Oleh Nazmi Yaakub
Kaedah pengiraannya kompleks dan mistik kerana pengaruh aliran sufi
KEHEBATAN Melayu dalam mencipta sistem kalendar sendiri pada abad ke-16 yang membabitkan kaedah pengiraan yang kompleks mendapat perhatian pada Siri Wacana Atma: Pusaka yang Hilang: Sistem Kalendar Melayu yang Kini Hanya Tinggal Sejarahnya.
Kaedah pengiraan yang kompleks dan bersifat mistik itu didakwa kerana pengaruh aliran sufi di Alam Melayu dan diwarisi penulis dan jurutulis di Alam Melayu ketika mereka menghasilkan kitab agama, hikayat dan warkah.
Sarjana Tamu, Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma), Prof Dr Ahmat Adam, berkata takwim Melayu menggunakan abjad hawiz, iaitu tujuh huruf jawi untuk dirangkaikan kepada tahun Hijrah, iaitu alif, ha, jim, zai, ba dan wau, manakala huruf dal digunakan sebanyak dua kali.
“Setiap huruf jawi itu mempunyai nilai tersendiri. Alif bernilai satu; ha (lima); jim (tiga); zai (tujuh); dal pertama (empat); ba (dua); wau (enam) dan dal kedua (empat). Pemilihan huruf itu berdasarkan ajaran sufi dan ada unsur mistik seperti yang wujud dalam tamadun di Mesir Kuno dan Aramik serta agama Yahudi,” katanya pada wacana Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, baru-baru ini,
Prof Ahmad memetik kitab Bayan al-Alif wa Huruf al-Hijaiyyah yang menyimpulkan alif melambangkan kemutlakan pada zat Tuhan kerana bentuknya mirip kepada angka satu, selain turut disamakan dengan nabi Adam sebagai manusia pertama ciptaan Allah.
“Kitab itu juga menegaskan tiga gerak solat iaitu gerakan berdiri yang digambarkan seperti alif; rukuk (dal) dan sujud (mim), turut menggabungkan lambang pembentukan nama Adam,” katanya pada wacana yang dipengerusikan Felo Penyelidik Utama, Prof Dr Noriah Mohamed.
Huruf ha dikatakan mengisyaratkan ‘hidup Allah tiada dengan bau, lagi berdiri sendirinya’ dan ‘kaya yang tiada papa, hidup yang tiada mati, mulia yang tiada hina, melihat dengan tiada mata kepala, mendengar dengan tiada telinga, memelihara dengan tiada sukar dan menjadikan dengan tiada susah’, sekali gus mewakili martabat wahdat dan wahidiyyat.
Huruf jim ditafsirkan sebagai lambang kepada sifat jamal yang bermaksud keindahan Allah dengan mengambil kira sifat Maha Pengampun dan Maha Mengetahui terhadap segala hakikat yang wujud, manakala zai bermaksud ‘tiada hina bagi sesiapa yang sudah dianugerahi Allah akan iman, Islam dan hidayah’.
Huruf dal menunjukkan tiada dalil dan tanda yang dapat menyampaikan ilmu makrifat atau pengetahuan intuitif bagi mengetahui zat Allah, manakala ba mewakili martabat Wahdat yang mengandungi aspek kesatuan dalam sifat kewujudan yang dianggap ahli ilmu huruf sebagai istimewa kerana huruf permulaan yang membuka perkataan Bismillah.
Prof Ahmad berkata, kitab Bayan al-Alif wa Huruf al-Hijaiyyah nukilannya itu juga menerangkan huruf wau yang mewakili martabat Wahidiyyat yang melambangkan kewajipan Muslim terhadap tanggungjawabnya kepada Allah.
“Ilmu huruf atau ilmu abjad, iaitu sains huruf dan rahsia di sebaliknya, menganggap huruf Arab itu mempunyai satu daripada empat anasir, iaitu turab yang bermaksud tanah; ma’ (air); hawa (udara) dan nar (api).
“Perlambangan sufi yang ditunjukkan pada huruf Arab dalam pusingan lapan tahun, bukan saja digunakan penulis manuskrip Melayu, bahkan Jawa, Aceh dan pujangga Muslim di dunia Melayu itu, mendorong penciptaan takwim daur atau pusingan lapan tahun di Nusantara,” jelasnya.
Bagaimanapun, penggunaan huruf terbabit untuk takwim Melayu yang mempengaruhi penulisan teks agama, hikayat dan warkah di kalangan penulis serta jurutulis itu didakwa tidak lagi terikat dengan maksud yang difahami kalangan orang sufi.
“Ini kerana tidak semestinya semua penulis dan pujangga terbabit dapat dianggap kaum sufi, sebaliknya mereka hanya menjadi penerus kepada ajaran tradisi sufi terdahulu, iaitu menurut tradisi Islam yang bersifat mistik dan diturunkan sehubungan dengan tradisi penulisan manuskrip termasuk hikayat, teks agama mahupun warkah.
“Justeru, tidak hairanlah kecenderungan memberi tarikh berdasarkan huruf ini semakin hilang menjelang akhir abad ke-19, seolah-olah serentak waktunya dengan menghilangnya pengaruh martabat tujuh atau aliran Wahdatul Wujud,” katanya.