Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

07 Januari 2009

Tahun baru bawa tabiat azam lama


Kebun tebu di tanah tinggi
Tanam asam condong ke barat
Tahun baru silih berganti
Azam demi azam tinggal berkarat
PANTUN di atas nadanya agak sinikal.

Sebagaimana lazimnya kebanyakan ungkapan sinikal, tentu sindiran pantun itu merupakan satu generalisasi atau satu kenyataan umum yang ada kecuali. Tetapi bagi kebanyakan kita, maksud yang tersirat dalam pantun itu adalah satu realiti.

Menjelang 1 Januari 2008, lebih setahun yang lalu, kita mengikrarkan pelbagai azam secara diam-diam atau menyuarakannya secara lisan. Tapi bila tiba 31 Disember 2008 banyak antara azam yang diikrarkan itu tidak terlaksana. Maka dicarilah berbagai-bagai alasan kenapa pelbagai azam tersebut terbengkalai. Dan alasan-alasan itu lazimnya lebih banyak menyalahkan faktor-faktor di luar diri kita. Jarang sekali kita menyalahkan diri sendiri.

Namun, walau pun banyak azam tahun terdahulu yang tidak terlaksana, bila Januari 2009 menjelmakan wajahnya, kita masih tidak serik untuk mengikrarkan serentetan azam baru atau memperbaharui azam lama yang tidak terlaksana sebelumnya itu.

Dengan melaksanakan pelbagai azam baru itu kita berharap akan lebih sihat, lebih banyak ibadat serta lebih bahagia dunia dan akhirat. Di mata orang lain kita berharap akan dianggap sebagai seorang individu yang lebih berguna, lebih berjasa dan lebih bertanggungjawab.

Demikianlah kita tidak akan serik membuat azam baru atau memperbaharui azam lama setiap kali tahun baru menjelma. Sejauh manakah semua atau sebahagian azam itu akan terlaksana, hanya Tuhan yang tahu.

Apakah makna semuanya itu bila individu membuat pelbagai azam baru di permulaan tahun? Demikian saya bertanya kepada seorang pensyarah muda di universiti tempatan yang sedang menyelesaikan pengajian Ph.Dnya di bidang komunikasi di sebuah universiti seberang laut.

Soalan saya itu dijawab dengan menggunakan satu soalan lain oleh pensyarah muda tersebut. Dengan nada sinis dia bertanya dalam bahasa Inggeris: “What is the big deal about new year resolution?" Apa benar istimewanya azam tahun baru itu, begitulah lebih kurang jawapannya jika diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu.

Jawapannya dalam bentuk soalan yang retorikal itu memaksa saya untuk memberi jawapan lain yang agak berbau filosofikal: “Kecenderungan membuat azam tahun baru memperlihatkan bahawa manusia itu mempunyai hasrat tersirat untuk memperbaiki diri daripada berbagai-bagai segi.”

Pensyarah muda itu nampaknya tidak mahu kalah lalu berhujah dengan nada sinis yang juga berbau falsafah: “Tetapi tabiat manusia yang susah berubah dan tekanan persekitaran yang juga susah berubah menyebabkan pelbagai azam tahun baru yang muluk-muluk itu susah dilaksanakan.” Dia menggunakan ungkapan bahasa Inggeris “the force of habits and the force of environments.”

Bila direnung lebih mendalam, saya berkesimpulan bahawa pendapat pensyarah muda ini telah memberi satu jawapan cukup jitu mengenai persoalan “azam tahun baru” yang sering tidak terlaksana itu. Sekali gus dia juga memberi jawapan terhadap pelbagai persoalan lain dalam kehidupan kita, baik kehidupan pada peringkat individu mahu pun masyarakat.

Sesungguhnya yang menjadi pokok pangkal persoalan ialah “tabiat diri kita” yang sering dipersulit oleh “persekitaran sekeliling kita.” Kita ingin, malah perlu, menguasai persekitaran untuk memastikan hasrat dan kehendak kita terlaksana. Sebaliknya ternyata bahawa kita lebih “dikuasai” oleh persekitaran, sedang yang kita mahu ialah “menguasai” persekitaran. Tetapi untuk menguasai persekitaran kita perlu terlebih dahulu mempunyai kekuatan untuk mengawal diri.

Ini mengingatkan saya kepada pendapat dua orang tokoh dari dua zaman yang berbeza dan dari dua latar belakang budaya yang berbeza. Tokoh pertama ialah Pendeta Za’aba yang memberi pendapat kira-kira tiga suku abad yang lalu. Yang seorang lagi ialah pakar motivasi Amerika Syarikat, Stephen R. Covey yang terkenal dengan karyanya, Seven Habits of Highly Effective People.

Pada halaman 18 buku itu, Stephen Covey membahaskan peri perlunya kita merubah (menguasai) diri sendiri terlebih dahulu sebelum dapat merubah (menguasai) persekitaran. Dan untuk merubah diri secara berkesan kita mestilah terlebih dahulu merubah persepsi atau tanggapan. Semuanya ini merujuk kepada perubahan sikap dan penguasaan atau pengawalan terhadap diri sendiri.

Tetapi setengah abad sebelum Stephen Covey membuat beberapa kesimpulan peri pentingnya pengawasan terhadap diri sendiri, seorang pemikir Melayu Pendeta Za‘aba telah membahaskan perkara yang sama dalam berbagai-bagai tulisan termasuk dalam satu satu makalah panjang yang berjudul “Perangai Bergantung kepada Diri Sendiri.”

Akhirulkalam, bagaimana jika kita bersama menambah satu lagi azam tahun baru 2009 ini dengan berikrar untuk membaca buku Stephen Covey dan karya Pendeta Za‘aba.

- DATUK DR. FIRDAUS ABDULLAH ialah bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka yang sebelumnya pernah menjadi Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar),

Universiti Malaya.