Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

07 Januari 2009

AMBIL PENDEKATAN LUAR BIASA TANGANI ISU PALESTIN


DUNIA bagaikan tidak dapat berbuat apa-apa apabila tentera Israel terus bebas membunuh pemimpin dan penduduk Palestin di Semenanjung Gaza.

Baik masyarakat antarabangsa mahupun diri kita sendiri hanya sekadar menonton apa yang berlaku di depan kaca TV - penduduk Palestin mati begitu sahaja.

Sebuah kerajaan Palestin yang sah sekarang sedang berhadapan dengan kekejaman sebuah rejim haram yang sudah membunuh lebih 500 orang, kebanyakannya penduduk awam sejak tentera Israel melancarkan serangan di Gaza pada 27 Disember lalu.

Tidak perlu lagi kutukan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), badan-badan antarabangsa dan negara-negara kuasa utama lain. Ini kerana usaha itu tidak akan mendatangkan sebarang tindakan berkesan ke atas Israel.

Begitu juga segala sidang tergempar dan draf resolusi mungkin hanya mainan wayang tanpa suatu tindakan yang tegas.

Kita juga sudah bosan keupayaan Amerika Syarikat (AS) untuk bertindak sebagai orang tengah dalam konflik Arab-Israel.

Jadi suatu tindakan yang tegas perlu diambil segera bagi menghentikan kekejaman itu.

Apa yang kita mahukan suatu tindakan yang memberikan kesan kepada Israel supaya rejim Zionis itu tidak lagi melakukan sesuatu dengan sewenang-wenang ke atas Palestin.

Harus ada pelaksanaan undang-undang antarabangsa bagi menyekat segala perkara ini daripada berlaku.

Jika negara-negara Islam melalui Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), Pertubuhan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan negara-negara yang menganggotai PBB perlu mengambil tindakan berani dengan memboikot barangan AS dan Israel.

Usaha-usaha dan kempen boikot boleh bermula secara diplomatik dan melalui sekatan perdagangan.

Sebagai bantahan terhadap sokongan AS kepada Israel, rakyat Malaysia sendiri digesa memboikot produk dan barangan dari negara kuasa besar itu.

Selain kerajaan, pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) negara kita juga patut menggesa orang Islam supaya mendesak kerajaan masing-masing untuk menghentikan daripada menyimpan wang di dalam bank AS.

Adalah lebih berkesan jika disebarkan risalah-risalah yang menyenaraikan berpuluh-puluh produk pengguna dan syarikat AS yang perlu diboikot oleh orang Islam.

Dengan tindakan ini kita percaya akan mengakibatkan penurunan terhadap permintaan bagi beberapa produk AS. Biar mereka pula merasa bagaimana perit apabila ekonomi dipulaukan oleh dunia dan pada masa yang sama mereka juga menghadapi masalah kemelesetan ekonomi.

Jika tidak cukup tindakan memboikot barangan AS dan Israel, mungkin wajar dipertimbangkan pembentukan pasukan pengaman negara-negara Islam untuk dihantar ke Gaza.

Sesuatu tindakan yang luar kebiasaan perlu diambil kira untuk membawa keluar dunia daripada terlalu tunduk kepada AS dalam menangani isu Palestin.