Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

02 Mac 2009

Isu sensitif boleh jejas keharmonian masyarakat



LANGKAH Kementerian Dalam Negeri (KDN) membatalkan warta kerajaan yang membenarkan penggunaan bersyarat perkataan 'Allah' dalam penerbitan Kristian, Herald-The Catholic Weekly berkuat kuasa serta-merta, dapat meredakan kekeliruan dan kebimbangan masyarakat Islam, berhubungan isu yang berlarutan sejak sekian lama itu. Rakyat sebenarnya terkejut dengan kebenaran yang dilaporkan mula berkuat kuasa 16 Februari lalu itu kerana keputusan mahkamah mengenainya belum dibuat. Secara tiba-tiba kerajaan membenarkannya, menyebabkan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Mohd Nakhaie Ahmad membuat kenyataan membantah tindakan kerajaan itu yang dikatakan kurang bijak dan boleh mengundang kemarahan di kalangan masyarakat Islam. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar, kemudiannya mengakui wujud kesilapan dalam warta berkenaan. Kita berharap pegawai KDN perlu lebih berhati-hati pada masa depan berhubung isu sensitif yang boleh menjejaskan keselamatan dan keharmonian masyarakat pelbagai agama di negara ini.

Isu ini timbul apabila akhbar sebelum ini melaporkan Perintah Keselamatan Dalam Negeri (Larangan Dalam Penggunaan Perkataan Tertentu dalam Dokumen dan Penerbitan) 2009 bahawa penggunaan perkataan 'Allah' dalam penerbitan agama Kristian bukan lagi satu larangan. Warta kerajaan yang diwartakan pada 16 Februari lalu berbunyi: 'Percetakan, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengedaran dan pemilikan sebarang dokumen dan penerbitan berkaitan agama Kristian yang mengandungi perkataan ''Allah', 'Kaabah', 'Baitullah' dan 'Solat' adalah dilarang melainkan di muka hadapan dokumen dan penerbitan itu ditulis dengan perkataan "Khusus Untuk Penganut Agama Kristian". Berikutan itu, keputusan kerajaan melarang penggunaan perkataan 'Allah' di dalam penerbitan majalah Herald tetap berkuat kuasa sehingga mahkamah memutuskan sebaliknya.

Kita berharap semua pihak akur dengan langkah KDN dan tidak menjadikannya sebagai polemik yang boleh mengeruhkan lagi keadaan. Dari awal lagi, isu ini dapat dielakkan jika pihak terbabit sedar sensitiviti masyarakat Islam di negara ini. Masyarakat Islam selama ini tidak pernah mencampuri hal agama lain. Sudahlah negara berdepan dengan kemelut ekonomi yang tidak berkesudahan dan gelagat politik yang memualkan, kini isu agama pula mengambil tempat. Kita berharap semua isu yang memanaskan suasana sejak setahun lalu diredakan segera, supaya rakyat dapat kembali menjalani hidup normal. Isu sensitif boleh diredakan segera jika semua pihak sedar padahnya, apalagi ketika kita menghadapi kemelut ekonomi global. Kejayaan negara menangani krisis ekonomi Asia 1997 sebahagiannya berpunca daripada sikap rakyat dan kerajaan mengenepikan perbalahan dan perbezaan. Semua pihak perlu bersatu dan menggembleng tenaga bagi menangani masalah ini.