Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

11 Mac 2009

Derita gajah Thailand


Hanya untuk beberapa dolar, sekumpulan gajah di Bangkok terpaksa berjalan ke hulu dan ke hilir di jalan raya di kawasan bandar untuk menjana pendapatan tuannya.


SEORANG gembala gajah menunjukkan aksi kepada jurugambar bahawa dia tidak mahu gambarnya dirakamkan.


SEORANG pelancong yang mabuk berulang kali menjatuhkan beg makanan gajah yang dipegangnya di tepi jalan raya Soi Cowboy, Bangkok. Di bawah cahaya lampu neon yang menerangi kegelapan malam, lelaki itu mempermainkan gajah berusia dua tahun itu yang cuba mengambil batang tebu daripada tangannya yang menggeletar.

Akhirnya, gajah tersebut 'meraung' bagaikan rasa teraniaya sebelum penjaganya membawa ia berjalan pergi ke satu lagi kumpulan pelancong yang bersedia untuk membayar. "Haiwan ini kerap dipukul kerana letih berjalan sehingga pukul 1 pagi," ujar Soraida Salwala yang mengendalikan sebuah pusat kebajikan yang menyelamatkan gajah seperti itu.

Kawanan gajah mula tiba di Thailand kira-kira empat dekad lalu apabila Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand membawa beberapa ekor haiwan tersebut ke Bangkok bagi menjayakan sebuah pameran untuk menarik pelancong asing. Sebaik pemilik haiwan tersebut menyedari keuntungan yang diperoleh, mereka singgah ke kawasan bandar secara kerap.

Pada tahun 1993, kira-kira 10 ekor gajah merayau di jalan raya di Bangkok. Namun hari ini, Soraida menjelaskan, hampir 100 ekor gajah telah 'berhijrah' ke Bangkok. Lebih daripada 1,000 ekor gajah digunakan oleh pemiliknya untuk mencari pendapatan. Permintaannya begitu tinggi sehingga ada laporan yang menyatakan bahawa wujud kes penyeludupan gajah dari negara luar.

Sebuah laporan yang dikemukakan oleh pihak kebajikan hidupan liar Traffic pada bulan lalu mendedahkan bahawa lebih daripada 250 ekor haiwan telah diseludup dari negara jiran seperti Myanmar dalam beberapa dekad yang lalu. Perbuatan tersebut bukan sahaja melanggar peraturan setempat tetapi juga di peringkat antarabangsa.

"Gajah betina dan muda biasanya mendapat permintaan yang tinggi daripada sektor pelancongan di Thailand," ujar Chris Shepherd, seorang pegawai program kanan di Traffic. Soraida yang menubuhkan Friends of the Asian Elephant (FOAE) pada tahun 1993 berkata, buat masa ini hanya terdapat kira-kira 4,600 gajah liar dan tahanan di negara ini berbanding dengan 40,000 ekor lebih 50 tahun yang lalu.

Asap kereta dan laluan jalan raya yang sempit seringkali meninggalkan kesan buruk pada haiwan terbesar di daratan itu terutama mata yang kabur dan risiko mendapat kecederaan di bahagian kaki, keluh Soraida yang kadangkala merawat haiwan tersebut di sebuah hospital yang diasaskan di utara wilayah Lampang.

Bagaimanapun, kebanyakan pemilik gajah tersebut mempertahankan tindakan mereka dengan menjelaskan ia adalah periuk nasi mereka. Muang Salangam, 59, dari timur laut wilayah Surin berkata, gajah berusia 29 tahun yang dimilikinya menyumbang pendapatan sebanyak RM106 (AS$29) dengan berjalan sejauh 12 kilometer dalam sehari.

Upah tersebut bersamaan dengan purata gaji bulanan yang diberi kepada pekerja kilang iaitu sekurang-kurangnya 7,329 baht atau AS$200 (RM732) pada suku tahun terakhir 2007, berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Pejabat Statistik Kebangsaan. "Saya terpaksa membawa gajah saya ke Bangkok kerana saya tidak mempunyai duit," ujar Muang di tapak khemah yang terletak di belakang sebuah tempat parkir kereta di sebuah lebuh raya utama di Bangkok.

"Ada yang mengutuk saya kerana membawanya ke sini tetapi jika kami kekal di sana, kami (Muang dan gajah) akan kebuluran. Tidak ada makanan di tempat asal," katanya.


ADA gajah terpaksa berjalan mengharung kesesakan lalu lintas di jalan raya sekitar Bangkok sejauh 12 kilometer sehari.


Dia sempat melahirkan kekesalan terhadap kekurangan bantuan daripada kerajaan bagi menangani masalah yang dihadapi individu seperti mereka.

Laporan Traffic menjelaskan, walaupun kajian mereka mendedahkan aktiviti yang berlaku di sempadan Myanmar, namun tiada pemindahan atau perdagangan gajah hidup dilaporkan kepada Konvensyen Perdagangan Antarabangsa terhadap Spesies Haiwan Terancam oleh kedua-dua negara Myanmar dan Thailand.

Sementara itu, lebih sedozen undang-undang wujud bagi memantau dan menghukum pemilik gajah yang bersalah atau juga dikenali sebagai gembala gajah. Ia meliputi isu pengangkutan sehinggalah kesihatan. Begitupun, sebuah badan khas polis yang ditubuhkan pada 2006 gagal menghalang kumpulan gembala itu untuk kembali bermaharajalela setelah dihalau.

Dua usaha yang diambil oleh kerajaan bagi menghantar pulang haiwan itu ke kawasan pedalaman atau tempat asal turut menemui jalan buntu. Satu daripadanya ialah projek menggalakkan pemilik dan gajah bekerja sebagai duta kecil di Taman Negara. Projek itu gagal kerana kekurangan dana kewangan pada tahun 2002. Satu lagi projek pada tahun 2006 juga gagal untuk menggalakkan gembala gajah supaya pulang ke Surin dengan tawaran upah sebanyak 12,000 baht (RM1,232). Ini kerana, kata Soraida, penggembala tersebut menyewa gajah yang dimiliki kepada orang lain. Jadi, mereka tidak berpeluang untuk menikmati seluruh amaun tersebut.




Walaupun tidak mengharapkan perubahan tetapi Soraida berikrar untuk berjuang mengeluarkan gajah-gajah itu dari jalan raya di kawasan bandar.

"Kerajaan tidak begitu ambil peduli tetapi kita tidak boleh membiarkan masalah ini berlarutan," katanya.