Maju Melayu Perkasa!

24 September 2009

Mengekang internet jadi lubuk luahan tidak bermoral


Oleh Johari Ibrahim

APA juga perkara apabila bersifat keterlaluan atau tanpa batasan, pasti akan menimbulkan masalah. Itulah juga isu yang kini hangat dibincangkan apabila kebebasan bersuara menerusi internet dilihat seolah-olah keterlaluan serta terlalu bebas sehingga mengetepikan undang-undang dan rasa tanggungjawab.

Sekali pandang, kebebasan bersuara di sesetengah tapak siber seperti blog tanpa nama, seolah-olah tiada batasan hukum dan adab apabila memperkatakan sesuatu isu, termasuk yang sensitif seperti agama, kaum dan raja-raja Melayu. Memang diakui bukan semua blog atau laman web mengamalkan kebebasan bersuara yang keterlaluan, tetapi hakikatnya segelintir blog yang bersifat sedemikian menerima ‘jumlah kunjungan’ yang baik.

Kerajaan mempunyai niat suci untuk membangunkan bidang teknologi maklumat (IT) apabila bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mengumumkan gagasan penubuhan Koridor Raya Multimedia (MSC) Malaysia pada 1 November 1995 yang merangkumi kawasan bermula dari Pusat Bandar Kuala Lumpur (KLCC) hingga ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di Sepang.


Tidak keterlaluan jika dikatakan andainya kerajaan terleka atau lewat mengetengahkan agenda ICT pada waktu itu, kita tidak dapat membayangkan apa kesan buruk yang akan berlaku kepada negara dan rakyat pada masa ini.

Kewujudan MSC, yang kemudian disusuli penubuhan Majlis Teknologi Maklumat Kebangsaan (NITC) dan perumusan Agenda Teknologi Maklumat Kebangsaan (Nita) pada Disember 1996, menyediakan asas dan kerangka kerja penggunaan dan pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk memacu Malaysia ke arah negara maju menjelang 2020 selaras Wawasan 2020.

Kemajuan MSC itu terserlah apabila jumlah syarikat berasaskan IT dalam dan luar negara yang bernaung di bawah koridor berkenaan bertambah daripada 300 pada 1996 kepada lebih 3,400 pada 2005 dengan 1,447 daripadanya berstatus MSC. Pada 2004, dilaporkan syarikat yang berstatus MSC memperoleh pendapatan RM7.21 bilion dengan nilai eksport produk dan perkhidmatan ICT sebanyak RM1.57 bilion.

Selepas mempengerusikan mesyuarat NITC 2009 di Putrajaya baru-baru ini, Datuk Seri Najib Razak, berkata Kelompok Multimedia Kreatif MSC yang membabitkan 183 syarikat berstatus MSC yang pakar dalam bidang pasca produksi, animasi, pembangunan permainan video, e-pembelajaran dan kandungan interaktif bergerak berjaya menghasilkan 7,115 peluang pekerjaan dan mencatatkan perolehan RM730 juta dengan RM125 juta daripadanya adalah nilai eksport.

Serentak itu, Perdana Menteri berkata industri kandungan digital dikenal pasti sebagai satu daripada sumber pertumbuhan baru dalam e-ekonomi. Itu adalah antara cerita manis daripada perkembangan bidang ICT negara daripada segi ekonomi. Serentak pengenalan Nita pada 1996, internet serta pembangunan kaedah penghantaran mesej secara bergerak menerusi SMS dan MMS mula popular di kalangan rakyat Malaysia.

Bermulalah apa yang disebut era ‘media baru’ atau ‘media panas’ di negara ini yang menyebabkan dunia dan negara menjadi sebuah perkampungan digital kecil tanpa sempadan dari segi kandungan digital dan internet. Wujud juga istilah ‘kewartawanan masyarakat’, yang kononnya setiap orang berhak melaporkan apa saja perkara dalam internet tetapi soal kesahihan, kewibawaan dan piawaiannya tidak pula ditekankan.

Kereta dicipta untuk memudahkan orang bergerak dan berurusan, itu adalah sisi baik teknologi berkenaan, tetapi apabila kereta itu digunakan untuk berlumba haram dan keterlaluan, ia akan menjejaskan banyak pihak. Ia adalah perumpamaan mudah bagi bidang ICT di negara ini yang soal ancaman siber turut menjadi topik perbincangan dalam mesyuarat NITC 2009 itu.

Mengikut kenyataan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi yang dikeluarkan sempena mesyuarat itu, antara perkara yang dibincangkan ialah mengenai kajian ke atas kelompongan undang-undang bagi menghadapi cabaran dalam persekitaran siber. Ini termasuk isu ‘tanpa nama’ (anonymity), bidang kuasa merentasi sempadan dan pengumpulan bukti bagi kes salah laku yang membabitkan keselamatan siber.

Tangan kerajaan yang ‘terikat’ kerana perlu mematuhi Akta Jaminan (Bill of Guarantees) MSC dan Seksyen 3(3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkaitan tiada tapisan terhadap kandungan internet dijadikan peluang oleh

pihak tidak bertanggungjawab menggunakan alam siber sebagai tempat melampiaskan perkara yang di luar undang-undang, adab dan agama.

Bagi pihak ini, keterbukaan dalam alam siber adalah sama dengan keterbukaan masyarakat untuk menerima maklumat walaupun ia terlalu sensitif seperti dalam soal agama, kaum dan Raja-Raja Melayu.

Justeru, kebimbangan mengenai ancaman yang boleh menggugat kedaulatan negara akibat penyalahgunaan IT dan internet turut memuncak. “Berikutan penciptaan internet, ancaman siber menjadi kebimbangan seluruh negara. Adalah diharapkan kajian mengenai perkara itu yang baru selesai akan berupaya meningkatkan peruntukan undang-undang dan dasar untuk berdepan dengan kegiatan tidak bermoral dan menyalahi undang-undang dalam persekitaran siber,” kata Najib.

Sudah sampai masanya pihak berkuasa menggandakan usaha untuk mengekang internet daripada menjadi lubuk luahan perkara tidak bermoral dan menyalahi undang-undang sama seperti yang dilakukan terhadap pemantauan di luar talian tanpa menjejaskan jaminan tiada tapisan dalam kandungan internet.

Seperkara lagi ialah kecenderungan orang ramai yang turut menganggap blog dan laman web peribadi sebagai sama dengan media massa lain, pada hal ia adalah dua perkara berbeza. Pada ketika media massa termasuk akhbar dan portal berita dalam talian, beroperasi dalam lingkungan kebertanggungjawaban terutama dari segi kesahihan maklumat dan undang-undang, sesetengah blog dan laman web peribadi tanpa nama tidak memiliki ciri penting itu dalam soal kita menilai maklumat yang dibawa.

Apa pun, kebebasan bersuara, sama ada dalam atau luar talian adalah hak yang tidak mutlak yang mana ia perlu diamalkan bersama dengan rasa tanggungjawab. Kegiatan tidak bermoral dan menyalahi undang-undang sama saja sama ada di dalam atau luar alam siber. Justeru, masyarakat perlu disedarkan mengenai ancaman siber itu yang boleh memberi kesan tidak baik kepada kedaulatan negara dan kepentingan awam.

Langkah itu adalah pendinding paling berkesan pada ketika dunia seolah-olah tidak mampu mengawal pengaliran maklumat, sama ada palsu atau benar di alam siber.





Penulis ialah Ketua Biro Berita Harian, Putrajaya