Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

22 Mei 2009

Cadangan Untuk Negaraku


Oleh Rashiqah Ilmi Abd Rahim

Karya kolaj foto masa depan Malaysia beri kesan luar biasa

EMPAT kolaj foto Liew Kung Yu yang mengadunkan pembangunan fizikal Malaysia yang merangkumi infrastruktur, bangunan, rumah ibadat dan destinasi pelancongan pasti menimbulkan kekaguman pengunjung.

Ketajaman mata fikirnya dalam menterjemahkan makna pembangunan sebagai rakyat yang sayangkan negaranya membantunya menghasilkan fotografi Cadangan-cadangan Untuk Negaraku dengan kesan luar biasa.


Pengunjung Pameran Fotografi Kontemporari Liew Kung Yi di Galeri Petronas, Suria KLCC, Kuala Lumpur, dapat menyaksikan kehebatan seniman ini melalui teknik kolaj foto yang pasti memegunkan pengunjung akan kemungkinan keupayaan Malaysia untuk berubah.

Sebagai seniman yang diiktiraf berjaya merentas sempadan seni fotografi kontemporari Malaysia, Liew mendapat ilham menghasilkan karya berkenaan berdasarkan pengalaman merakam lokasi menarik ketika mengembara sekitar Malaysia.

Bandar Sri Tiang Kolom yang menggabungkan beberapa bangunan di Malaysia dengan nilai estetika reka bentuk diusaha agar dapat mengangkat hubungan antara komuniti bandar dan ruang dalam masyarakat.

“Pemandangan rumit dan kompleks ini meraikan pencapaian kebangsaan dan monumen. Pada masa sama menyampaikan pandangan saya terhadap negara kita pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui di Galeri Petronas baru-baru ini.

Beliau yang pernah menyertai beberapa pameran di Malaysia dan antarabangsa, menuju karya berkenaan kepada individu yang berjasa mencipta pemandangan menarik kepada masyarakat selain menyampaikan wawasan seniman mengenai persekitaran negara pada masa depan.

Metropolis Warisan pula adalah percubaan seniman ini mengangkat Malaysia sebagai negara yang pesat membangun dan menjadi kebanggaan penduduk selain segala-galanya pencapaiannya itu dapat dikongsi dengan pelancong asing.

“Saya ‘menghadiahkan’ semua karya ini kepada individu berwawasan yang mencipta pemandangan menarik untuk masyarakat selain menyampaikan wawasan seniman mengenai persekitaran negara pada masa akan datang,” jelasnya.

Liew menggunakan cetakan digital atas kertas Kodak Endura bagi menghasilkan karyanya, dihimpun dalam bentuk empat kolaj foto berskala besar yang merakam perjalanannya dari pokok Periuk Kera gergasi di Dataran Merdeka hingga ke air pancut Bunga Raya di Melaka.

Eksekutif Pemasaran dan Komunikasi, Galeri Petronas, Juhan Kamaruddin, mengkategorikan sesetengah karya Liew, mampu memberi kejutan kerana pengkaryanya kreatif dan naluri

fotografinya memukau kesan daripada semangat ingin mencuba sesuatu yang baru.

“Beliau sentiasa mencari erti baru dalam ekspresi dan makna, tidak jemu menyelidik dan menemui pelbagai kemungkinan dalam karya dengan menyelitkan idea baru yang lebih kreatif bagi menggambarkan pembangunan negara pada masa depan,” katanya.

INFO: Pameran Fotografi Kontemporari Liew Kung Yi

  • Lokasi: Galeri Petronas, Aras 3, Suria KLCC.
  • Tarikh: Sehingga 14 Jun ini
  • Jumlah karya: 4 karya
  • Telefon: 03-20517770