masing-masing pulang ke rumah boleh bersuka ria dan bergelak ketawa di bulan Muharam ini. Tetapi Asyura membuatkan penderitaan Palestin terasa dekat di hati.

Ahli sejarah al-Makrizi dalam al-Khuthath sebagaimana yang dipetik dari tulisan Jalaluddin Rakhmat menyebut; ''Dinasti Fatimiah di Mesir menjadikan Asyura sebagai hari dukacita (mengenang kematian Hussin di Karbala)… Ketika Bani Ayub merebut Mesir, mereka menjadikan hari itu hari gembira… Melanjutkan tradisi orang Syam yang dirintis oleh Al-Hajjaj pada zaman Abdul Malik bin Marwan.''

Untuk catatan sepanjang ratusan tahun Hijrah, mimbar masjid di zaman Umaiyah disuruh mengutuk Imam Ali sehinggalah ia ditamatkan oleh Khalifah Umar al-Abdul Aziz yang mengubahnya kepada kalimah ''Sesungguhnya Allah memerintahkan kamu kepada keadilan dan ihsan.''

Jalaluddin dalam bukunya, Meraih Cinta Ilahi,Pencerahan Sufistik mengungkapkan setiap kali Asyura, pengikut Ali di Karbala merekonstruksi peristiwa itu dan merintih penuh nestapa.

Mereka berteriak, ''Setiap hari adalah Asyura dan setiap bumi adalah Karbala. Kita baca ungkapan itu sebagai ''Setiap hari adalah perjuangan dan di mana saja kita berpijak itulah bumi perjuangan," Selawat…

Kezaliman

Lantas Asyura bukan sekadar menjadi lambang penentangan kezaliman pemerintah dalam dinasti Umaiyah. Memandangkan Khilafah ketika itu mendokong aliran sunnah maka ada pihak yang menganggap sambutan Asyura adalah lambang penentangan kepada sunni.

Namun sebenarnya Asyura adalah sumbu penolakan kepada sebarang kekejaman dan penindasan ke atas mustadafin. Gelombang semangat Asyura jugalah satu ketika dulu menumbangkan Syahansyah Reza Pahlawi atau Shah Iran oleh pendukung garisan Imam Khomeini, meskipun raja segala raja itu adalah Syiah.

Sambutan Asyura tahun demi tahun itulah menyalakan semangat penentangan ke atas tentera Israel oleh Hizbullah, pimpinan Hassan Nasrallah yang mengisytiharkan kemenangan dalam perang 34 hari dengan rejim itu pada 2006.

Dan Hizbullah secara jelas mengiktiraf kepimpinan wilayah al-faqih di Iran.

Dengan semangat menentang kezaliman itulah juga Presiden George Bush dimalukan oleh wartawan, Muntazer al-Zaidi, seorang Syiah dengan lontaran jamrah 'kasut but' saiz 10 itu.

Oleh itu, apabila membaca sejarah Karbala, ia sebenarnya terlalu dekat dengan apa yang telah berlaku sekarang dan mengajak kita berfikir bagaimana harus dilakukan untuk merubah nasib umat.

Asyura adalah menyatakan rasa sedih dan meluahkan kecintaan mendalam pada Hussin dan ahli keluarganya, sebagaimana Nabi pernah menyatakan rasa sedemikian rupa pada cucunya itu.