Maju Melayu Perkasa!

12 Julai 2009

Bahasa Malaysia modal kepandaian bersaing


Baha Zain Menulis

KEPUTUSAN Kabinet menamatkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), walaupun terlambat, adalah tindakan waras yang boleh ditafsirkan dengan banyak pengertian.

Tahniah kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana meredakan penentangan terhadap kerajaan dan membersihkan Kementerian Pelajaran daripada dituduh menjadi tempat menjerut leher kemajuan bahasa Malaysia (BM).

Muhyiddin sudah membuktikan keberanian dan integriti sebagai pemimpin untuk membuat keputusan.


Sekarang marilah kita bersama-sama mencari kejelasan fikiran untuk memetakan masa depan bangsa dan bahasanya.

Pertama, perlu difahami bahawa penentangan PPSMI bukan penentangan terhadap bahasa Inggeris dan bukan kerana sebab utama PPSMI menyusahkan murid-murid walaupun itu faktor yang penting.

Premis utama penentangan terhadap PPSMI ialah kerana ia akan membantut perkembangan bahasa kebangsaan negara sebagai bahasa ilmu.

Inilah sebab penting dan utama, dan jangan dikelirukan dengan sebab lain yang mengikutinya.

Perjuangan terpenting kebahasaan ialah untuk menjadikan bahasa Malaysia sebagai bahasa ilmu supaya ia menjadi wahana dan wadah tamadun yang besar.

Justeru, sebarang tindakan untuk mengurangi kedudukan serta fungsinya adalah suatu pengkhianatan terhadap bangsa Melayu dan cita-cita kebangsaan.

Pemersatuan masyarakat Malaysia daripada pelbagai kaum dan pembangunan tamadun moden Malaysia, harus berasaskan tradisi tempatan, dan perkara yang pokok dalam Perlembagaan Persekutuan. BM menjadi saluran menyemaikan jati diri serta nilai tradisi dan moden yang relevan.

Bahasa Malaysia harus berfungsi sebagai pengantar ilmu, dan sekali gus membina watak dan etos bangsa Malaysia yang saling bekerjasama dan patriotik.

Pemimpin kita harus berterus terang dalam hal ini, dan jangan dibayangi oleh tuntutan yang taksub terhadap bahasa Inggeris.

Faktor bahasa dalam hal pembinaan negara bangsa bukan faktor kecil, dan bukan boleh saja diambil alih oleh bahasa asing (Inggeris) yang dianggap akan mengatasi segala masalah ilmu dan ketamadunan seperti lampu ajaib Aladin.

Pemimpin atau sesiapa saja yang berfikir begitu tidak bertanggungjawab terhadap tradisi dan kebudayaan bangsanya.

Dia adalah orang yang kehilangan akar budaya kerana fikirannya terbelenggu dan terpukau dengan kemajuan teknologi serta kebendaan Barat.

Dalam kepercayaannya untuk menyaingi atau menyamai Barat, kita diajak untuk mengajuk dan meniru Barat.

Oleh sebab jiwa kita sudah dijajah oleh Inggeris, dan elit bangsa kita dididik dalam bahasa Inggeris, baik di negara ini atau di United Kingdom, Amerika dan Australia, maka kita tak nampak bahasa lain dan cara lain lagi.

Sepatutnya apabila sudah terdidik seseorang itu menjadi lebih inovatif berfikir dan bebas daripada terperangkap dalam segala ‘keinggerisannya.’

Apa yang patut difikirkan secara mendalam dan teliti ialah bagaimana memelihara BM supaya jangan dimundurkan lagi, dan jangan memundurkan masyarakat.

Strategi apa yang patut dirangka untuk memajukannya sebagai bahasa ilmu pengetahuan yang canggih kerana dengan demikian orang tidak berprasangka terus bahawa BM sebagai bahasa kelas kedua sehingga menganggap bahawa bahasa Inggeris itu adalah lampu ajaib yang berdaya menyelesaikan hidup matinya, di dunia dan di akhirat. Kekeliruan inilah yang patut diperbetulkan dalam fikiran pemimpin politik, ekonomi, pendidikan dan sosial pada hari ini.

Keyakinan ibu bapa terhadap bahasa kebangsaan harus dipulihkan setelah sejak 2002, bertubi-tubi pemimpin mendiayah pentingnya mendahulukan bahasa Inggeris dalam pelajaran anak.

Tidaklah bijak melawan diayah itu dengan diayah balas mempromosi BM dengan impian yang kosong lagi palsu.

Keyakinan terhadap BM bergantung sejauh mana ia boleh menambah ilmu pengetahuan, menjadi modal kepandaian untuk bersaing dan alat komunikasi pada lapisan sosial atasan atau elit.

Justeru, pengukuhan BM sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan harus dikaitkan dengan konteks di sekitarnya; dalam sektor swasta dan kerajaan.

Tokoh politik, pegawai perkhidmatan awam, elit perniagaan dan pemimpin kemasyarakatan pula mesti menunjukkan contoh bahawa mereka fasih dan lancar berucap dalam bahasa kebangsaan.

Kalau tidak BM itu menjadi sebuah pulau terasing yang dipentingkan di bilik darjah saja, tetapi tidak dipentingkan dalam kehidupan praktikal setiap hari di luar pagar sekolah.

Sehubungan ini, inginlah disyorkan kepada Timbalan Perdana Menteri meninjau bagaimana BM boleh diperkasa supaya betul-betul maju di tengah-tengah masyarakat yang luas sederap dengan usaha pemartabatannya di sekolah.



Peranan Dewan Bahasa

dan Pustaka

Di bawah bidang kekuasaan Menteri Pelajaran ada dua institusi penting kebahasaan yang patut dimanfaatkan bagi membina kemajuan bahasa, dan memperkukuh statusnya dalam masyarakat.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) adalah satu-satunya institusi yang cukup unik di dunia: bertugas merancang dan membina bahasa kebangsaan, sastera kebangsaan, dan penerbitan.

Tidak ada institusi pengembangan bahasa lain di dunia yang begitu khusus serta penting tugasnya seperti DBP.

Ia perlu melangkah ke satu tahap baharu perancangan kebahasaan dan penerbitannya dengan menyusun strategi khas ke arah membina BM sebagai bahasa ilmu pengetahuan moden.

Penggubalan istilah teknikal ribuan disiplin ilmu hendaklah dipergiatkan bagi menambah ratusan ribu istilah yang sudah berjaya disediakan DBP. Penyebarannya kepada pengguna pada zaman ini jauh lebih mudah melalui teknologi maklumat dan komunikasi.

Judul baru ensiklopedia, kamus, glosari, atlas dan sebagainya dirancang penyusunannya.

Penerbitan karya ilmiah dan ilmiah popular harus diperbanyakkan, dan karya lama yang penting dicetak ulang supaya bahan-bahan perpustakaan bermutu dalam bahasa kebangsaan sampai ke pasaran.

Kecanggihan teknologi maklumat bukan saja telah mempercepat penulisan, penyuntingan dan pengeluaran buku secara konvensional, malahan mempermudah pencapaiannya secara elektronik. Semuanya ini namun bergantung pada kecekapan pengurusan dan sistem penyampaiannya.



Budaya Terjemahan

dan ITNM

Institut Terjemahan Negara Malaysia di bawah kepemimpinan pengarah urusannya hari ini memperlihatkan ketangkasan luar biasa menterjemah dan melonjakkan imej karya sasterawan tempatan bukan saja di dalam, tetapi juga di luar negara.

Sebagai syarikat berhad ia harus beroperasi berdasarkan keuntungan. Penerbitan buku terjemahan ilmu pengetahuan dalam bahasa kebangsaan adalah sukar.

Demikian juga untuk menterjemahkan karya tempatan ke bahasa-bahasa antarabangsa, lagi lebih sukar dan tinggi kosnya.

Oleh itu adalah penting Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kewangan mempunyai satu sikap baru yang lebih dinamik dan keazaman politik bagi menjadikan budaya terjemahan sebagai pintu masuk aneka ilmu daripada pelbagai bahasa dunia (Jepun, Cina, Korea, Jerman, Sepanyol, dan Perancis) secara langsung.

Karya klasik tempatan dan Malaysiana pula diterjemah dan diedarkan ke dunia luar untuk memperkenalkan imej negara dan kesedaran asing terhadap khazanah Malaysia.

Melalui ITNM yang ahli dalam pelbagai aspek pengurusan dan pemasaran hasil penterjemahan, DBP dapat pula menyalurkan ratusan judulnya kepada ITNM bagi memperluas pengedarannya dan pendapatan pengarang.

Dengan demikian DBP boleh menumpukan perkhidmatannya menghasilkan kerja yang lebih besar seperti penyusunan kamus, ensiklopedia, glosari, dan penyelidikan bahasa sastera sastera, tanpa bertindan tindih kerja dengan ITNM.