Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

11 Mac 2009

Mengenang Zubir Ali


Sama ada tunjang mesejnya adalah ketuhanan, kemanusiaan mahupun keamanan sejagat, Allahyarham Zubir Ali memastikan dia sentiasa ‘hidup’ dalam setiap rangkap puisinya.


ALLAHYARHAM ZUBIR ALI





DIA tidak mahu mendabik dada dengan label pejuang sastera dan puisi. Sebaliknya insan ini lebih senang jika sekadar diingati sebagai penyambung generasi puisi. Setidak-tidaknya itu menjadi pedomannya di atas pentas persembahan, lebih-lebih lagi dirinya pernah menyuarakan kerisauan tentang atmosfera penghayatan puisi yang semakin lenyap dalam arus semasa.

Atas sebab itulah Zubir Ali tidak putus kecenderungannya untuk berkarya atas nama genre itu. Rangkaian frasa dan rangkap ciptaannya pun akhirnya menjadi lebih terkesan dalam ingatan ramai lantaran terjalin enak dengan melodi.

Pendek kata, komposer dan penyanyi ini berjaya mempertemukan elegan bahasa dengan keindahan gubahan muzik.

Mungkin ramai yang mengingati langkah mula Zubir. Semenjak kemunculannya dalam trio Harmoni pada tahun 1973, mereka telah berpeluang merakamkan tiga buah album yang berjudul Penantian, Nyanyian Ombak dan Sewaktu Hujan Berbisik.

Seiring reputasi Harmoni yang menjayakan banyak persembahan di seluruh negara, Zubir secara solo juga pantas mendapat pengiktirafan lisan dan tepukan hormat yang mengiyakan bahawa dialah antara 'penghulu' lagu-lagu puisi.

Tidak hairan jika hari ini terdapat ramai peminat yang mudah melantunkan lirik lagu Doa, Penantian dan Balada Seorang Gadis Kecil di bibir.

Sepanjang usia kerjayanya, Zubir tidak hilang daripada ingatan peminat. Dia pernah menyertai projek Roslan Aziz Production (RAP) yang lantas menjadikannya relevan dalam arus kontemporari, lebih-lebih lagi apabila lagu Ikhlas Tapi Jauh mencetuskan fenomena.

Pernah menyandang jawatan Timbalan Pengarah Kebudayaan, Pembangunan, Perkhidmatan dan Kegiatan Pusat Kebudayaan, Universiti Malaya selama dua tahun, Zubir terus berkongsi perspektifnya sebagai pensyarah pula di ASWARA.