Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

02 Ogos 2009

1001 kisah di Siem Reap


Siem Reap tidak hanya menjadi saksi kepada monumen agung Angkor Wat, ia mempunyai pelbagai destinasi pelancongan lain yang tidak kurang hebatnya.


PENULIS bergambar dalam kenderaan yang dipanggil remok di Siem Reap, Kemboja.


PUAS meronda di sekitar Angkor Thom, Angkor Wat dan kawasan yang berhampirannya di Siem Reap, Kemboja, penulis meneruskan perjalanan ke Banteay Kdei. Binaannya tidak banyak beza dengan Ta Phrom kecuali ia dibina di tapak sebuah kuil lama.

Akar pokok yang menjalar meruntuhkan beberapa dinding dan tembok, jelas kelihatan.

Dari situ, perjalanan diteruskan ke Banteay Samre yang terletak kira-kira 35 kilometer dari Siem Reap. Ia mengambil masa lebih daripada sejam. Terdapat arca lingga yang dibina di merata tempat termasuk patung Buddha.

Jika sudah sampai ke Banteay Samre, tidak lengkap rasanya jika tidak singgah ke Banteay Srey. Mengapa? Ini kerana ia memiliki ukiran yang sangat cantik. Meskipun bersaiz kecil tetapi Banteay Srey yang diperbuat daripada batu pasir kelihatan menarik sebelum pukul 10.30 pagi dan selepas pukul 2 petang.

Pulau air

East Mebon juga menyimpan keindahan semula jadi sejak abad yang ke-10. Ia dipercayai berfungsi sebagai sebuah 'pulau air' di mana seseorang itu akan kagum dengan empat kawasan pendaratan yang dibina untuk dicapai melalui bot. East Mebon yang memperingati Tuhan Hindu, Shiva, mempunyai patung gajah bersaiz besar di setiap sudut luaran.

Ta Som pula di umpama seperti cermin klasik Bayon. Dua buah set gopura atau pintu masuk mengalami kerosakan teruk akibat peredaran masa. Seperti Bayon, struktur utama gopura Ta Som mempunyai empat lakaran wajah.

Penulis melakukan lawatan terpenting dan terakhir di Neak Pean dan Preah Khan sebelum pulang. Perhentian di Neak Pean menyajikan kisah mistik sebuah tasik, Anavatapta di Himalaya yang airnya dipercayai boleh mengubati apa jua penyakit. Ia bertindak sebagai sebuah hospital yang dihubungi empat elemen penting iaitu air, tanah, api dan angin.

Pusat pengajian

Dahulu, Preah Khan adalah sebuah pusat pengajian dan biara terhebat yang mempunyai 1,000 sami yang disegani dan dihormati. Pada zaman kegemilangannya, Preah Khan atau Pedang Suci ini menempatkan kekayaan dalam bentuk emas, perak, batu permata, mutiara dan seekor lembu dengan tanduk yang disadurkan emas. Seramai 1,000 penari Apsara juga memeriahkan suasana kuil ini.


TARIAN Aspara yang memukau penonton.


Dalam pada itu, penulis tidak mempunyai banyak masa untuk ke Taman Negara Phnom Kulen yang menempatkan Air Terjun Phnom Kulen, sungai 1,000 lingga dan biara di atas bukit, Wat Preah Ang Thom. Kata orang, struktur 1,000 batu lingga ini kelihatan jelas pada musim kering dan popular sebagai destinasi berkelah.

Beli-belah

Meskipun penat berjalan, naik turun anak tangga, berjemur di bawah terik matahari dan dibasahi air hujan, penulis masih bersemangat untuk melakukan aktiviti membeli-belah. Apa yang penting, anda perlu mahir dalam urusan tawar-menawar.

Di sini, harga produk kraftangan biasanya dijual sehingga dua atau tiga kali ganda mahal daripada harga barangan yang dijual di Old Market, Noon Night Market dan Angkor Night Market.

Misalnya, di Angkor Night Market, penulis cuba tawar-menawar dan menggunakan helah dari satu kios ke kios lain sehingga mendapat dua alas meja pada harga semurah AS$5 (RM17). Tiga tekapan lukisan di Angkor Wat di atas kertas kanji juga diperoleh pada harga AS$8 (RM28).

Bagi yang ingin bersuka ria sepanjang malam, anda boleh ke Pub Street yang menghimpunkan puluhan buah kelab malam dan restoran.

Tarian Apsara

Para pelancong juga boleh menyaksikan persembahan tarian Apsara sebelum menggulung tikar. Apsara ialah tarian tradisional Khmer. Ia merupakan sebahagian daripada seluruh tarian klasik Khmer.


ARCA stupa yang terdapat di Preah Khan.


Koreografi persembahan Apsara adalah berdasarkan kepada karakter epik Ramayana masyarakat India di samping menonjolkan aktiviti harian penduduknya. Ini termasuklah menangkap ikan, bercucuk tanam dan adegan cinta pasangan muda.

Diiringi paluan muzik yang mengghairahkan, penari lelaki dan wanita menggerakkan jari-jemari dan kaki mengikut rentak.

Penari wanita biasanya menyarungkan kostum kain sutera dengan tiara dan hiasan lengan yang berwarna-warni manakala penari lelaki memakai sarung. Penulis berpeluang menyaksikan tarian tersohor ini di Angkor Mondial Restaurant dengan bayaran tiket AS$10 atau RM35 seorang. Ini termasuklah caj sajian bufet makan malam. Selama 30 minit, penonton pasti dibuai dengan alunan muzik dan tarian yang lemah gemalai. - SUBASHINI RAJANDRA