Maju Melayu Perkasa!

24 September 2009

Budaya sedekah duit raya biar ikut kemampuan


Oleh Azrul Affandy Sobry



“GENG, rumah yang hujung kampung, alah.. rumah Pak Sidek, dia bagi lima ringgit. Banyak! Lain kali tak payah pergi rumah Mak cik Temah tu, ada ke patut dia bagi seringgit saja. Kedekut betul. Nak beli apa dengan seringgit?”

Itulah antara dialog yang biasa kedengaran di kalangan kanak-kanak pada hari raya. Operasi ‘kutip duit raya’ yang sejak sekian lama bertunjang dalam diri kanak-kanak Melayu setiap kali tiba Aidilfitri bagai sudah menjadi resam yang sinonim serta tak dapat dipisahkan dengan hari perayaan terbesar umat Islam itu.


Ia umpama satu sindrom ketagihan di kalangan kanak-kanak, malah tak kurang juga ibu bapa mereka yang sesetengahnya sanggup membelikan beg khas untuk memudahkan anak masing-masing menyimpan segera duit raya yang diberi sesiapa saja - mungkin ada misi tersirat.

Senario kutip duit raya itu biasanya tak lekang di mata sesiapa saja dan biasanya sudah bermula sejurus solat sunat Aidilfitri selesai. Tunggulah, tak sampai sejam, pasti ada rombongan kanak-kanak ‘mengunjungi’ rumah kita, bukan untuk makan atau beraya sangat, tetapi misi utama mereka ialah duit.

Masalahnya, nilai duit raya itu sendiri. Tak payah nak nafikan kerana realitinya, semua orang pernah melalui nikmat kutip duit raya, bezanya suatu ketika dulu, iaitu awal 1990-an atau mungkin 1980-an, apa lagi zaman datuk nenek kita, nilai duit raya tidak begitu kronik seperti sekarang.

Teringat ketika zaman kanak-kanak penulis, nilai yang dianggap sangat tinggi ketika itu ialah 50 sen dengan kebanyakan rumah memberi secara purata 10 sen saja, malah ada yang tak bagi apa-apa. Pusing seharian sekampung, peluh jenuh membuatkan baju lencun, dapatlah kumpul tak sampai RM20, tetapi itupun sudah dikira sangat banyak.

Poket baju Melayu penuh, berat dengan duit syiling. Seluar juga sama, melondeh sebab semuanya diisi dengan duit syiling. Ada juga terselit duit kertas tapi itupun kerana ada tuan rumah yang tak ada duit kecil. Jangan salah faham, bukan beri seringgit, tetapi mahu bakinya dipulangkan, bagi seringgit, pulangkan semula 80 sen.

Lewat petang, balik ke rumah nenek, perbandingan dibuat di kalangan sepupu. Ada yang melompat girang kerana berjaya mengumpulkan lebih seringgit dua daripada sepupu yang lain. Ada pula yang sudah mula merancang nak beli itu dan ini termasuk kaset permainan video yang harganya sekitar RM15.

Jauh sangat bezanya dengan sekarang kerana RM20 itu sebenarnya boleh diperoleh dengan sekali salam saja. Jika ada yang beri seringgit dua, ia dianggap sangat kecil dan terus dilabel kedekut sedangkan nilai itu dianggap sangat tinggi dan sukar diperoleh dulu.

Justeru, senario itu jugalah yang menjadi perkara paling memeningkan kepala setiap kali tiba hari raya selain belanja pakaian raya dan perkara penting lain termasuk kos pengangkutan dan sebagainya.

Setiap keluarga terutama ketuanya (bapa) perlu memasukkan sekali kos duit raya dalam peruntukan hari raya yang biasanya boleh mencecah lebih seribu ringgit dan apa yang menyakitkan jiwa dan boleh membuatkan penyakit darah tinggi mencelah masuk ialah kos untuk duit raya selalunya sangat tinggi.

Apa tidaknya, selepas dikira-kira jumlah anak saudara, sepupu, anak jiran dan semua kanak-kanak atau ‘kanak-kanak dewasa’, lebih 50 sampul perlu disediakan dan jumlah duit dalam sampul pula mesti sesuai, ada kalanya mesti setaraf dengan kedudukan.

Itu yang menekan mereka. Bukan semua orang bertaraf pengarah atau ahli perniagaan ada kemampuan kewangan yang selesa tetapi apabila saudara mara sudah menganggapnya sebagai berkedudukan selesa, duit raya yang hendak dihulur juga mesti setaraf dengan kedudukan, mana layan RM5 saja, kurang-kurang pun duit kertas merah.

Bagai sudah menjadi adat dan kewajipan pula dalam sambutan Aidilfitri, duit raya perlu diutamakan. Tengok sajalah semua bank di mana saja seminggu dua sebelum raya. Jumlah pengunjungnya luar biasa dan kebanyakannya adalah atas urusan menukar duit raya.

Bank pula terpaksa menyediakan kuota khusus untuk duit raya dan dua tiga hari menjelang hari raya, jangan mimpi lagi nak tukar duit di mana-mana bank pun. Semuanya sudah terlewat. Ia sekali gus menggambarkan betapa kuatnya budaya itu di kalangan orang kita.

Tak dapat dibayangkan berapa banyak yang dibelanjakan untuk setiap kali menyambut Aidilfitri. Dengan baju baru, beberapa perabot dan aksesori baru dalam rumah, kuih muih dan pastinya duit raya, membuktikan begitu rakus sekali kita berbelanja setiap kali musim perayaan.

Berbalik pada senario duit raya, besar sangatkah jurang ekonomi kini berbanding 20 tahun dulu sehinggakan 10 sen yang dianggap nilai munasabah ketika itu dianggap tak masuk akal dan pemberi dilabel sebagai ‘tahi hidung masin’ ketika ini.

Pengurus Besar Kewangan dan Pengurusan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Azman Hasim, berkata perlu diakui pendapatan per kapita rakyat negara ini sudah melonjak jauh lebih tinggi berbanding 20 tahun dulu, sekali gus membolehkan duit raya diberi dalam nilai lebih besar.

“Ketika ini, RM1 ialah nilai paling minimum dan ia dianggap munasabah. Tak pernah kedengaran orang merungut mengatakan RM1 itu terlalu tinggi. Ia menjadi satu isyarat jelas bahawa rakyat negara ini semakin mampu.

“Mungkin dulu, kebanyakan yang beri duit raya ialah orang tua di kampung yang pendapatan perkapita mereka sangat rendah, sekitar RM500 saja. Kini, ramai yang sudah berhijrah dan apabila mereka ini pulang ke kampung, mereka mampu beri duit raya lebih banyak,” katanya.

Beliau berkata, walaupun diakui keadaan ekonomi ketika ini masih belum stabil sepenuhnya, tradisi memberi duit raya tidak dapat dihenti atau dikurangkan kerana ia sudah kuat menjadi satu budaya masyarakat Melayu dan tidak dianggap bebanan.

Katanya, cuma mungkin jumlahnya berbeza berbanding sebelum ini dengan ada yang terpaksa mengurangkan sedikit peruntukan duit raya itu bagi membolehkan tiada masalah lain timbul selepas musim perayaan.

“Secara umumnya, masyarakat di negara ini bijak menguruskan kewangan terutama ketika musim perayaan. Mereka tahu perlu beli itu dan ini kerana nak tak nak, budaya itu mesti mereka ikut. Paling tidak pun mesti ada perbelanjaan yang diperuntukkan untuk hari raya.

“Kebanyakannya akan membuat kira-kira dan memperuntukkan sebahagian kewangan untuk duit raya. Mereka akan kira secara teliti dan membuat anggaran berapa perlu diberi kepada kanak-kanak. Peruntukannya sudah ada dan siap awal sebelum hari raya,” katanya.

Namun, katanya, walaupun ramai yang berjaya melalui Aidilfitri dengan sempurna, ada juga golongan yang terbabas dan gagal menguruskan kewangan mereka dengan baik dan ia terbukti kerana setiap kali selepas musim perayaan, jumlah kes di AKPK akan bertambah.

Apapun, budaya kutip duit raya adalah satu daripada kemeriahan dan keunikan yang ada dalam perayaan itu sendiri. Tanpanya, sambutan hari raya akan kelihatan suram dan kurang ceria. Namun, dalam menghadapi kemelesetan ekonomi ini, sewajarnya perbelanjaan dikawal sebaik mungkin supaya tidak koyak rabak semua poket selepas raya nanti.