Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

21 September 2009

Bazar empat jam



BAZAR Kelab Darul Ehsan menawarkan kelengkapan asas hari raya.


MASIH lagi tidak mencukupi keperluan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tiba. Apa kata selepas menjamu hidangan berbuka puasa di Kelab Darul Ehsan (KDE) Ampang Jaya, Kuala Lumpur, anda meluangkan masa bersiar-siar melihat jualan di sekitarnya.

Dengan mempunyai 10 gerai sahaja, ia dibuka setiap hari bermula pukul 7 malam sehingga 11 malam. Meskipun tidak mempunyai banyak gerai, boleh dikatakan kesemua kelengkapan asas untuk menyambut hari raya boleh didapati di sini.

Antaranya adalah biskut, baju raya, beg tangan, kerongsang, kain pelikat, bunga dan aksesori. Soal harga pula, tidak perlu bimbang kerana para peniaga bersedia memberi harga yang istimewa dan berpatutan.

"Sejak awal puasa, saya membuka gerai di sini, jualan amat memberangsangkan. Ini kerana pengunjung tidak putus-putus datang memandangkan mereka berbuka di sini. Sementara menunggu waktu berbuka, mereka akan meluangkan masa untuk membeli barangan keperluan raya," beritahu Jumna Adiba, 32, kepada Kosmo!.

Dia yang berniaga pelbagai aksesori wanita dan biskut turut tidak menyangka sokongan yang diberikan pengunjung. Rata-rata pengunjung tidak keberatan untuk menempah biskut setelah mencubanya.

"Ada juga yang datang sekali lagi apabila mendapati biskut yang ditawarkan dijual pada harga yang murah dan sedap," ujarnya yang hanya membuka gerai di KDE sahaja.

Bagi Mastura Mustafa, 38, disebabkan ingin menampakkan kelainan, dia mengambil keputusan untuk menjadikan hobi menghasilkan aksesori yang diperbuat daripada wayar sebagai barangan jualan.

Dia langsung tidak menyangka, kreativitinya itu mendapat sambutan yang sungguh memberangsangkan.

"Rantai dan kerongsang ini adalah hasil kerja saya sendiri. Sebelum ini, aksesori yang diperbuat daripada wayar hanya popular di luar negara. Tetapi kali ini, saya cuba mempelbagaikannya mengikut cita rasa wanita Malaysia," katanya.