Maju Melayu Perkasa!

07 Januari 2009

Ketuanan pendidikan Melayu


BUKANLAH sesuatu yang menghairankan apabila permasalahan berkaitan pendidikan di kalangan orang Melayu masih menjadi isu yang kedengaran saban tahun.

Isu-isu seperti pengangguran siswazah Melayu, kualiti modal insan yang mendukacitakan, kegagalan menguasai bahasa Inggeris serta tidak menepati kehendak pasaran kerja seolah-olah tidak mempunyai jalan penyelesaian.

Kegagalan orang Melayu menonjolkan diri dalam pendidikan adalah satu kerugian yang besar kepada pembangunan bangsa, apabila terpaksa melepaskan beberapa 'kuasa' kepada bangsa lain kerana ketidakbijakan orang Melayu itu sendiri.

Justeru adalah sesuatu yang mustahak untuk isu dan cabaran dalam pendidikan orang Melayu itu diperhalusi supaya peranan orang Melayu sebagai tuan di Tanah Melayu ini dikuasai dalam erti kata yang sebenarnya.

Perkara itu juga menjadi intipati utama perbincangan dalam Seminar Nasional Ketuanan Melayu yang dianjurkan oleh Kolej Antarabangsa Dunia Melayu Dunia Islam (KADMDI), di MITC, Ayer Keroh, Melaka yang berlangsung 6 hingga 7 Januari.

Seminar dua hari bertemakan Konsep dan Cabaran Dalam Pembinaan Negara Bangsa dan Berdaulat itu dihadiri oleh ahli akademik dan profesional Melayu dalam pelbagai bidang dari universiti serta organisasi seluruh negara.

Pada ketika ini, ketuanan Melayu dalam pendidikan berkembang kerana adanya dasar dan bantuan daripada kerajaan yang memberikan keutamaan kepada orang Melayu dalam pelbagai cabang pendidikan.

Namun mampukah bantuan daripada kerajaan itu mampu bertahan untuk Melayu terus menjadi ketua dan pemimpin pada masa akan datang?

Seperti yang dijelaskan oleh Dekan Fakulti Pendidikan, Universiti Industri Selangor, Prof. Datuk Dr. Ab. Rahim Selamat dalam kertas kerjanya yang bertajuk 'Mengukuhkan Ketuanan Melayu Dalam Sektor Pendidikan Negara', sistem pendidikan negara memerlukan strategi yang mampan untuk mengekalkan ketuanan dan kepimpinan Melayu.

Menurut beliau, usaha itu boleh dicapai menerusi penilaian semula perancangan, pengelolaan, kepimpinan dan pengawalan dalam konteks ketuanan pendidikan supaya fungsi pengurusan pendidikan itu menjadi selaras atau sistematik.

Dalam memperkatakan tentang kualiti pendidikan juga, adalah wajar untuk membandingkan penglibatan orang Melayu dan kaum lain dalam sektor pendidikan swasta termasuk yang bermula di peringkat pra sekolah lagi.

Pendidikan sekolah swasta tidak begitu mendapat perhatian orang Melayu barangkali kerana kedudukan yang selesa dalam sektor pendidikan awam. Sedangkan ketuanan orang Melayu dalam pendidikan juga boleh dinilai daripada sejauh mana kejayaan kita berdikari dalam membangunkan institusi pendidikan secara individu atau syarikat.