Maju Melayu Perkasa!

31 Ogos 2009

Kekasih sukar lupakan Diana


Susunan Hazirah Che Sab


Perkahwinan dengan Hadia tidak mengubah cinta kepada Diana.

Hasnat kembali semula ke Britain selepas lebih dua tahun menyepi di Pakistan

BUKAN dia tidak pernah cuba melarikan diri bagi merawat pedih cinta yang kecundang tetapi bak kata pepatah, tempat jatuh lagi dikenang inikan pula tempat cinta berputik.

Biar pedih untuk menelan hakikat, Dr Hasnat Khan sedar hatinya masih di Britain walaupun wanita yang hampir menjadi suri hidupnya sudah tiada lagi di dunia.


Lantaran itu, selepas cuma dua tahun menyepikan diri di tanah tumpah darahnya di Lahore, Hasnat kembali di Britain yang banyak mencatatkan kisah suka duka cintanya bersama wanita paling dikenali di dunia, Puteri Diana.

Menetap di London Utara, Hasnat yang genap berusia 50 tahun bulan depan, kembali melakukan apa yang amat dicintainya selain Diana - menjadi pakar bedah di hospital kerajaan.

Walaupun dilahirkan dan mendapatkan kelayakan sebagai doktor di Lahore, Hasnat, yang genap berusia 50 tahun bulan depan, menganggap Britain negaranya. Ramai rakannya berada di negara itu. Namun agak ironi kerana jika cintanya dengan Diana berakhir dengan ikatan perkahwinan, Hasnat akan berasa terpaksa membawa isterinya itu kembali ke Pakistan.

Ramai rakan Diana percaya Hasnat adalah cinta sejati puteri itu.

Cuma di situ Hasnat percaya dia dapat mengelak semua gangguan dan kekecohan yang mengekor setiap langkah Diana di Barat, selain meneruskan kerjaya perubatannya.

Hasnat meninggalkan England pada Oktober 2007, ketika siasatan mengenai kematian Diana dalam kemalangan di Paris pada 1997 dibuka di London. Hasnat tidak memberikan bukti walaupun kenyataan terperinci yang diberikannya pada 2004 mengenai ‘cintanya’ kepada penyiasat disiarkan.

“Saya tidak mahu menjadi sebahagian daripada kemelut ini. Saya sudah membaca semua transkrip saksi di internet dan bagi saya, ia lebih kepada membongkar kehidupan peribadi Diana daripada mengumpul fakta mengenai kematiannya.

“Malah mereka langsung tidak memanggil paparazi yang mengejar keretanya. Saya gembira saya tidak menjadi sebahagian daripada sarkas ini,” katanya baru-baru ini.

Ketidakhadiran Hasnat dalam siasatan berkenaan bermakna dia tidak terbabit dalam teori konspirasi berpanjangan mengenai kematian puteri itu dan kemelut yang melingkari prosiding sepanjang empat bulan itu.

Pakar bedah jantung itu yang pernah memiliki sebuah rumah di Chelsea dan kerap diseludup masuk ke Istana Kensington dalam bonet kereta pembantu Diana, Paul Burrell untuk berjumpa secara rahsia dengan Diana, kembali ke Britain Januari lalu dan kini tinggal di kawasan membosankan di London Utara.

Dia jauh daripada tumpuan dan tidak berhubungan dengan kedua-dua anak Diana, William dan Harry atau rakan lama puteri itu.

Hasnat, yang bertemu Diana ketika menjadi pakar bedah di Hospital Royal Brompton pada Ogos 1995, kini bertugas di Hospital Basildon, menyaksikan dia menjadi seorang daripada anggota pasukan lima pakar jantung dan paru-paru di pusat kardiotoraksik Essex.

“Saya sukakan apa yang saya lakukan - mereka pasukan yang hebat dan semua orang begitu bersemangat,” katanya yang kini semakin gempal.

Selepas 12 tahun mengenang Diana, Hasnat kini sudah mempunyai pengganti yang menurut salah seorang rakannya, akan dikahwininya. Namun buat masa ini, Hasnat merahsiakan identitinya. Selepas dengan berat hati membuang jauh-jauh keinginan memperisterikan Diana, Hasnat mengahwini wanita pilihan ibu bapanya pada 2006 ketika dia masih bekerja di London.

Bagaimanapun, usia perkahwinannya dengan Hadia Sher Ali, anak keluarga bangsawan Afghanistan berusia 29 tahun tidak bertahan lama walaupun keluarganya menaruh harapan perkahwinan itu dapat membuatkan Hasnat melupakan kenangan indahnya dengan Diana.

Hasnat begitu cemburu selepas mengetahui Diana jatuh di pangkuan si buaya darat, Dodi Fayed.

Dalam keterangan kepada badan siasatan, Hasnat berkata ‘dia amat marah’ apabila mengetahui Diana menjalin hubungan dengan Dodi.

Hari ini, Hasnat masih lelaki sama yang pernah dicintai Diana, masih suka mengunjungi kelab malam dan merokok. Nyata kenangan manis bersama puteri itu masih jelas dalam ingatan tetapi ia bukan untuk dikongsi dengan orang lain.

Walaupun boleh mengaut keuntungan lumayan dengan menjual kisah cintanya dengan Diana yang berakhir dengan air mata, Hasnat yang digelar Diana ‘Mr Wonderful, masih lelaki terhormat sama yang mengelakkan tumpuan.

“Hasnat tidak mahu dikenali sebagai sebagai lelaki yang hampir mengahwini Puteri Diana. Dia mahu dikenali sebagai pakar bedah jantung yang amat bagus dan sememangnya itulah dia,” kata seorang rakannya.

Satu perkara yang pasti, cinta baru Hasnat harus akur dengan ingatan mendalam lelaki itu terhadap Diana yang mungkin tidak dapat dipadam kerana penangan cinta pertama selalunya dibawa ke mati.