Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

21 Mei 2009

Undang-undang hak cipta


Oleh Rashiqah Ilmi Abd Rahim

Pengkarya genre sastera, muzik, seni, filem, rakaman bunyi dan siaran jadi mangsa

KELEMAHAN undang-undang hak cipta untuk karya sastera, muzik, seni, filem, rakaman bunyi dan siaran didakwa mengakibatkan kerugian moral kepada pemilik karya kerana memberi ruang kepada orang lain menjiplak naskhah asli hingga menjejaskan wibawa pemilik asal.

Persoalan yang sudah lama menghantui kelompok genre berkenaan diberi perhatian pada Seminar Hak Cipta anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), bersempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, baru-baru ini.


Pensyarah Fakulti Undang-undang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Zinatul Ashikin Zainol, berkata kes jiplak yang membelenggu seniman tempatan terutama karya sastera seperti novel dan puisi akan terus wujud sekiranya tiada tindakan tegas diambil untuk menghukum penjiplak.

"Kerugian yang ditanggung pemilik karya bagi membayar yuran guaman menyebabkan tidak ramai karyawan berani tampil mengheret penjiplak ke mahkamah, walaupun hakikatnya kredibiliti mereka sebagai penulis tercalar," katanya ketika membicarakan soal itu pada program berkenaan.

Beliau turut mengulas isu hak cipta di alam siber yang turut dilihat sebagai ancaman kerana kebanyakan forum dan blog menawarkan kandungan karya yang menampilkan salinan serupa dengan sesetengahnya melakukan pengolahan semula sehingga karya menjadi lebih baik.

“Bahan yang dimasukkan dalam laman internet boleh dianggap sebagai penerbitan di bawah akta hak cipta, walaupun mungkin kurang dimuat turun oleh orang lain. Ramai yang tidak tahu bahawa menjiplak karya asal atau menyediakan pautan ke satu laman web lain adalah satu kesalahan,” jelasnya.

Bagaimanapun, kes New Straits Times Sdn Bhd menyaman Ahirudin Atan yang menyediakan pautan dalam laman webnya ke dalam laman web lain yang ditolak hakim, Mohd Hishamuddin, dilihatnya tidak wajar dijadikan alasan pihak mana sekalipun untuk mengambil kesempatan terhadap hak cipta alam siber.

Pensyarah Kuliyah Undang-undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Ida Madieha Abdul Ghani Azmi, berkata masyarakat memandang ringan masalah jiplak kerana tiada tindakan yang diambil terhadap pesalah meskipun ada yang melakukannya.

“Jiplak adalah perbuatan mengambil idea, tulisan, data atau rekaan orang lain dan mendakwa ia sebagai rekaan sendiri. Masalah ini paling kerap berlaku pada peringkat universiti. Jiplak terus berlaku apabila sejak awal lagi pelajar sudah dibiasakan dengan budaya ini,” jelasnya.

Beliau turut mendakwa kebanyakan kes yang dirujuk ke mahkamah membabitkan syarikat besar dan orang kenamaan kerana kemampuan dari segi kewangan, memandangkan ia memerlukan kesediaan mengeluarkan belanja besar dan kemenangan belum tentu berpihak kepada mereka.

“Antara kes hak cipta yang pernah dirujuk ke mahkamah ialah Stemlife Berhad menyaman Bristol Myers Squibb (M) Sdn Bhd dan kedua-duanya adalah gergasi. Mahkamah membenarkan permohonan plaintif mendapatkan ‘pre action discovery’ daripada defendan atas kandungan berbentuk fitnah di laman web serta melalui pautan ke laman luar,” katanya.

Baginya, keadaan terbabit tidak adil kepada pengkarya, malahan menyebabkan masyarakat mendapatkan karya jiplak secara mudah, sekali gus mengakibatkan industri berkenaan semakin terbantut selain menimbulkan ketakutan terhadap bakat baru yang ingin menceburi bidang itu.