Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

31 Ogos 2009

A Samad Said hebat


Oleh Nazmi Yaakub


DR WAN HASHIM (kiri),Mohd Khir, Pengurus Kanan Jabatan Korporat ITNM, Razin Abdul Rahman (tengah), A Samad dan isteri, Rashidah Dahan pada majlis pelancaran novel Fansuri's Love.

Ulang tahun ke-75 Sasterawan Negara dirai lebih awal

USIA Sasterawan Negara (SN), Datuk (Dr) A Samad Said, mencapai tiga perempat abad pada 9 April tahun depan, tetapi bibit sambutan ulang tahun itu sudah dirasa pada Majlis Penghargaan Menjelang 75 Tahun A Samad Said di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

A Samad diraikan secara puitis melalui deklamasi dan dendangan lagu puisi di samping persembahan manifestasi karyanya pada majlis penghargaan anjuran Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) dan SN terbabit turut menyaksikan novelnya, Fansuri’s Love diterjemah daripada Cinta Fansuri dan kumpulan puisi, Ballad of the Lost Map (Balada Hilang Peta) dilancarkan.


Pensyarah Universiti Malaya (UM), Prof Rahman Shaari, membacakan puisi Pertama dan Terakhir, bertepatan untuk menyimpulkan perjalanan kehidupan dan kesasterawanan A Samad dalam liku zaman sehingga membentuk ikon besar dalam dunia bahasa, sastera dan budaya serta sesekali melintas ke ruang politik.

Penyair yang turut mendapat jolokan hafiz puisi kerana keupayaan menghafaz puisi itu, mengerahkan bacaannya yang memperlihatkan kekaguman terhadap perjuangan SN itu yang tidak bertemu noktah dalam mengangkat martabat sastera di negara ini.

Jauh kita berjalan
mendukung semua
kepercayaan
pertama dan terakhir.

Sekarang kita sampai
ke puncak tiada tercapai
keazaman pantang cair.


Tidak lengkap seandainya perjalanan kesasterawanan itu tidak meninjau peristiwa mogok seni yang akrab dalam sejarah hidup SN berkenaan sehingga Johan Sayembara Deklamasi Puisi Kebangsaan 1996, Ahmad Shukri Abdullah, mengenang kembali mogok Pak Samad lewat deklamasi puisi, Cenderahati Mogok Seni.

Pada hujung deklamasi itu, ada harapan A Samad yang terjuntai daripada suara Ahmad Shukri yang sebelumnya bertenaga, sekali gus menghayati doa puitis SN terbabit dengan

harapan agar sumbangan penerima Anugerah Sastera Negara (ASN) itu bererti kepada bangsa dan bahasanya.

Aku sedar terpaksa
beransur tua
kerana anak-anak
mesti dewasa.

Pada waktu khusus,
catatan yang
hakiki, biar malam
biar pagi,
dengan capal berbeza,
rebana pecah,
aku terpaksa pergi -
ramai pengganti.

Aku tak sempat
mencangkul pengaruh,
menyemai keyakinan,
memetik kuasa.

Sekadar sempat
menanam dua tiga
pohon kenanga
yang kuharap
akan sentiasa
lebat dan harum baunya.


Barangkali dalam suku abad ketiga dalam perjalanan kesasterawanan A Samad, ada yang tertanyatanya sebab SN itu sangat vokal dalam isu bahasa Melayu, tetapi tanda tanya itu bagaikan dijawab oleh Pensyarah Institut Perguruan Bahasa Melayu Malaysia, Raja Rajeswari Sita Raman yang membacakan puisi, Luka Hang Kasturi nukilannya sejak 1994 lagi.

Begitu kita dijanji
dengan serpih mimpi,
dipasti sempat menebus
kewujudan diri
cuma tanpa bahasa
dan abjad pribumi.
Kita dustai sekafilah
kongres yang panjang.


Di sebalik balai-balai bahasa dan sastera dan kusutmasai politik, masih ada harapan A Samad terhadap generasi depan yang dilahirkan oleh Pensyarah Fakulti Pendidikan UM, Dr Chew Fong Peng, apabila membacakan puisi, Hidup Bersama, sekali gus menjadikan penonton terharu untuk merenung impian semua pihak.

Anak-anak kita
bakal datang tanngkas
dan berilmu;
dan kita, dalam sejarah,
bakal syahdu
dan bangga,
kerana awan yang indah,
lapis pelangi lebih mesra,
wajah diri dan inti
peribadi kita tunjang
bagi kehidupan dan
kemerdekaan bangsa
yang sentiasa
sedia belajar mengerti
dan tekun
hidup bersama.


Malam yang turut dihadiri Ketua Pengarah DBP, Datuk Termuzi Abdul Aziz; Pengerusi Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITMN), Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh; Pengarah Urusannya, Mohd Khir Ngadiron dan A Samad, turut dimeriahkan dengan persembahan yang dinafasi daripada novel Cinta Fansuri.

Pementasan itu dibuat peserta Bengkel Penghayatan Karya A Samad Said yang mendapat bimbingan daripada Nam Ron untuk bengkel seni teater; Sharifah Maswari Syed Bakar dan Drew Harris (seni tampak) serta Taja daripada kumpulan Meet Uncle Hussain (seni muzik).

Baca puisi itu turut dimeriahkan dengan deklamasi puisi oleh Dr Ahmad Razali Yusof, Dr Victor Pogadev, Malim Ghozali PK, Syed Mohd Zakir Syed Othman (SM Zakir), Saifullizan Yahya dan Seri Amalina Mohd Khir serta lagu puisi oleh Taheera Rosheena Mohamed.