Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

21 Februari 2009

Seribu makna


Oleh Shamshul Azree Samshir | Foto Ihsan The History Channel


FOTO nostalgia Zaharah Routin Ibrahim (tiga dari kanan) menganggotai pasukan polis wanita pertama negara pada 1956. Foto ini memenangi hadiah terbaik keseluruhan.

Himpunan foto rakam kisah kehidupan, nilai sentimental

SEJAK kamera mula dicipta, manusia tidak pernah berhenti beraksi di depannya. Melangkah ke era digital sekarang, keseronokan merakam detik manis bersama keluarga dan teman boleh dilihat di mana saja. Fungsi mudah kamera digital dalam merakamkan aksi pegun mahupun video, menjadikan aktiviti ini cukup digemari biar si tua atau muda.

Lebih menyeronokkan, gambar yang dilihat spontan boleh dimuat turun ke medium lain seperti dihantar melalui khidmat pesanan multimedia (MMS), e-mel atau dimuatkan dalam Facebook untuk ditonton lebih ramai kenalan.


Begitulah kesan evolusi terhadap gajet ini yang bermula daripada sebongkah kotak kayu hinggalah kamera digital canggih yang dipasang pada telefon bimbit.

Biar apapun era mendatang, elemen sentimental pada sekeping gambar tidak pernah hilang. Sedar atau tidak, setiap keping gambar yang dirakamkan sarat elemen nostalgia atau kenangan tersendiri. Dalam setiap rumah, pasti ada gambar istimewa yang menyimpan sejarah tersendiri sebuah keluarga.

Foto menyambut kelahiran bayi, berlari di acara sukan sekolah atau mungkin insiden malang terjatuh dari basikal, mengundang nostagia dan makna tersendiri.

ANTARA 20 foto terbaik yang dihantar rakyat Malaysia ke program Foto Untuk Masa Depan.

Atas kesedaran ini, program istimewa Foto Untuk Masa Depan anjuran The History Channel yang boleh ditonton di saluran Astro 555, mengajak rakyat Malaysia berkongsi kenangan dengan mengabadikan melalui foto. Sejak dilancarkan November lalu, rakyat Malaysia yang masing-masing punya cerita tersendiri terhadap gambar yang dirakamkan, menghantar beratus-ratus penyertaan serta berkongsi sejarah.

Mendekati penganjur program Foto Untuk Masa Depan, acara istimewa ini yang dianjurkan bersama Badan Warisan Malaysia diadakan untuk mengajak rakyat Malaysia menyimpan rekod visual kehidupan di Asia sejak lebih seabad lalu.

Koleksi gambar dan kisah peribadi yang dihantar akan diabadikan untuk generasi masa depan serta diakses melalui arkib maya yang disediakan penganjur untuk tatapan ramai.

The History Channel yang menganjurkan pertandingan ini di seluruh dunia tidak mengehadkan penyertaan terhadap sebarang jenis foto. Sama ada foto yang dirakamkan 80 tahun lalu atau mungkin lapan bulan lalu, apa saja foto yang mempunyai cerita di sebaliknya diterima.


Dalam hubungan ini, The History Channel mencari gambar yang boleh menjadi perakam sejarah atau penanda aras bagi detik tertentu, masa atau acara bersejarah. Misalnya, foto yang merakamkan perubahan wajah pada sebatang jalan; aliran fesyen atau budaya lama; set televisyen pertama dimiliki keluarga atau pengembaraan di wilayah asing.

Pencarian foto nostalgia itu berakhir apabila penganjur sepakat memilih 20 foto terbaik yang sarat dengan mesej dan elemen sejarah tersendiri. Foto yang merakamkan aksi keluarga berkumpul, terompah usang, kedai gunting rambut dan mesin ais kacang biarpun nampak ringkas dan mudah, namun memiliki kekuatan tersendiri hingga diangkat menjadi karya foto terbaik.

Kemenangan ini melayakkan mereka memenangi bingkai foto digital bernilai RM500 daripada penganjur.

Jika anda mahu melihat 20 gambar terbaik berserta foto lain yang diperoleh dari seluruh negara dan rantau ini, apa kata luangkan masa di kompleks beli-belah One Utama di Petaling Jaya, Selangor. Himpunan foto ini akan dipamerkan di kompleks beli-belah ini sehingga esok. Selepas ini, pameran akan beralih ke bangunan Badan Warisan Malaysia di Jalan Stonor mulai Isnin ini hingga minggu pertama Mac.

Pengurus Besar AETN All Asia Networks, Louis Boswell berkata, program Foto Untuk Masa Depan adalah inisiatif penting The History Channel.

“Program ini adalah sebahagian daripada kempen global yang diadakan di serata dunia termasuk Malaysia. Kami menggalakkan rakyat Malaysia menyumbang sedikit detik kehidupan yang dirakam sebagai antara koleksi untuk generasi akan datang.

“Kami harap ia menunjukkan ‘wajah’ sebenar Malaysia yang boleh dinikmati zaman-berzaman,” katanya kepada Sabtu.

Boswell berkata, sejarah bukanlah sesuatu yang hanya diperoleh melalui buku teks.

“Setiap insan mempunyai sejarah sendiri. Dengan kepelbagaian serta kekayaan budaya, Malaysia mempunyai banyak cerita untuk dipaparkan menerusi gambar.

“Photos for the Future membolehkan penonton kami berkongsi sejarah mereka seterusnya menghubungkan mereka dengan masa lampau, kini dan masa depan,”

katanya,

Pengarah Eksekutif Badan Warisan Malaysia, Elizabeth Cardosa berkata, pihaknya gembira The History Channel mengambil inisiatif menganjurkan program Foto Untuk Masa Depan.

“Misi ini sama rentaknya dengan Badan Warisan Malaysia. Program ini mendidik dan memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia menghargai sejarah melalui pendekatan yang menggembirakan,” katanya.

Acara

Program: Foto Untuk Masa Depan

Aktiviti: Pameran 20 foto terbaik yang dihantar rakyat Malaysia dan koleksi rantau ini.

Anjuran: The History Channel dan Badan Warisan Malaysia

Tempat:

  • Pusat Beli-belah One Utama, Petaling Jaya (sehingga esok)

  • Badan Warisan Malaysia (mulai lusa hingga minggu pertama Mac)

    Mengenali The History Channel:

  • Boleh diikuti di lebih 140 negara dengan lebih 250 juta isi rumah.

  • Menjadi peneraju maklumat, pemenang anugerah, siri bukan fiksyen dan menghubungkan sejarah dengan penonton secara informatif, terperinci dan menghiburkan melalui pelbagai landasan.

  • Program meliputi pelbagai genre sejarah membabitkan sejarah era lampau hingga sejarah kontemporari, teknologi hingga sejarah lalu, tidak ketinggalan sains, arkeologi dan budaya pop.

  • Antara rangkaian program yang menjadi siri popular adalah Battle 360, The Universe, Cities of the Underworld, Monster Quest, serta Life After People, China’s First Emperor, Behind Forgotten Eyes.

  • Saluran History dilancarkan di Amerika Syarikat (AS) pada Januari 1995.

  • Saluran History boleh diikuti di Saluran Astro 555. Ia adalah rangkaian 24 jam dengan sari kata Bahasa Malaysia dan Bahasa Cina.



    Pemenang keseluruhan Foto Untuk Masa Depan

  • Azul Sidek Adnan, 45, dari Ampang, Selangor.

    "Saya mengirim foto ibu, Zaharah Routin Ibrahim ketika beliau bersama enam lagi anggota polis wanita pertama sedang berbaris di Depot Polis di Jalan Gurney, Kuala Lumpur. Gambar ini dirakamkan pada Januari 1956 ketika ibu berusia 23 tahun.

    Bagi saya gambar ini amat penting kerana ia ada nilai sejarah. Jika difikirkan, lebih 50 tahun berlalu dan begitulah usia pasukan polis wanita di Malaysia. Tetapi hingga hari ini, tidak ramai wanita menyertai pasukan polis.

    Dulu, wanita bersemangat dan berani menyertai pasukan polis kerana hendak mempertahankan negara."

  • Zaharah Routin Ibrahim, 76.

    "Saya masih teringat detik gambar dirakamkan lebih separuh abad lalu. Saya sertai pasukan polis wanita pada 1955 dan ketika itu, kelengkapan tidak banyak. Malah, pada hari pertama kami tidak diberi pakaian seragam. Beberapa bulan selepas itu barulah kami mendapat persalinan polis wanita.

    Saya masih berjumpa rakan-rakan sepasukan seperti yang dirakamkan dalam foto itu kecuali dua orang yang sudah meninggal dunia. Kebetulan, kami semua menetap di Kuala Lumpur jadi senanglah untuk bertemu dan bercerita kisah lama."
  •