Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

02 Mac 2009

Cintai bahasa melalui buku


Tak kenal maka tak cinta. Demikian ungkapan yang sering kita dengar. Begitu juga dengan hal berkaitan bahasa Melayu yang jelas diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi Malaysia seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

Sayangnya, ramai rakyat negara ini sendiri tidak lagi cintakan bahasanya meskipun dalam masa yang sama bangsa asing begitu tekun menelaah keindahan bahasa kita di universiti seluruh dunia.

Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Timbalan Perdana Menteri (PABM) 2009 yang berlangsung dari 1 Mac sehingga 6 Mac ini adalah bukti betapa tingginya martabat bahasa Melayu milik semua rakyat Malaysia.

Lantaran kenal akan keindahan bahasa Melayu, penuntut dari seluruh dunia seperti dari Amerika Syarikat, Rusia, Australia, China, Korea, Sepanyol, Itali, Jerman, Maldova, Republik Chez, Bosnia Herzegovina, Palestin dan Belarus mampu menguasai bahasa kita seterusnya mengungkapkannya dalam patah bicara pidato pula.

Keadaan yang dipanggil pengantarabangsaan bahasa Melayu ini tentunya tidak akan berlaku jika mereka tidak cintakan bahasa Melayu.

Berbalik kepada diri setiap warga Malaysia, adakah kita sudah tidak kenal lagi akan kepentingan dan kehebatan bahasa Melayu hingga tiada bibit cinta dan kasih akan bahasa sendiri?

Tidakkah kita malu pada orang asing yang jauh lebih kenal dan cintakan keindahan bahasa kita sedangkan hakikatnya kedudukan bahasa Melayu di tanah air leluhurnya sendiri ibarat melukut di tepi gantang?

Menyedari hakikat itu, ada baiknya usaha 'berkenal-kenalan' dengan bahasa Melayu dimulakan hari ini. Apabila sudah kenal maka terbitlah rasa sayang.

Bagi tujuan itu, buku berkenaan sejarah, perancangan, kepentingan, perkembangan, kehebatan, kejayaan, masalah, cabaran atau masa depan bahasa Melayu adalah alat penting untuk tujuan mendekatkan semula masyarakat dengan bahasa kita.

Bagi menjayakan hasrat memasyarakatkan bahasa ini, ada pelbagai judul buku yang bukan sahaja perlu dibaca malah mesti difahami seterusnya diterjemahkan dalam tindakan atau keputusan kita selepas ini.

Jika ditinjau daripada laman sesawang Dawama yang merupakan pencetak dan pengedar buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sahaja terdapat kira- kira 230 buah buku dalam kategori buku Bahasa untuk pelbagai lapisan masyarakat bermula daripada terbitan tahun 2000.

Jawablah secara jujur, adakah salah satu daripada ratusan buku berkenaan bahasa Melayu itu sudah pernah dibaca dan menjadi santapan akal budi anda?

Prof. Dr. Awang Sariyan misalnya dalam Warna dan Suasana : Perancangan Bahasa Melayu di Malaysia (2006) telah menggariskan tentang kejayaan perancangan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, komunikasi, perpaduan dan kemajuan yang giat bermula sejak dekad 1970-an.

Tidakkah kita ingin melihat perancangan bahasa Melayu terus berkembang ke tahap 'cemerlang' dalam era globalisasi sebaris dengan bahasa asing lain di dunia ini?

Di mana pula semangat 'Malaysia Boleh' dalam kita mempertahankan bahasa kebangsaan hingga begitu mudah tunduk pada tekanan bahasa asing?

Selain DBP yang umum maklum memang giat menerbitkan banyak buku tentang bahasa Melayu, Persatuan Linguistik Malaysia (PLM) juga banyak menerbitkan buku berkaitan perjuangan bahasa Melayu.

Antaranya seperti Bahasa Melayu Apa Sudah Jadi (2007), Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu I-VI :1952-2002 (2007), Suara Pejuang Bahasa (2005), Keranda 152: Bahasa Kita Air Mata dan Maruah Kita (2002) dan Manifesto Budaya, Pupus Bahasa Pupuslah Bangsa (1996).

Banyaknya penerbitan buku tentang bahasa Melayu daripada pelbagai perspektif wacana adalah bukti bahawa golongan sarjana telah menjalankan tanggungjawab mereka mengetengahkan kepada kita akan pentingnya bahasa Melayu diangkasakan.

Namun, terpulang kepada kita termasuk pembuat dasar untuk benar-benar memanfaatkan penerbitan buku sedemikian. Proses 'suai kenal' bahasa Melayu memerlukan kita membelek, membaca, memahami dan menghayati isi penting yang mahu disampaikan dalam buku-buku berkenaan.

Apa pun, rasa cinta akan "bahasa jiwa bangsa" ini hanya akan mengakar umbi dalam benak dan akal budi setelah kita benar-benar kenal akan keindahan dan kepentingan bahasa Melayu disebarluaskan penggunaannya bukan disempitkan atas alasan kemajuan dan proses pensejagatan.