Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

21 September 2009

Terminal Makanan Negara


Oleh Siti Nur Almizan Aripin


Ilustrasi Terminal Makanan Negara di Simpang Pulai berkonsepkan pasar borong moden.

Kompleks Simpang Pulai, Perak bakal beroperasi akhir tahun ini

LANGKAH memantapkan aspek pertanian negara memerlukan dasar proaktif dari peringkat asas lagi terutama dalam soal pengedaran hasil makanan itu daripada sumber atau ladangnya.

Salah satu ‘lubuk’ hasil pertanian penting Malaysia adalah tanah tinggi Cameron Highlands yang membekalkan pelbagai hasil makanan seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan bunga-bungaan segar.


Demi memastikan tanaman tanah tinggi ini benar-benar mematuhi amalan pertanian baik serta kekal segar selepas diterima pelanggan, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani melalui agensinya, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), bertindak membangunkan Terminal Makanan Negara atau singkatannya Teman di Simpang Pulai, Ipoh.

Terminal berkonsepkan pasar borong moden yang bakal siap sepenuhnya Oktober ini, dijangka menjalankan operasinya sebagai hab makanan halal serantau pertama di rantau Asia Tenggara pada penghujung tahun ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Fama, Sahbani Saimin berkata, Teman yang beroperasi di kompleks dilengkapi prasarana moden itu akan menyumbang secara langsung di dalam aktiviti pemborongan, pembungkusan, pengumpulan dan pengedaran produk pertanian negara terutama tanaman tanah tinggi dari Cameron Highlands.

Sabbani berharap produk sayur-sayuran tanah tinggi dapat memenuhi permintaan pasaran tempatan dan luar negara dengan adanya Teman.

“Lokasinya yang strategik iaitu berdekatan Lebuh Raya Utara Selatan, akan memendekkan masa perjalanan penghantaran produk segar ke pasar raya dan peniaga kecil antara Ipoh dan Kuala Lumpur serta kawasan di pantai barat,” katanya.

Selain itu Teman juga dilihat akan menjadi pemangkin dalam pembangunan sistem pengedaran dan logistik yang cekap bagi hasil pertanian. Persekitaran urus niaga yang efisen diwujudkan melalui mekanisme penetapan harga dijangka dapat menjamin persaingan yang adil, telus dan saksama di kalangan pembekal dan pemborong.

“Pasar borong moden itu akan menggunakan konsep lelongan sama seperti di Bursa Saham kerana memang hasrat kami untuk meningkatkan kesedaran di kalangan petani dan pembekal produk pertanian supaya menghasilkan sayuran juga buah-buahan yang bermutu dan segar.

“Apabila produk dihasilkan bermutu tinggi, pasti ia dibida dengan harga yang tinggi seterusnya mendapat permintaan dari pelbagai pihak terutama untuk dipasarkan ke luar negara,” katanya.

Bunga antara produk pertanian yang boleh didapati di Teman.

Setiap bidaan itu mewakili satu palet sayur-sayuran atau buah-buahan berdasarkan berat produk berkenaan.

Kompleks bernilai RM100 juta itu dibangunkan di atas tapak seluas 40 hektar itu akan dilengkapi papan elektronik bagi memudahkan urusan lelong menyamai sistem sama di pasar borong moden di Korea Selatan, Jepun dan Amsterdam di Belanda.

Untuk mencontohi amalan terbaik luar negara (Jepun, Korea Selatan, Afrika Selatan dan Australia), Teman akan menggunakan mekanisme peletakan harga berasaskan sistem triti persendirian dan pelelongan di mana setiap transaksi akan direkodkan juga diwarwarkan daripada segi harga jualan dan volum jualan dalam masa sebenar.

Katanya, penubuhan Teman juga diharapkan dapat membantu meningkat dan mempromosikan amalan terbaik industri daripada segi kualiti, pensijilan, penggredan, pembungkusan, pelabelan dan piawaian mutu makanan.

“Setiap hari dianggarkan kira-kira 5,000 kenderaan akan memasuki kawasan kompleks Teman yang mengendalikan urus niaga pemborongan serta peruncitan bagi 402 tan metrik sehari keluaran pertanian secara sistematik pada 2009 dan 535 tan metrik sehari pada 2012.

“Kami berharap Teman akan meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam sektor pemborongan manakala pemborong sedia ada pula akan mendapat peluang untuk meningkatkan kemahiran perniagaan ke tahap lebih kompetitif,” katanya.

Kompleks Teman di Simpang Pulai merangkumi bangunan pentadbiran, pasar borong utama, pasar ayam dan daging, pasar ikan, pusat edaran bunga, blok gudang, kafeteria, plaza tol, ruang meletak kenderaan dan laluan trafik berkawal.

Info

Terminal Makanan Negara (Teman)


Nilai projek: RM100 juta

Keluasan: 50 hektar (40 hektar kompleks Teman, 10 hektar pembangunan akan datang)

  • Konsep lelongan sama seperti di Bursa Saham bagi tingkatkan kesedaran petani dan pembekal.

  • Dilengkapi papan elektronik bagi memudahkan urusan lelong sama seperti di pasar borong moden di Korea Selatan, Jepun dan Belanda.

  • Kompleks Teman di Simpang Pulai rangkumi bangunan pentadbiran, pasar borong utama, pasar ayam dan daging, pasar ikan, pusat edaran bunga dan kemudahan lain.

  • Dijangka beroperasi pada Disember 2009.
  •