Maju Melayu Perkasa!

11 Mac 2009

Psikologi melalui makanan


Rekaan makanan mampu membawakan dimensi ketiga di atas meja.


MAKANAN yang baik adalah satu sumber keseronokan yang tiada penghujung.


MEMBIARKAN anak-anak bermain dengan makanan mungkin satu perkara yang tidak dibenarkan oleh kebanyakan ibu bapa.

Tetapi kini pereka sofa, lampu dan pinggan mangkuk meja turut bermain dengan barang tersebut yang membuatkan kita terus hidup dan seronok.

Seperti psikologi kontemporari yang percaya bermain dengan makanan boleh membantu individu yang fobia atau cerewet memilih makanan, rekaan makanan mampu membawakan dimensi ketiga di atas meja.

"Dapur merupakan padang permainan yang amat luar biasa," kata Marc Bretillot, salah seorang daripada pereka makanan baru di Perancis.

"Bermain dengan makanan ialah satu keperluan untuk keseimbangan kami. Mengupas kulit kentang adalah satu perbuatan kembali ke alam semula jadi. Melalui pemakanan, ia menghidupkan kesemua lima deria rasa dalam satu-satu masa."

Namun, disebabkan pada asasnya makan melibatkan soal hidup dan mati, makanan direka ada batasannya.

"Bayangkan menelan lumut hijau yang melitupi sandwic. Sebelum meletakkan sesuatu di dalam mulut, lampu secara tidak sedar harus menukarnya kepada hijau.

"Orang selalunya lebih rela mati daripada merasai perkara baru. Hari ini kita mempunyai sains untuk menentukan sama ada makanan itu beracun atau tidak," jelas Bretillot lagi.

Melepasi had terhadap sebanyak mana kreativiti yang boleh kita telan ialah nama permainan Bretillot seperti coklat kapsul, telur hijau yang diisi dengan dadih mangga dan santan kelapa atau coklat yang dibubuh di dalam picagari yang dinikmati sewaktu makan tengah hari bulan ini.

"Semuanya mengenai eksplorasi dunia kulinari, memecahkan kod tetapi ia juga mesti mempunyai rasa yang hebat," katanya.

Makanan yang baik sememangnya satu sumber keseronokan yang tiada penghujung. Justeru, seorang pereka di Paris mengambil langkah tambahan dengan menerokai kaitan antara gastronomi dan seks.

Bekerja dengan firma terkenal seperti pengeluar kristal Baccarat atau pengeluar perak Christofle, begitu juga kepakarannya sebagai chef berkarisma, pereka Philippe Di Meo telah melancarkan variasi makanan istimewa sempena Hari Valentine di pameran rumah terbesar, Maison & Object akhir bulan lalu.

Antara rekaan istimewa Di Meo ialah coklat putih stiletto dalam bentuk kasut tumit tinggi marzipan yang menyamai saiz sepasang kasut sebenar, kotak gincu perak yang mengandungi strawberi merah Lolita bersalut coklat dan boleh didapati di kedai runcit mewah, Fauchon atau champagne Dom Ruinart yang dihiasi gabus kristal untuk menyegarkan badan dengan sentuhan buih di beberapa lokasi sensitif pada tubuh.

"Makanan dan seks memang tidak boleh dipisahkan sejak zaman prasejarah. Malah, kita boleh merasa erotik apabila menyaksikan seseorang menikmati hidangan yang tersedia di dalam pinggan," katanya.


DAPUR pada pandangan pereka makanan Perancis, Marc Bretillot merupakan padang permainan yang amat luar biasa.


Ketika ramai pereka makanan dengan jelas meneruskan survival dalam bidang ini, Edouard Malbois telah puas meneroka dunia dalam menghasilkan dan mencipta makanan daripada pinggan eksotik yang kerapkali mendominasi rak-rak pasar raya Barat sejak empat tahun lalu.

Daripada roti rumpai laut 'berbicara' yang dihiasi dengan hiasan guru Heston Blumenthal (sebuah Restoran Fat Duck di Britain) yang menghasilkan bunyi seperti pasir dan camar apabila dikunyah, kepada inspirasi India yang lembut di mana ia menggabungkan mangga, lobak dan halia untuk menghasilkan Cargill gergasi, Malbois memberitahu, rekaan mampu memberi nilai tambahan kepada pinggan.

"Kami memberi keutamaan kepada warna, kehendak, emosi, cara baru menghiris dan memotong makanan serta cara baru untuk makan sesuai dengan gaya hidup zaman sekarang.

"Tidak ada sempadan antara seni reka dalaman, perabot, rekaan dan makanan," kata Malbois, pemilik syarikat Enivrance yang telah menjual 23 jilid pangkalan data makanan jalanan seluruh dunia kepada sedozen syarikat makanan terkenal.

Terpukau dengan gaya makan dan minum rakyat Amerika dan Britain yang sentiasa berubah, Malbois misalnya telah menukarkan sandwic kepada kepingan-kepingan kecil yang dijual dalam bentuk tiub untuk rangkaian makanan sihat Britain (BGF).

Prototaip terbaru yang dihasilkan ialah burger yang diilhamkan melalui gaya Mexico berwarna hijau mengandungi sekeping keju yang diletakkan bersama daun buah pir muda yang senang dikunyah.

"Apa yang pasti, ketamakan untuk mencipta hiasan dalam setiap hidangan tidak mempunyai sempadan," ungkapnya mengakhiri bicara. - AFP