Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

02 Mac 2009

Hak privasi dicerobohi


PERKEMBANGAN pantas teknologi maklumat hari ini mewujudkan satu aliran yang diterima masyarakat dunia sebagai budaya hidup mobiliti. Budaya hidup bergerak ini tercipta apabila tiada lagi sempadan dalam ruang komunikasi.

Paling pantas berkembang adalah telefon bimbit apabila boleh dikatakan setiap hari ada saja model terbaru diperkenalkan dipasaran.

Fungsinya juga semakin pelbagai. Daripada hanya untuk berkomunikasi dan menghantar sistem khidmat pesanan ringkas (SMS), keupayaan telefon bimbit hari ini sudah mampu menandingi komputer.

Persidangan video, melayari Internet dan memandu arah perjalanan menggunakan telefon bimbit bukan lagi sesuatu yang luar biasa. Telefon bimbit juga sedikit demi sedikit semakin menggantikan fungsi kamera.

Tidak moden sekiranya terdapat antara kita yang menggenggam telefon bimbit tanpa fungsi kamera. Apatah lagi resolusi kamera telefon bimbit hari ini juga sudah ada yang sebesar 12 megapiksel.

Bagi yang tidak begitu arif dengan teknologi pengimejan, resolusi kamera telefon bimbit itu adalah setanding dengan resolusi kamera biasa yang digunakan oleh jurugambar profesional.

Begitu juga dengan kualiti video yang meskipun tidaklah setanding kamkorder, namun sangat jelas audio dan videonya.

Revolusi teknologi yang tidak terhenti itu sebenarnya memberikan kelebihan apabila mempermudahkan urusan manusia dalam banyak perkara.

Tetapi tanpa kita sedari, kecanggihan teknologi turut menjadikan sempadan peribadi kita semakin nipis.

Pencerobohan ruang peribadi itu semakin ketara melihat kepada pelbagai insiden membabitkan penyebaran gambar dan video lucah menerusi telefon bimbit ketika ini.

Sama ada rakaman itu adalah dengan niat atau dilakukan oleh pengendap, implikasi buruk terhadap masyarakat sangat jelas.

Ia menggalakkan budaya tidak sihat apabila urusan peribadi seseorang bukan lagi satu rahsia dan menjadi bahan jajaan. Masyarakat pula seolah-olah hilang rasa malu dan hormat kepada individu yang menjadi mangsa.

Bayangkan betapa rasa terhinanya mereka apabila saat-saat peribadi peribadi yang seharusnya sulit menjadi tatapan umum?

Sepatutnya soal keburukan orang lain tidak disingkap atau sengaja didedahkan. Malah, dalam mana-mana agama sekali pun, menjaga maruah dan keburukan orang lain adalah sesuatu yang sangat dituntut.

Namun budaya masyarakat kita hari ini seolah-olah terbalik apabila kita sibuk membuka aib orang lain. Benar yang menjadi mangsa dalam beberapa kes penyebaran gambar dan video lucah sebelum ini adalah golongan yang menjadi perhatian.

Tetapi itu tidak bermakna masyarakat berhak berkongsi segala-galanya mengenai mereka hatta sehingga ke kamar tidur dan mandi. Bagaimana perasaan seandainya kita yang berada dalam situasi yang menjadi mangsa?

Paling membimbangkan adalah kesannya kepada remaja. Golongan ini merupakan peringkat pengguna teknologi canggih yang paling besar.

Tentunya kita tidak mahu golongan remaja terutamanya pelajar-pelajar sekolah terdidik dan membesar dengan budaya penyebaran gambar dan video lucah seperti ini.

Perkara inilah yang seharusnya diberikan perhatian oleh ibu bapa. Tidak salah menggalakkan anak-anak untuk memiliki gajet canggih termasuk telefon bimbit berkamera.

Tetapi adakah ibu bapa menyedari apa aktiviti yang dilakukan oleh anak-anak menerusi telefon bimbit mereka. Berapa ramai di kalangan ibu bapa yang menyedari adanya aplikasi yang membolehkan pengguna telefon bimbit melanggan video klip atau gambar lucah? Aplikasi ini semakin tersebar luas menerusi SMS, malah ada yang turut diiklankan di majalah dan akhbar tanpa ramai yang ambil peduli.

Hakikatnya pengetahuan dan kemahiran anak-anak remaja bereksplorasi dengan teknologi canggih tidak terjangkau oleh pengetahuan ibu bapa.

Di tangan mereka, kegunaan telefon bimbit tidak hanya untuk berSMS dan menelefon seperti yang biasa digunakan oleh kebanyakan ibu bapa. Sebaliknya, mereka menggunakannya untuk tujuan yang pelbagai.

Justeru seperti yang dijelaskan oleh perunding psikologi, Khairol Anuar Masuan, ibu bapa perlu mengambil tahu aktiviti yang dilakukan oleh anak-anak dengan gajet canggih mereka.

Anasir-anasir bahaya dan merosakkan akhlak tidak hanya tersebar menerusi Internet semata-mata. Sebaliknya ia juga boleh termuat dalam gajet sekecil telefon bimbit yang kebanyakan masa berada dalam genggaman anak-anak remaja kita.

"Justeru, ibu bapa sendiri perlu mempunyai pengetahuan tentang teknologi yang diberikan kepada anak-anak mereka. Perlu juga ada batasan dan had terhadap penggunaannya supaya anak-anak kita tidak begitu terleka dengan kecanggihan teknologi," katanya.

Justeru, untuk mengekang perkembangan teknologi canggih semata-mata melindungi ruang peribadi bukan sahaja tidak bijak, malah merupakan langkah berundur ke belakang.

Ukuran bangsa bertamadun hari ini dinilai daripada sejauh mana kemampuan masyarakatnya menyerap dan beradaptasi dengan kemajuan sains dan teknologi.

Dari situ, kita berada pada landasan yang betul apabila tidak terlalu jauh ketinggalan dengan negara-negara maju lain.

Perkara privasi selayaknya diimbangi dengan aspek kepatuhan kepada agama dan pertimbangan moral.

Selagi kita berpegang teguh kepada ajaran agama yang secara jelas menggariskan antara perkara terpuji dan keji, telefon berkamera sekali pun tidak mampu menerobos ruang privasi.

Malangnya kepatuhan kepada agama dan pegangan moral masyarakat kita hari ini tidak lagi menjadi keutamaan sebagai panduan kehidupan. Di mana pertimbangan moral apabila aksi yang seharusnya menjadi rahsia paling besar di bilik tidur sengaja dirakam?

Mungkin ramai yang tidak menyangka aksi yang kononnya untuk tujuan simpanan dan kenangan peribadi itu masih mampu dijejaki sekali pun sudah dipadamkan dari telefon bimbit atau kamkorder.

Dalam dunia serba canggih hari ini, segala-galanya adalah berkemungkinan.

Ditambah dengan dunia maya tanpa sempadan, aksi yang dirakam baru beberapa saat sudah dapat ditonton hampir di setiap pelosok dunia.

Hakikat itu sepatutnya meletakkan kesedaran pengguna untuk lebih berhati-hati dalam menggunakan teknologi.