Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

02 Mac 2009

Sebuah kisah bahasa Melayu


"Kenapa mutu bahasa Melayu di sini agak lemah? Susah bagi saya untuk bercakap bahasa Melayu sebab banyak orang cakap bahasa Melayu campur Inggeris. Siaran TV3 yang saya terima di Seoul pun susah saya hendak faham sebab tidak ada dalam bahasa Melayu yang saya belajar di Universiti Malaya dulu." Demikian rungut seorang teman, Profesor Koh dari Korea Selatan lebih kurang dua tahun lalu ketika kami bertemu di Kuala Lumpur.

Saya mula mengenali Koh semasa beliau menyiapkan pengajian peringkat Ph.D di Universiti Malaya tahun 1986 dulu. Ketika berjumpa sejak dulu lagi Koh akan bercakap dalam bahasa Melayu yang sangat baik, jauh lebih baik daripada saya sendiri. Beliau selalu menegur saya apabila tersasul menggunakan bahasa Inggeris padahal ada maksud dalam bahasa Melayu. Koh kini adalah profesor di Jabatan Pengajian Bahasa Indonesia, Universiti Hankuk di Seoul.

Pertanyaan beliau yang sangat jujur itu sebenarnya membuatkan saya terperangkap. Seorang yang bukan rakyat negara ini begitu mengambil berat tentang bahasa kebangsaan negara kita. Disebabkan beliau belajar bahasa Melayu maka beliau menjangka boleh mudah berhubung dalam bahasa Melayu dengan orang di negara ini. Tetapi yang berlaku kepada beliau adalah sebaliknya.

Katanya di universiti tempat beliau bertugas, mereka mendapat siaran TV3 menerusi satelit. Tujuannya untuk membantu pelajar-pelajar beliau menguasai bahasa Melayu menerusi sebuah stesen televisyen dari Malaysia. Beliau begitu berminat untuk mengetahui apakah yang membuatkan penggunaan bahasa Melayu lemah di negara ini sedangkan beliau boleh membentangkan kertas kerja dalam bahasa Melayu yang baru dipelajari dengan baik?

Saya percaya Koh tidak memahami cara orang kita membangunkan negara. Saya dengan berat hati memberitahu beliau bahawa Malaysia mahu menjadi negara maju pada tahun 2020 dan bahasa Melayu tidak boleh menjadi pemangkin kemajuan yang diharapkan. Tetapi saya tegaskan juga bahawa ini bukanlah kenyataan saya tetapi kenyataan demi kenyataan yang saya kutip daripada sekian banyak pemimpin. Kenyataan siapa kita hendak dengar kalau bukan pemimpin?

Koh datang dari sebuah negara yang jauh lebih maju daripada negara ini dalam bidang teknologi dan industri. Sejak kecil mereka ditekankan bahawa bahasa kebangsaan yakni bahasa Korea adalah pemangkin dalam bidang teknologi.

Di Korea Selatan, bahasa Korea digunakan dalam semua sektor; pendidikan, industri, teknologi malah perundangan. Korea Selatan juga mempergiatkan usaha menterjemah buku-buku asing dalam semua bidang dalam bahasa Korea dan hasilnya bahasa Korea boleh menjadi bahasa ilmu dalam semua bidang.

Barangkali orang Korea agak kolot berbanding kita kerana tidak mengiktiraf bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu. Tetapi Koh dan generasi sebelum dan selepasnya telah membuktikan Korea Selatan memacu kejayaan dalam bidang teknologi. Malah mereka patriotik, lihatlah nama kereta keluaran Korea Selatan semuanya diangkat daripada istilah Korea.

Kepada Koh saya memanjangkan kenyataan demi kenyataan pemimpin-pemimpin kita bahawa bahasa Melayu akan memundurkan negara ini. Siapa lagi saya hendak percaya dan yakin kalau bukan pemimpin kita sendiri? Moga-moga dengan memartabatkan bahasa Inggeris kita boleh menjadi negara maju mengatasi Korea Selatan atau Jepun. Apa salahnya kita korbankan bahasa ibunda? Kalau salah tentulah sejak dulu lagi semua peringkat mempertahankan bahasa Melayu.