Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

21 Mei 2009

Cabaran sastera remaja


Oleh Nazmi Yaakub


NISAH ketika membicarakan sastera remaja pada wacana yang dipengerusikan Prof Madya Dr Zahir ahmad (dua dari kiri).

Pengarang perlu ambil kira perubahan pemikiran dan gaya hidup

SASTERA remaja memerlukan perubahan drastik kerana kelompok terbabit melalui perubahan drastik sehingga memerlukan pengarang mengikuti perubahan dalam tren pemikiran dan gaya hidup remaja tanpa menggadaikan nilai murni yang masih perlu dipertahankan.

Pengarang, Nisah Haron, berkata pengarang sastera remaja perlu berani berubah untuk menghasilkan karya dengan mengambil kira perkembangan remaja kini, sekali gus keluar daripada kepompong gaya penulisan berdasarkan pengalaman mereka pada zaman terbabit.


“Menulis kisah remaja ketika zaman remaja pengarang, belum tentu dapat menarik minat pembaca remaja hari ini, bahkan sekiranya salah perkiraan, pembaca remaja tidak dapatkan mengaitkan kisah yang ditulis dengan kehidupan mereka kini.

“Pengarang sastera remaja masa kini juga berdepan cabaran meyakinkan remaja dengan bahan yang mereka hasilkan kerana adanya persaingan daripada sumber maklumat lain seperti internet dan televisyen,” katanya kepada Sastera selepas Diskusi Penafsiran Semula: Sastera Remaja di Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Justeru, pengarang wajib memperlengkapkan diri dengan menambah sumber masukan yang menjadi bahan kepada karya, tanpa melupakan tanggungjawab mereka membekalkan bahan bacaan yang akan membentuk jati diri remaja terbabit.



“Wajar diingat, remaja perlu dibekalkan dengan bahan bacaan menarik, manakala nilai murni yang disampaikan perlu berhemah dan tidak ‘berkhutbah'. Sesuatu yang dianggap ‘tinggi’ untuk remaja, perlu disampaikan dalam bentuk yang sesuai dan di sini kebijaksanaan pengarang penting,” ujarnya.

Nisah yakin kesilapan sesetengah pengarang sastera remaja pada kini ialah tidak memberi tumpuan kepada kelompok khalayak sehingga mereka tidak tahu menulis untuk siapa sehingga khalayak sasaran tidak dapat menikmati karya yang ditangani.

“Bagi saya teks perlu mencabar pembaca dan bukannya memperbodohkan kerana mereka mahu ‘dibijaksanakan’.

Dikotomi di antara pembaca karya sastera dengan pop akan sentiasa ada. Bagaimanapun, pengarang sastera khususnya remaja, tidak boleh menafikan hak pembaca yang mendambakan karya bermutu,” tegasnya.

Nisah turut meluahkan rasa tidak puas hati terhadap promosi buku sastera remaja khususnya terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan syarikat penerbitan lain yang dilihatnya kurang memuaskan sehingga ramai remaja tidak mengetahui kewujudan judul bagus untuk pilihan mereka.

“DBP umpamanya, mempromosi novel remaja terbitan mereka dalam majalah terbitan badan terbabit tetapi sayangnya, majalahnya tidak beredar dengan baik sama ada di sekolah ataupun di kedai buku. Ramai remaja, khususnya pelajar sekolah yang mengeluh apabila majalah berkenaan tidak sampai di tempat mereka, sedangkan pesaing ada,” katanya.

Bagaimanapun, Nisah menaruh keyakinan karya sastera remaja berpotensi untuk dikembangkan di negara ini kerana pusat sumber dan perpustakaan di sekolah masih lagi kekurangan bahan bacaan berkualiti, khususnya, novel dalam kategori sastera remaja.

“Apabila saya menjual buku secara langsung ke sekolah melalui pameran dan jualan buku terus kepada pelajar, mereka sangat teruja dengan koleksi Ujana Ilmu. Selama ini, mereka tiada pilihan kerana novel pop yang mengisi kelompangan terbabit,” katanya.

Justeru, remaja tidak boleh dipersalahkan dan Nisah berharap penerbit sastera berwibawa seperti DBP dan syarikat penerbitan lain, memastikan buku sastera remaja terbitan mereka sampai kepada khalayak sasaran, sama ada melalui jualan terus ke sekolah ataupun kedai buku.