Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

03 September 2009

Merdeka


Oleh : Fairuz Zaidan




Memperingati Hari Kemerdekaan Ke-52 negara, lusa, XY - Ikon Lelaki mendekati tiga pembaca ikrar yang diberi penghormatan mengetuai upacara pembacaan ikrar pada sambutan Hari Kebangsaan penuh simbolik di Parlimen. Kenali tiga anak Malaysia ini, iaitu Nik Anuay Abdullah; Choong See Yin dan R Sugumaran serta kongsi erti kemerdekaan dalam hidup mereka.

KATA keramat, Merdeka! sekali lagi bakal dilaungkan penuh semangat, lusa. Pada hari istimewa ini, rakyat Malaysia tanpa mengira kaum meraikan detik penuh bersejarah, Hari Kemerdekaan Negara Ke-52. Tiada yang lebih bermakna selain rakyat memperoleh nikmat daripada kebebasan dan kemajuan sosio ekonomi negara yang sudah melepasi usia separuh abad ini.

Berkongsi semangat nasionalisme, XY - Ikon Lelaki mendekati kumpulan pembaca ikrar sempena sambutan Hari Kemerdekaan Negara Ke-52 di Parlimen, Kuala Lumpur, lusa. Daripada tujuh pembaca ikrar barisan depan, tiga daripada mereka mewakili etnik terbesar Malaysia.


Nik Anuay Abdullah; Choong See Yin dan R Sugumaran masing-masing punya pengertian tersendiri terhadap kemerdekaan negara. Sebagai pendidik bangsa, mereka bertanggungjawab mengetuai sesi bacaan ikrar dengan melaungkan prinsip Rukun Negara.

Bertugas sebagai Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Bangsar dan Pudu, Nik Anuay mempunyai alasan tersendiri meraikan Bulan Kemerdekaan. Kebetulan usianya sama dengan ulang tahun kemerdekaan negara, Nik Anuay berkobar-kobar meraikan detik keramat ini.

Seperti Nik Anuay, ada sesuatu yang istimewa dilihat dalam diri Choong. Siapa sangka, gadis manis berbaju kurung ini adalah guru pendidikan khas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Laki-Laki Methodist Kuala Lumpur. Choong yang berpengalaman lima tahun mengajar murid pekak, akan menjadi juru bahasa pada sesi pembacaan ikrar kelak.

Guru disiplin Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Yaacob Latif di Kuala Lumpur, Sugumaran pula mengharapkan negara terus makmur. Beliau mahu semua bangsa bersatu tanpa mengira latar belakang agama, bangsa dan warna kulit.

Tugu Negara di tengah-tengah kota menjadi saksi perjuangan perajurit dalam menuntut kemerdekaan bangsa. Begitulah erti kebebasan yang terpancar dalam diri Nik Anuay, Choong dan Sugumaran pada sesi fotografi, Rabu lalu.

Seperti impian 27 juta rakyat Malaysia, ketiga-tiga pembaca ikrar ini mahu Malaysia terus makmur di bawah slogan 1Malaysia!

52 tahun hidup makmur

LAHIR pada 8 Julai 1957, banyak cerita suka duka dilalui Nik Anuay. Mengakui banyak pembaharuan dan pembangunan dikecapi negara sejak 1957, Nik Anuay mahu rakyat Malaysia bersyukur dengan kemakmuran negara.

Nik Anuay yang yang bertugas di Pejabat Pendidikan Daerah cawangan Bangsar dan Pudu meletakkan tiga fasa perubahan negara yang cukup ketara iaitu pada era 1970-an, 1980-an dan 1990-an.

"Perubahan yang sangat pesat ini meletakkan Malaysia dalam kelas tersendiri. Sayang sama sekali andai legasi dan pembangunan yang selama ini dikecapi negara dipersiakan generasi seterusnya.

"Disebabkan itulah, perpaduan semua kaum harus dikekalkan untuk memastikan kita sama-sama membangunkan bangsa Malaysia yang berjaya," katanya penuh semangat.

Ditanya pengalaman kali pertama terpilih sebagai pembaca ikrar Hari Kemerdekaan Negara, Nik Anuay berkata, beliau tidak berfikir panjang untuk memberi persetujuan selain bangga terpilih dari jutaan rakyat Malaysia.

"Pengalaman menyertai sambutan Hari Kebangsaan Negara di Kuching, Sarawak pada 2006 menjadi pemangkin membuktikan rasa cinta kepada negara," katanya.

Terus berbicara, Nik Anuay menganggap merdeka itu merangkumi aspek politik, ekonomi dan sosial.

"Tidak lengkap kemerdekaan andai minda tidak berubah. Namun, bagi saya, kemerdekaan tidak boleh bebas dalam semua perkara, sebaliknya berlandaskan had-had tertentu," katanya.

Pada usia 52 tahun sama dengan usia Malaysia, Nik Anuay ditanya apakah harapannya ketika bersara kelak. Katanya, tidak wajar pesara diketepikan dari arus perdana saja sebaik saja menamatkan dunia pekerjaan.

Sebaliknya, beliau menyarankan, pesara diberi peluang bergiat aktif termasuk berkhidmat dalam komuniti.

"Ketika ini, purata jangka hayat rakyat Malaysia meningkat iaitu 73 tahun bagi lelaki dan 75 tahun bagi wanita. Masih banyak masa dan usaha boleh disumbang golongan pesara," katanya.

PROFIL:

  • Nama : Nik Anuay Abdullah
  • Umur : 52 tahun
  • Tarikh lahir : 8 Julai 1957
  • Tempat lahir : Tumpat, Kelantan
  • Pekerjaan : Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Bangsar dan Pudu

    Pengalaman kendali pelajar OKU

    SESUATU yang istimewa ada dalam diri guru Pendidikan Khas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Laki-Laki Methodist, Kuala Lumpur ini. Mengajar kelompok kecil 16 pelajar pekak atau Orang Kurang Upaya (OKU), nyata memberi persepsi berbeza dalam menilai erti kemanusiaan.

    Bagi Choong, 29, beliau pada mulanya tidak menyangka menjadi pendidik golongan OKU selepas tamat pengajian dalam bidang pendidikan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Kebetulan UKM menawarkan pilihan kursus pendidikan khas selama satu semester membuatkan gadis ini nekad melanjutkan pengajian.

    "Siapa sangka, mula-mula hanya menuntut ilmu berbeza dan sekarang, saya mengajar pelajar pekak menggunakan bahasa isyarat. Keputusan memilih profesion guru OKU ini bagaikan suatu kemerdekaan dalam diri saya.

    "Kebetulan ada ahli keluarga saya juga OKU... Jadi, dapatlah saya menyelami kehidupan golongan istimewa ini. Apa yang pasti, tugas saya ialah mendidik tidak kiralah siapa juga mereka," katanya penuh bermakna.

    Diminta bercerita lanjut mengenai dunia guru OKU, Choong yang berpengalaman lima tahun mengajar pelajar pekak berkata, beliau lebih gemar mengajar dalam kelompok kecil. Ini katanya, membolehkan lebih banyak tumpuan diberi kepada setiap murid.

    Choong berkata, beliau menggunakan komunikasi dua cara iaitu percakapan melalui gerak bibir dan tangan. Ini kerana tidak semua pelajar OKU mengalami masalah pekak 100 peratus. Tidak saja berdamping dengan pelajar dalam kelas, guru OKU juga makan bersama mereka di kantin.

    Mengenai pemilihan beliau sebagai pembaca ikrar Hari Merdeka, Choong berkata, penampilannya kelak berbeza kerana beliau akan menyampaikan ikrar Rukun Negara dalam bahasa isyarat.

    "Ini secara tidak langsung membuktikan kerajaan tidak meminggirkan golongan OKU dalam mengejar aspirasi 1Malaysia," katanya yang berpendapat konsep 1Malaysia cetusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tepat pada masanya bagi mengajak rakyat bersatu dan cintakan negara.

    Choong juga sedih melihat masih ramai rakyat Malaysia kurang berminat mengibar Jalur Gemilang biarpun tinggal beberapa hari saja menyambut Hari Kemerdekaan Negara. Terus mengulas, Choong menganggap peranan media dan golongan pendidik penting dalam menyemai semangat cintakan tanah air di kalangan rakyat.

    Ditanya harapannya mewakili etnik kaum Cina sebagai pembaca ikrar, Choong berkata, beliau mahu perpaduan antara semua kaum terus kekal.

    "Umpama rencah masakan, semua kaum di negara ini memerlukan antara satu sama lain," katanya mengakhiri perbualan.

    PROFIL:
    • Nama : Choong Shee Yin
    • Umur : 29 tahun
    • Tarikh lahir : 23 Februari 1980
    • Tempat lahir : Kuala Lumpur
    • Pekerjaan : Guru Pendidikan Khas SMK Laki-Laki Methodist Kuala Lumpur


    Pendekatan istimewa tingkat disiplin

    TIDAK langsung terpancar sifat pembengis pada wajah Sugumaran. Jika beliau tidak membuka cerita, tidak ada siapa tahu sebenarnya lelaki berusia 46 tahun ini adalah guru disiplin di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Yaacob Latif di Kuala Lumpur.

    Bicara Sugumaran, beliau menggunakan pendekatan istimewa mendekati pelajar bermasalah. Kaedah yang dipraktikkannya itu membolehkan mereka merenung kembali setiap kesalahan dilakukan.

    "Pelajar sekarang tidak seperti dulu. Mereka dilihat sengaja menimbulkan masalah dan tidak berminat untuk belajar. Tidakkah mereka berasa beruntung dengan kemudahan seperti makanan tambahan, buku percuma dan yuran persekolahan yang dikenakan hanya sekali setiap tahun?" katanya yang sering mengadakan sesi kaunseling mengajak pelajar merenung kembali kesalahan dilakukan.

    Bagi Sugumaran, tiada apa yang boleh mengubah nasib seseorang melainkan diri sendiri. Kemudahan dari segi pendidikan, ekonomi, pinjaman dan infrastruktur awam diberi sama rata untuk semua rakyat Malaysia.

    "Jika dulu, kita sukar melanjutkan pengajian selepas sekolah menengah kerana perlu menggunakan wang sendiri.

    "Sekarang dengan bantuan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), semua orang layak mendapatkan pendidikan sama rata. Ini sekali gus mengimbangi taraf pendidikan bandar dan luar bandar," katanya.

    Ditanya pengertian merdeka dalam dirinya, Sugumaran meletakkan asas utama kemerdekaan negara iaitu bebas dijajah; bebas intelek termasuk tidak dipengaruhi orang lain serta nikmat kemakmuran ekonomi dan kemiskinan sifar.

    Menyentuh konsep 1Malaysia, beliau menyokong idea Perdana Menteri kerana ia mampu menyatukan semua kaum di negara ini.

    "Uniknya rakyat Malaysia, kita tidak dilihat sebagai satu kaum saja... Sebaliknya meliputi kaum Melayu, Cina dan India. Menerusi konsep 1Malaysia ini, kita berasa lebih bangga untuk dikenali sebagai orang Malaysia," katanya.

    Mengenai nasib masyarakat India di Malaysia, Sugumaran mengakui melihat ada perubahan dalam aspek ekonomi dan taraf hidup kaum India terutama di bandar.

    Namun, bagi Sugumuran, masyarakat India di luar bandar terutama di ladang, masih belum banyak berubah hingga ketinggalan dalam aspek pembangunan dan pendidikan.

    Tambah Sugumaran, keadaan bertambah teruk jika masyarakat India di ladang berhijrah ke bandar hingga berlakunya krisis pekerjaan.

    "Disebabkan tiada sektor pekerjaan sesuai, kumpulan ini terdedah dengan gejala sosial dan masalah jenayah seperti curi dan ragut. Satu saja penyelesaian dalam meningkatkan taraf iaitu dengan menimba ilmu," katanya.

    PROFIL:
    • Nama : R Sugumaran
    • Umur : 46 tahun
    • Tarikh lahir : 19 Mei 1963
    • Tempat lahir : Muar, Johor
    • Pekerjaan : Guru Disiplin SMK Yaacob Latif Kuala Lumpur
  •