Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

31 Ogos 2009

Antara gagasan universiti taraf dunia dan cabaran siswazah bidang kerjaya


Dr Anuwar Ali

KETIKA ditubuhkan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1970, matlamat yang tertulis sangat mudah tetapi sarat dengan makna yang cukup simbolik - bagaimanakah memberikan pendidikan peringkat universiti kepada orang Melayu khasnya serta memperkasa bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

UKM bermula dengan penuh kesederhanaan, tetapi berkembang dengan pesat daripada tiga fakulti kepada 12 fakulti dan 14 pusat penyelidikan sehingga hari ini. Kini UKM berjaya menghasilkan kira-kira 131,000 siswazah dalam pelbagai bidang.

UKM melihat barisan kepemimpinan yang datang dan pergi. Mereka semua mempunyai pemikiran dan dedikasi sama, iaitu mendokong hasrat murni penubuhan asalnya. Persoalannya sekarang ialah sejauh manakah universiti ini berjaya memenuhi aspirasi asal penaja UKM?


Semua Naib Canselor, mencuba sedaya upaya untuk memenuhi aspirasi itu dengan pelbagai pendekatan baru dalam corak tadbir urus dan pengurusan akademik, termasuk penstrukturan semula fakulti dan pentadbiran universiti, mewujudkan semangat kekitaan, disiplin dan akauntabiliti akademik serta mendekati pelajar, semuanya tanpa lari jauh daripada matlamat asal penubuhan UKM.

Saya melihat kejayaan sesebuah universiti terletak pada kualiti tenaga akademiknya, pengurusan dan kepemimpinannya; dan seterusnya mutu graduannya. Sejauh manakah unggulnya graduan yang sudah diasuh untuk menghadapi dunia sebenar di luar sana?

Itulah tanggungjawab sosial yang amat penting sebagai sebuah universiti - mengeluarkan graduan yang berdaya tahan, berinisiatif dan mampu bersaing.

Kerunsingan masyarakat, ibu bapa dan lebih-lebih lagi graduan ialah mengapa ramai graduan gagal mendapat tempat dalam dunia pekerjaan, terutama dalam keadaan kemelesetan ekonomi yang melanda seluruh dunia sekarang.

Kadar pengangguran di Malaysia pada suku pertama 2009 adalah empat peratus, suatu peningkatan yang tinggi berbanding 3.2 peratus pada 2008. Jumlah graduan bagi 2008 adalah sekitar 150,000 dan 80,000 adalah graduan universiti awam. Laporan kajian pengesanan pelajar bagi 2008 mendapati 21.7 peratus graduan universiti awam masih tidak mendapat pekerjaan selepas enam bulan tamat pengajian. Apakah ini suatu kesilapan bagi universiti?

Sebenarnya kebolehpasaran graduan itu bukan terletak pada universiti tempat mereka belajar semata-mata. Nasib graduan ditentukan ciri-ciri lain, termasuk kelemahan ekonomi untuk menyerap semua graduan, terletak pada diri graduan itu sendiri serta perwatakan sosial seperti ketrampilan, kemahiran berinteraksi dan bekerja dalam satu pasukan, kemampuan berfikir secara kritikal dan mempunyai daya tahan tinggi.

Keyakinan diri juga menjadi ciri yang dinyatakan. Tidak boleh juga menyalahkan graduan sepenuhnya kerana mereka melalui proses pembelajaran yang panjang dan membentuk acuan sedemikian rupa.

Asasnya, bagi dunia pendidikan tinggi, suatu ironis berbicara mengenai universiti bertaraf dunia, jika sejumlah besar graduannya terumbang ambing dalam pasaran pekerjaan. Di manakah peranan universiti untuk menghasilkan pelajar yang sedia memasuki pasaran dan seterusnya menjadi ahli masyarakat yang tinggi nilai peribadinya.

Justeru, universiti mempunyai peranan yang kritikal dalam menghasilkan graduan sedemikian rupa. Mahu tidak mahu, universiti harus menghasilkan graduan mengikut keperluan industri atau pasaran kerja bagi mengelakkan penghasilan graduan yang melebihi dalam sesuatu bidang.

Dalam merancang perkembangan universiti, kita mesti mengambil kira produk atau hasilnya terlebih dulu, iaitu dalam bentuk tenaga manusia yang boleh menyumbang kepada keupayaan sesebuah negara. Dalam konteks UKM, tugas dan tanggungjawab yang dipikul adalah amat rumit dan penuh dengan pelbagai cabaran.

Kita tidak boleh lari daripada tanggungjawab ini, sentiasa peka dan berwaspada serta meletakkan keutamaan kepada teras yang dihasratkan oleh penaja UKM zaman silam. Tanggungjawab itu mestilah diterjemahkan dalam bentuk graduan yang dibekalkan dengan cara berfikir dan perwatakan yang membolehkan mereka mampu menghadapi apa juga keadaan dengan tenang dan penuh bijaksana. Bak kata pepatah ‘kalau asal benih yang baik, jatuh ke laut menjadi pulau.’

Jika universiti dapat memenuhi tuntutan ini, maka akan terzahirlah konsep kecemerlangan akademik yang sebenar. Penekanan seimbang haruslah diberikan antara pembentukan sebuah universiti ‘bertaraf dunia,’ dengan tanggungjawab membentuk sahsiah dan perwatakan unggul pada diri graduan.

Universiti akan dianggap gagal seandainya sehelai kertas yang dipanggil ijazah itu tidak dipamerkan dengan perwatakan murni graduan yang diperlukan dalam tamadun bangsa dan tanah air. Cabaran yang akan terus dihadapi oleh pimpinan akademik ialah bagaimanakah kita menangani masalah graduan menganggur yang semakin ramai saban tahun.

Adakah perlu kita membuat perubahan dari dalam, pada corak tadbir urus dan pedagogi pengajaran, atau mengalih penekanan kepada keperluan pelajar yang mahukan proses pembelajaran yang mantap, atau perlukah kita merenung kembali sejauh manakah sebenarnya yang sudah dicapai, sama ada pencapaian itu menepati agenda kebangsaan dan negara Malaysia, atau sebaliknya?

Memimpin universiti amat besar cabaran dan tuntutannya. Saya mengharapkan terbentuklah generasi pemimpin akademik yang ikhlas serta jujur untuk memenuhi tuntutan ini sepanjang zaman dan beliau yakin, dengan disiplin yang mantap serta keyakinan yang tinggi, kakitangan akademik serta warga UKM akan mencapai kecemerlangan seterusnya.





(Sedutan ucap balas penerimaan gelaran Profesor Emeritus, Prof Emeritus Tan Sri Dr Anuwar Ali, Presiden/Naib Canselor OUM pada Majlis Konvokesyen UKM Ke-37

di UKM Bangi 16 Ogos lalu)