Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

11 Mac 2009

Srikandi Hospis tempat luah perasaan


Oleh Nurul Adlina Kamaludin


Jururawat di Hospis Malaysia diberikan latihan yang secukupnya.

"BIARLAH saya mati. Tiada gunanya hidup kalau hanya menyusahkan anak-anak. Apa gunanya hidup kalau jadi beban pada semua."

Sepantas kilat, luahan rasa warga emas, Lim Gok Kee, 67, yang juga penghidap barah rektum disambut usapan lembut Faezah Ali, 31, yang membelai rambut Lim sambil mengucapkan kata-kata semangat.

"Kenapa macam ini, auntie. Kita semua mesti hidup gembira. Apa yang penting auntie ada anak, cucu dan menantu yang sayangkan auntie. Saya pun sayangkan auntie yang 'leng' (cantik dalam bahasa Kantonis)," kata Faezah sambil mencubit manja pipi cengkung Lim yang terus tertawa.


Wartawan Berita Minggu dan jurugambar yang turut berada di dalam bilik tidur sebuah rumah di pinggir Kuala Lumpur, ketika mengunjungi Lim, baru-baru ini, turut tersentuh dengan dialog dan aksi bersahaja dua insan ini.

Dua wanita yang hakikatnya berbeza agama, bangsa, latar belakang serta usia tetapi masih mampu berkongsi sedih, tawa, derita dan air mata hasil pertalian unik sebagai pesakit dan jururawat sebuah badan kebajikan, Hospis Malaysia yang memberi tumpuan kepada bidang paliatif atau penjagaan pesakit kronik.

Berbanding jururawat di hospital yang lengkap mengenakan pakaian seragam, jururawat Hospis ini sebaliknya tidak mengenakan sebarang seragam. Mereka menemui pesakit di rumah bagi tujuan pemeriksaan asas seperti tekanan darah, degupan jantung, pengurusan ubat serta paling penting memberi sokongan moral kepada pesakit serta keluarga.

Noridayu memeriksa tekanan darah pesakit di bawah jagaannya.

Ringkasnya, mereka perlu menjadi insan serba boleh - srikandi yang terpaksa menjadi jururawat, doktor, pakar, kaunselor, ahli farmasi dan penyayang pada satu masa serentak.

Lim, anak jati Batu Kikir, Negeri Sembilan, ini mengenali Faezah yang berasal dari Labuan, Sabah, selepas dirinya dirujuk kepada pihak Hospis pada 2007. Penyakit barah serta kencing manis yang dihidapinya itu menyebabkan Lim terpaksa melakukan beberapa pembedahan termasuk melencongkan laluan najisnya ke dalam beg plastik menerusi tebukan di kiri perutnya.

Jika dulu beliau mampu berjalan pantas, tetapi kini Lim, ibu lima anak yang pernah bekerja menjaga wanita bersalin dan tukang jahit ini di kampung asalnya, terpaksa dibantu untuk berjalan. Kebanyakan masa yang ada, dihabiskan dengan berbaring di dalam bilik tidur.

Luahan hatinya termasuk rimas dengan beg plastik yang tergantung di perut, sukar makan dan tidur hinggalah ke juadah yang mahu dimasak untuk Faezah, dikongsi bersama jururawat terlatih itu apabila bertemu dua atau tiga kali seminggu.

Bagi Faezah, Lim bukan sekadar pesakit tetapi seperti saudaranya sendiri.

"Sebagai jururawat Hospis, kami diajar untuk melayan pesakit lebih daripada sekadar menguruskan soal pemeriksaan. Kami diajar untuk menjalin hubungan rapat dengan pesakit dan menyelami perasaan mereka yang mungkin diselubungi kerisauan kerana penyakit dialami.

"Mungkin kerana itu, kami memang rapat dengan pesakit. Kami mahu pesakit meluahkan apa juga perasaan mereka kerana sokongan moral seperti inilah yang amat mereka perlukan," kata ibu dua anak yang bertugas dengan Hospis Malaysia, lebih empat tahun lalu.

Seperti sembilan rakannya lain yang bertugas mengikut kawasan tertentu sekitar Lembah Klang, Faezah diberi tanggungjawab menguruskan pesakit di sekitar kawasan Shah Alam dan Petaling Jaya.

Hubungan akrab itu turut dikongsi bersama penghidap barah payu dara, Siti Hajar Mohd Hassan, 46, dengan seorang lagi jururawat, Noridayu Mohd Rashid, 29.

"Saya amat bertuah kerana dirujuk kepada pihak Hospis, tahun lalu. Sudah banyak bantuan mereka kepada saya seperti layanan mesra, mendidik soal pengurusan ubat selain katil untuk kemudahan diri ini.

"Paling terharu, kehadiran jururawat ini membantu saya mengatasi masalah kudis di belakang badan kerana baring terlalu lama. Masalah itu mungkin kecil bagi kebanyakan orang, tetapi ia satu penderitaan bagi saya," katanya yang disahkan menghidap barah itu pada Julai 2007 dan terpaksa menjalani rawatan kemoterapi sebanyak lapan kali.

Beliau yang terpaksa melepaskan jawatan tinggi di sebuah syarikat, reda dengan ketentuan dihadapinya itu.

"Saya terkilan kerana pada usia ini saya yang sepatutnya membantu menjaga ibu, bukan sebaliknya. Mujurlah saya menerima sokongan moral daripada keluarga dan orang luar seperti jururawat Hospis," kata Siti Hajar yang menangis sambil dipeluk ibunya, Zabedah Ismail, 65 tahun.

Wanita tabah ini turut akur dengan keadaan dirinya dan yakin setiap yang berlaku ada hikmahnya. Paling tidak pun, ia memberi peluang untuk mendekatkan diri dengan anak-anak kesayangan.

"Suka atau tidak, saya perlu menerima hakikat penyakit barah tiada penawarnya ketika ini. Kita boleh menghantar manusia ke angkasa lepas, tetapi ada perkara lain yang sukar diatasi, termasuk soal barah dan penyakit kronik lain. Saya cuma mampu reda dengan ketentuan Ilahi," katanya

Bagi Noridayu, ketabahan pesakit seperti Siti Hajar, menjadi antara alasan beliau meneruskan tugasnya itu selain mendapat sokongan daripada suami tercinta, Marzuki Nanyan, yang cacat penglihatan.

"Air mata sudah menjadi sebahagian tugas kami. Hampir setiap hari kami menangis, tetapi ia lahir daripada hati ikhlas selepas menyelami penderitaan pesakit. Kecekalan hati pesakit itu memberi kepuasan tersendiri kepada kami," katanya.