Maju Melayu Perkasa!

31 Ogos 2009

Minda kita belum merdeka selepas 52 tahun


Jami'ah Shukri



HARI ini genap 52 tahun negara kita merdeka dan sepanjang tempoh itu, pembangunannya amat pesat dalam pelbagai aspek merangkumi ekonomi, sosial, politik, pendidikan dan kemasyarakatan hinggakan negara luar kagum dengan keupayaan Malaysia.

Perjuangan pemimpin terdahulu menggapai kemerdekaan, pada tanggal 31 Ogos itu tidak pernah dilupakan serta terus menjadi nostalgia manis terhadap kegemilangan sejarah tanah air, sekali gus menjadi pembakar semangat kepada generasi pasca merdeka untuk mengisi erti kemerdekaan itu.


Pada masa sama definisi merdeka tidak seharusnya jumud dan tertumpu kepada erti kebebasan daripada belenggu penjajah, sebaliknya perlu dirungkai secara menyeluruh dalam pelbagai ruang kehidupan.

Justeru, dalam meniti arus kemerdekaan itu, banyak pencapaian diperoleh dan bidang diterokai dengan rangka kerja yang komprehensif dalam pelbagai aspek sehingga nama Malaysia menjulang di persada antarabangsa.

Tetapi sudahkah merdeka minda kita?

Bagi Pensyarah Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Ahmad Nidzammuddin Sulaiman, kemerdekaan dalam erti kata lain adalah negara yang bebas daripada segala bentuk penaklukan termasuk minda.

Pada alaf baru, iklim dan corak pemikiran lama harus dibenamkan serta digantikan dengan semangat inginkan pembaharuan supaya sebarang perancangan untuk meningkatkan pembangunan negara tidak terganggu dengan pemikiran negatif.

Jika dilihat perubahan minda khususnya dari segi senario politik di negara ini, Ahmad Nidzamuddin berkata, kita masih konservatif dengan berpegang kuat pada asas budaya sehingga takut untuk membawa transformasi secara besar-besaran.

Katanya, dengan sikap yang tidak begitu terbuka itu menampakkan seakan ada budaya kebimbangan untuk menghadapi sebarang risiko bagi melakukan perubahan.

“Bagaimanapun, saya percaya minda yang agak statik adalah disebabkan berada di persimpangan untuk memenuhi atau menjaga hak kepentingan masing-masing berikutan negara dihuni oleh masyarakat majmuk,” katanya.

Bagaimanapun, ledakan dunia teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) lebih nampak ketara dan rakyat turut terpalit dengan mendapatkan apa saja maklumat tanpa sempadan.

Katanya, sepanjang 52 tahun merdeka, dari sudut penyebaran maklumat dianggap sebagai pencapaian yang drastik dan ini menjadikan minda mereka lebih terdedah dari segi penerimaan idea lain.

Cuma, berikutan kepesatan ICT itu juga menyebabkan wujudnya pertembungan pemikiran antara generasi lama dan muda kerana lebih terdedah kepada banyak sumber berkenaan.

“Dari segi sosiobudaya, masyarakat juga dilihat agak positif dan seimbang, tidak seteruk berbanding 13 Mei 1969 lalu. Jika dulu cakap saja Kepong orang menggambarkan ia kawasan Cina; Brickfields (India) dan Kampung Baru (Melayu). Hubungan interaksi antara kaum semakin baik,” katanya.

Oleh itu, beliau menegaskan 1Malaysia adalah wawasan tambahan Perdana Menteri untuk mewujudkan satu perasaan saling menghormati, bekerjasama dan mempererat hubungan antara kaum dengan masing-masing tahu hak mereka.

Cuma dalam mengisi erti kemerdekaan itu juga usaha 1Malaysia mampu menghilangkan banyak pemikiran negatif termasuk rasa terpinggir antara bangsa.

Sementara itu, Sejarawan, Prof Emiritus Datuk Dr Khoo Kay Kim, menganggap minda masyarakat negara khususnya mengenai pembinaan bangsa negara masih gagal mencapai tahap diharapkan dan tidak wujud nilai murni walaupun sudah 52 tahun merdeka.

Kepincangan itu adalah berpunca daripada sistem pendidikan yang kurang menekankan kepada aspek pengkajian, pemahaman dan penghayatan terhadap subjek sejarah itu sendiri.

“Sistem pendidikan sekarang juga amat lemah dan cuai dalam penyediaan rangka sukatan pelajaran. Tambah buruk lagi apabila generasi ini terdedah kepada pengaruh luar. Sepatutnya sukatan pelajaran itu digubal semula di samping menyediakan buku sejarah dengan fakta yang betul.

“Buku sejarah yang ada ditulis oleh orang yang tidak mengkaji sejarah Malaysia secara keseluruhannya. Ini menyebabkan pemikiran generasi muda tidak diberi maklumat benar. Bagi saya, keadaan ini belum terlewat kerana setiap 20 hingga 30 tahun akan datang, wujud lagi generasi baru.

“Generasi ini yang perlu ditumpukan mengenai aspek kenegaraan untuk membawa kepada pembinaan sebuah bangsa yang dinamis,” katanya.

Beliau menambah, ramai masyarakat yang masih bersifat ganjil, lebih mengutamakan diri sendiri, tidak begitu faham terhadap negara merdeka dan apa itu kerakyatan.

Malaysia, memang jauh lebih aman dan damai dengan penduduknya dilihat hidup bersatu padu serta saling memahami antara satu sama lain, namun dari segi pembinaan bangsa tidak begitu menyerlah.

Malah, negara jiran seperti Vietnam dan Indonesia lebih mendahului Malaysia dalam aspek ini.

“Vietnam umpamanya, selepas saja tamat perang dengan Amerika Syarikat, mereka menanamkan keazaman untuk menjadi bangsa yang kuat. Begitu juga dengan Indonesia, dulu nampak mereka terkebelakang daripada kita, tetapi sekarang mereka mengejar Malaysia,” katanya.

Namun bagi Malaysia, pembangunannya boleh dibanggakan. Misalnya, dalam pembangunan sektor ekonomi, negara bukan saja mampu menaikkan taraf hidup rakyatnya, malah antara yang termaju di Asia Timur walaupun hampir semua negara kini dihambat oleh krisis ekonomi global. Dalam sesetengah bidang Malaysia tidak lagi menjadi jaguh kampung.

Dalam bidang sukan, nama seperti Datuk Nicol David, terus gah sebagai pemain skuash nombor satu dunia yang digeruni, manakala Datuk Lee Chong Wei (badminton). Episod baru turut tercatat apabila kita menghantar angkasawan pertama, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha, meneroka ke angkasa lepas, pada Oktober 2007 (sembilan hari berada di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa).

Justeru, sempena Hari Kebangsaan tahun ini yang bertemakan “1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”, dianggap pelengkap kepada aspirasi dan visi negara untuk terus mencipta nama.

Gagasan 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dianggap sebagai kesinambungan ke arah memantapkan lagi kegemilangan Malaysia di samping mampu mewujudkan sebuah masyarakat bersatu padu serta mempunyai semangat patriotisme berpandukan kepada Perlembagaan Negara dan Rukun Negara.

Namun, dalam tempoh lima dekad itu, sejauh mana pengisian kemerdekaan dicapai termasuk dari aspek pembangunan dan perubahan minda rakyat. Sudah majukan pembangunan minda kita?