Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

17 Januari 2010

Kota jam tangan


Oleh Nor Affizar Ibrahim




Geneva, bandar raya kecil yang istimewa: Sama ada pusat bandar atau desa, Geneva menawarkan kenangan dan pengalaman amat menarik

GENEVA lebih dikenali sebagai destinasi penganjuran pelbagai acara penting seperti persidangan, pameran, mesyuarat serta forum antarabangsa yang lazimnya menghimpun dan membabitkan pertemuan nama besar atau pemimpin terkenal dunia.

Tidak menghairankan kerana kota di Switzerland ini juga menempatkan ibu pejabat banyak organisasi antarabangsa, termasuk agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di samping dikenali sebagai bandar raya global.


Kajian juga menunjukkan penduduk Geneva mempunyai taraf hidup kedua tertinggi di dunia selepas Zurich, satu lagi bandar utama di negara berkenaan.

Kota ini yang mempunyai lebih kurang 186 juta penduduk adalah bandar bersejarah dan mempunyai imej antarabangsa yang cukup dikenali di dunia. Malah, itu antara keistimewaan utama dan menjadi identiti Geneva sejak bertahun-tahun.

Ia juga bandar raya pertama di Switzerland yang mempunyai kependudukan warga asing yang tinggi yang mewakili hampir 194 kewarganegaraan, lebih kurang 38 peratus daripada jumlah keseluruhan populasinya.

BANGUNAN lama yang unik.

Kunjungan penulis ke Geneva, baru-baru ini melihat banyak lagi keunikannya, selain fungsinya sebagai titik lokasi yang mencetuskan banyak peristiwa bersejarah dan termeterainya beberapa deklarasi atau perjuangan penting di dunia.

Zahirnya, Geneva yang bersempadan dengan Perancis ialah bandar raya sederhana besarnya jika dibandingkan dengan Kuala Lumpur. Malah, jika anda mahu menyaksikan sepenuhnya pusat bandarnya, cukup dengan berjalan kaki.

Jalan raya di pusat bandar pula kecil dan bersimpang siur di celah bangunan lama, namun ciri itulah yang memperlihatkan keindahan tersendiri Geneva.

Paling ketara, bandar berusia lebih 2,000 tahun ini masih mengekalkan seni bina lama. Pengunjung pasti terpesona melihat bangunan hotel, kedai antik, balai seni lukis dan bangunan lain yang memberikan Geneva wajah tersendiri.

KAWASAN pinggir bandar Geneva mengekalkan keindahan alam semulajadi.

Seperti tempat lain di Switzerland, empat bahasa utama dituturkan di Geneva iaitu Jerman, Itali, Roman dan Perancis, tetapi sebahagian besar masyarakat bandar ini lebih senang bertutur dalam bahasa Perancis.

Masih mengekalkan ciri tradisional, Geneva juga terkenal di serata dunia sebagai kota pengeluar jam tangan yang buktinya terpapar di sepanjang jalan di kota ini yang dipenuhi deretan kedai menjual jam tangan berjenama.

Pilihlah jam kegemaran anda daripada Rolex, Swatch, Omega, Raymond Weil, Tissot, Oris dan pelbagai lagi.

Kota ini yang terletak di antara banjaran Alps dan Gunung Jura, iaitu di sebelah Barat Danau Geneva juga terkenal kerana muzium dan teaternya, tetapi tarikan utama dan paling memukau pandangan ialah Tasik Geneva.

Ketika penulis sampai di bandar raya ini, bacaan suhunya ialah pada 7 darjah Celsius yang sudah tentu amat menyejukkan bagi kita yang sudah biasa dengan cuaca panas.

Pemandangan Tasik Geneva begitu mengasyikkan, apatah lagi apabila wajah dibelai hembusan angin dingin, memberikan rasa nyaman yang membuatkan kita terlupa permasalahan yang membelenggu fikiran.

Bersiar-siar di tepi tasik pada waktu malam berasa segar dan memberikan nikmat tersendiri, tetapi suhu sejuk yang mencengkam tubuh membuatkan penulis tidak betah berada berjam-jam lamanya di luar bangunan.

Bukan saja di pusat kota, pinggir bandarnya juga mempunyai banyak tarikan tersendiri, malah Geneva - walaupun salah satu daerah paling kecil di Switzerland - masih mengekalkan karakter kawasan pedalamannya seperti dusun anggur, hutan, sungai dan anak sungai.

Mungkin ada yang tidak tahu sebenarnya untuk ke pinggir desa dari pusat bandar, jaraknya tidaklah terlalu jauh, cuma beberapa kilometer atau 15 hingga 30 minit dengan menaiki kereta, bas atau kereta api.

Sama ada memandu atau berjalan, pengunjung boleh meneroka kawasan pinggir desa dengan senang hati dan pasti terpegun melihat keindahan dan ketenangan persekitarannya.

Suasananya tidaklah sesibuk pusat bandar tetapi kegiatan ekonomi yang dijalankan berjalan lancar dan turut berperanan penting menyumbang kepada ekonomi negara itu.

Pengunjung dapat menyaksikan perkampungan tipikal dan masih kekal terpelihara dengan ciri tradisional. Kebanyakan rumah berdiri megah serta kelihatan cantik berseni memaparkan reka bentuk lama.

Di desa juga, terhidang peluang untuk menikmati keindahan pergunungan dan tasik dengan lebih dekat. Kebanyakan penduduk di sini petani yang mengusahakan wain. Justeru, tidak hairanlah banyak ladang anggur tersusun kemas sepanjang kiri dan kanan jalan.

Jika mahu meneroka lebih lanjut keunikan pinggir desa, tunggulah peralihan musim, misalnya antara April hingga Mei yang menyaksikan landskap bertukar warna kekuningan.

Apa yang pasti jika berkunjung ke Geneva, sama ada bandar atau desa, semuanya akan memberikan kenangan dan pengalaman amat menarik.

  • Mereka yang mahu berkongsi pengalaman melancong ke luar negara, boleh menghantar rencana dan gambar ke bminggu@bharian.com.my atau pos ke Berita Minggu, Berita Harian Sdn Bhd, Balai Berita, 31 Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur.
  •